Cabaran Paling Besar Mahathir

Oleh : Anil Netto
(Dari FAC)

Bagi sebilangan orang, beliau adalah BAPA MALAYSIA MODEN, orang yang telah berjaya membawa perubahan kepada prasarana bandar di negara ini untuk menyaingi mana-mana bandar di negara barat. Bagi mereka yang kurang tertarik dengan pencapaian-pencapaiannya, beliau adalah MAHA FIRAUN, tokoh luar biasa yang bertanggungjawab terhadap segala kepincangan yang berlaku di dalam negara ini.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia, berusia 75 tahun, 16 Julai menandakan cukup 20 tahun beliau berkuasa, Malaysia yang diterajuinya telah mengalami banyak perubahan. Dua peristiwa semasa yang berlaku baru-baru ini mungkin boleh memberikan gambaran kepada perubahan yang berlaku kepada persada negara ini sejak beliau mula memegang kuasa pada tahun 1981 : Peristiwa pertama adalah bantahan terhadap undang-undang keselamatan dalam negara yang begitu digeruni pada hari Ahad 15 Julai lalu; dan peristiwa kedua adalah majlis jamuan makan malam besar-besaran pada malam Isnin 16 Julai bagi merayakan ulang tahun ke-20 Perdana Menteri memegang tampuk pemerintahan.

Seramai lebih dari seribu rakyat Malaysia berhimpun di luar Pusat Tahanan Kamunting di Perak, di utara Kuala Lumpur, pada hari Ahad untuk membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kejam itu. Kumpulan yang membuat bantahan itu bergerak ke Utara dari Kuala Lumpur di dalam satu konvoi manakala kumpulan yang lainnya dari Pulau Pinang juga bergerak secara konvoi ke selatan dan akhirnya bergabung untuk berhimpun di Kamunting.

Adalah jelas bahawa para peserta konvoi tersebut tidak dapat dihalang dari meneruskan rancangan mereka untuk berkumpul di Kamunting biarpun terdapat sekurang-kurang empat sekatan polis di sepanjang jalan menghala ke Pusat Tahanan Kamunting itu. Di luar Pusat tersebut, pihak polis menggunakan trak meriam air untuk menyembur air ke arah orang ramai yang berkumpul dan kemudian menghambat mereka yang lari mencari perlindungan di rumah penduduk-penduduk kampung yang berdekatan.  Polis kemudiannya membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah dan menangkap seramai 41 orang yang hampir kesemuanya terdiri dari orang-orang Melayu, di mana lebih kurang suku darinya merupakan kaum wanita. Empat remaja yang turut ditangkap kemudiannya dibebaskan manakala 37 orang lagi dibebaskan dengan ikat jamin pada keesokan harinya.

Sebutlah perkataan KAMUNTING di Malaysia kepunyaan Mahathir ini, nescaya satu batukan yang canggung bunyinya atau kebisuan yang tidak menyenangkan akan menyusul. Tempat itu adalah  merupakan pusat pemulihan bagi mereka yang telah menjalani sesi soal-siasat yang begitu menjerihkan selama 60 hari di bawah ISA, satu undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa dibicarakan.

ISA adalah undang-undang impian autokrat, di mana ‘nilai-nilai Asia’ dipastikan sebegitu rupa agar menepati kehendak dan kepentingan penjajah. Berpandukan kepada undang-undang era penjajah yang begitu ketat dalam menangani  masalah Komunis dari tahun 1948-1960, ia telah digunakan terhadap ahli-ahli kesatuan, aktivis-aktivis, ahli-ahli politik pembangkang dan pelajar-pelajar universiti. Seramai enam aktivis reformasi telah dihantar ke Kamunting dalam bulan Jun untuk menyertai seramai lebih kurang 60 orang yang telah pun berada di situ kerana disyaki telah melakukan berbagai kesalahan dari “menyebarkan ajaran-ajaran salah” kepada “memalsukan pasport”.

Semenjak 1981, kuasa di dalam negara semakin dikongkong oleh badan eksekutif – atau lebih tepat lagi oleh Perdana Menteri. Pada banyak peringkat, pentadbiran Mahathir telah mengetatkan kawalan terhadap kumpulan-kumpulan bebas yang dilihatnya sebagai mengganggu atau mengancam kedudukannya : para aktivis, pembangkang dan musuh-musuh politik, dan badan kehakiman dalam tahun 1988, sistem beraja dalam tahun 1993, dan akhir sekali timbalannya sendiri, Anwar Ibrahim yang disingkirkan dalam tahun 1998.

Dalam semua kejadian ini ISA telah menjadi satu senjata yang amat berguna untuk menangkap sesiapa sahaja yang “dianggap sebagai menjejaskan keselamatan negara” dan bagi memaksa yang lainnya untuk tidak membuka mulut. Namun sejak reformasi tercetus berikutan penyingkiran Anwar dalam tahun 1998, majoriti orang-orang Melayu – yang diselar oleh Mahathir sebagai bangsa yang malas dan tidak tahu bersyukur – telah tampil ke hadapan bagi membantah ISA dan jumlah mereka ini jauh melebihi bilangan aktivis-aktivis Hak –hak Asasi yang ada.

Satu lagi peristiwa – jamuan makan malam pada malam Isnin di bandar bersejarah Melaka – juga banyak memberikan gambaran sebenar kepada pemerintahan Mahathir. Ia adalah jamuan makan malam yang terbesar pernah diadakan di Malaysia, dengan dihadiri seramai 25,000 orang dari seluruh pelusuk negeri tersebut – satu lagi rekod yang boleh dimasukkan ke dalam buku ciptaan rekod Malaysia yang sudah sedia tebal itu. “ Sebanyak 2500 meja akan disediakan dengan 17 pakar-pakar masak menyajikan makanan kepada para tetamu,” demikian diumumkan dengan bangganya oleh seorang jurucakap kerajaan negeri yang menganjurkan jamuan tersebut. Untuk pengetahuan, rekod yang pernah dicatatkan sebelum ini untuk kehadiran di satu jamuan makan malam di Malaysia adalah seramai 20,200 orang.

