Pembelian Renong hanya untuk jaga kepentingan BN

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menganggap bahawa usaha pembelian Renong oleh kerajaan baru-baru ini hanya satu langkah untuk menjaga kepentingan Barisan Nasional.

Beliau berkata, saham United Engineering Malaysia Sdn Bhd (UEM), anak syarikat Renong yang ditawar pada kadar RM4.50 seunit adalah untuk menyisihkan tokoh korporat itu daripada terus berlindung di bawah payung BN.

Ini berikutan pengerusi eksekutif Renong, Halim Saad adalah antara kuncu-kuncu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang mengundur diri 1 Jun lalu tanpa memberikan sebarang alasan.

Sehubungan itu, Dr Syed Azman berkata, peletakan jawatan Tun Daim memberi kesan besar terhadap kuncu-kuncunya yang dianggap ‘kambing hitam’ dalam pentadbiran BN.

Pembelian Renong adalah antara agenda kerajaan untuk menyisihkan golongan yang dianggap ‘kambing hitam’ itu yang boleh menjejaskan BN.

"Isu Renong ini bolehlah diumpamakan dengan pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Selepas Anwar dipecat, ramai ahli korporat yang dianggap menyebelahi beliau turut merudum dalam perniagaan mereka," katanya.

Dr Syed Azman berkata, walaupun Daim dilaporkan memiliki aset yang bernilai tinggi bagi menyelamatkan Halim Saad, keadaan mungkin menjadi sukar kerana pengerusi eksekutif Renong itu berhutang berbilion ringgit.

"Isu Renong ini juga menunjukkan usaha kerajaan untuk mempastikan tiada lagi pengaruh Daim dalam BN kerana Halim Saad tidak lagi menguasai saham syarikat itu," katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan sebanyak RM 1 juta dikeluarkan sebagai langkah permulaan mengambil alih Renong dan mempelawa pelabur asing ke pasaran saham tempatan.

Khazanah Nasional Bhd, sebuah syarikat pelaburan kerajaan mengumumkan tawaran menjual kesemua saham UEM pada kadar RM4.50 seunit.

Pembelian saham UEM membolehkan kerajaan mengambilalih peranan Halim selaku pengerusi eksekutif Renong yang memiliki 16.5 peratus dalam syarikat itu.

Jumlah pembaca:orang