Memecahkan rekod menjadi satu cara yang paling sesuai untuk merayakan 20 tahun kejayaan dalam memecahkan rekod-rekod – bangunan tertinggi di dunia, lapangan terbang yang gilang-gemilang tetapi kurang digunakan, sistem pengangkutan transit ringan (LRT) yang futuristik di ibu kota Kuala Lumpur tetapi bergelumang dengan hutang, dan pusat pentadbiran baru Putrajaya yang menelan belanja berbilion ringgit, dengan kompleks jabatan Perdana Menteri ala Babylon terletak di atas anak bukit yang mengadap tasik buatan manusia. Begitu juga dengan projek kereta kebangsaan yang begitu mendapat sambutan dan dilindungi oleh tarif, Proton, dengan model rekaan Malaysianya yang pertama, Waja.

Satu senarai menyeluruh yang mengkagumkan – “Jadi mengapa orang-orang asing hanya berminat untuk melihat rekod hak-hak asasi kita?” pernah satu kumpulan satira berseloroh. Malahan, Jawatankuasa untuk melindungi Wartawan-wartawan yang berpengkalan di New York baru-baru ini telah menamakan Mahathir sebagai di antara 10 musuh akhbar yang utama buat kali ketiga berturut-turut dalam tiga tahun yang terakhir ini.

Sekiranya ia hanya melibatkan orang-orang asing yang sering menimbulkan masalah, Mahathir tentu tidak perlu merasa terlalu gusar. Tetapi kini orang-orang tempatan juga menyuarakan pandangan mereka secara terbuka. Dan apabila pelajar-pelajar  universiti yang selama ini begitu jinak mula membuat bantahan, sudah tentu perkara ini perlu diberi perhatian. Dalam satu tindak balas yang biasa dibuatnya, pihak berkuasa telah pun menahan dua pelajar universiti di bawah ISA pada awal bulan ini.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin mendatar, pencapaian Mahathir semakin menyerlahkan kesuramannya dan legasinya (kesan peninggalan) juga kian tergugat. Pada masa ini slogan-slogan yang muncul dengan banyaknya seperti : Bersih, cekap amanah, pandang ke Timur, Pengkorporatan Malaysia, Kepimpinan Melalui Tauladan, Cintai IT, Wawasan 2020 – tidak lagi memberikan apa-apa makna.

Sekalipun Mahathir terkenal dengan retorik anti Baratnya, ekonomi masih lagi bergantung penuh kepada pelaburan asing, terutamanya dalam sektor elektronik. Ia menyebabkan Malaysia mudah dipengaruhi oleh penguncupan ekonomi US – sama ada mengambil kira penetapan nilai matawang ringgit atau tidak. Kurangnya penyediaan rumah-rumah yang mampu dimiliki menyebabkan ratusan ribu rakyat terpaksa meneruskan kehidupan di bandar dengan tinggal di kawasan-kawasan sesak dan melarat serta kawasan-kawasan setinggan yang terpinggir. Di kawasan luar bandar pula, banyak sekolah-sekolah yang kekurangan peralatan, perpustakaan yang sempurna malah kemudahan bekalan elektrik.

Jurang di antara yang kaya dan yang miskin begitu luas, sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati terutamanya di kalangan bangsa Melayu yang merasa marah di atas polisi rasmi kerajaan yang mewujudkan hanya segelintir ‘billionaire’ Melayu yang dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Polisi tersebut yang memihak kepada kelompok ahli-ahli perniagaan tertentu telah membawa kepada amalan kronisme dan nepotisme semenjak pentadbiran Mahathir mula membuka pintu kepada langkah penswastaan dalam tahun 1980an.

Hutang-hutang lapuk telah dimansuhkan selepas krisis kewangan Asia melanda pada pertengahan tahun 1997, dan pada hari ini dua agensi yang ditubuhkan khas masih terus menyerap berbilion ringgit pinjaman-pinjaman tidak berbayar dan menyuntik modal yang diperlukan kepada firma-firma yang sedang tenat.

Kemudian menyusul pula tindakan meletakkan jawatan oleh Menteri Kewangan Daim Zainuddin. Pemergian sekutu utamanya itu telah membuatkan Mahathir seolah-olah semakin terpinggir. Namun menyedari akan nasib yang telah menimpa pemerintah-pemerintah autokrat lain di dunia, Mahathir tidak mungkin akan mengambil tindakan untuk berundur secara terburu-buru.

Biarpun terdapat peruntukan undang-undang tertentu dan agensi-agensi penguatkuasaan yang boleh digunakannya pada bila-bila masa sahaja, Perdana Menteri mungkin tidak dapat mencapai segala yang diimpikannya memandangkan pergolakan mula berlaku di dalam barisannya. Faktor Anwar dan reformasi masih belum pudar. Badan kehakiman sedang mengorak langkah untuk kembali kepada fungsinya yang sebenar dan membuat beberapa keputusan yang berani. Manakala ekonomi pula masih di tahap yang memeritkan dan bilangan mereka yang kehilangan pekerjaan semakin meningkat. Kesemua ini membawa maksud bahawa tidak lama lagi tokoh yang tidak pernah menyerah kalah itu mungkin terpaksa berhadapan dengan pertarungan yang paling besar bagi mengekalkan legasinya yang semakin menyusut itu.


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang