Saya, Phoolan Devi

Bab 1 A


Ibu mencangkung di depan selonggok tahi lembu. Dia mengambil segenggam tahi itu dan dengan gaya dan cara yang memang aku fahami sejak zaman kanak-kanak lagi, ibu akan mengepal tahi itu dan membentuknya laksana sekeping kek yang disusunya dengan rapi di sebelah tempat dia mencangkung tadi.

Nun di hujung padang, terdapat barisan kek talembu (kita beri istilah yang lebih terhormat kepada hasil tahi lembu ini - penterjemah) yang dijemur sejak beberapa hari dulu, yang menunggukan kami memungut dan menyimpannya. Ini bukannya satu kerja yang mudah. Talembu itu apabila dikepal akan melekat laksana madu di telapak tangan. Mula-mula aku akan membuatnya satu persatu sehinggalah bikinanku tersusun rapi naik tinggi dan tidak lagi mampu akan mencecahnya. Kakak Rukmini, akan menyambung susunan itu dengan bikinannya sambil aku membuat satu susunan yang baru pula. Pada waktu petang halaman rumah kami itu akan dipenuhi longgokan talembu keras yang tersusun rapi, tidak lagi berwarna cokelat kegelapan tetapi sudah bertukar warna menjadi merah keperang-perangan. Itulah juga warna tanah di kampungku yang berdebu pada musim panas dan melekit pada waktu hujan sehinggakan kaki pun akan kemerahan juga warnanya.

Dengan menggunakan satu bakul lebar yang diperbuat daripada jerami aku pun mulakan kerja memungut dan mengangkut ketulan talembu kering dari hujung padang kebun kami itu dan membawanya secara menjunjung bakul jerami di atas kepala. Adik kecilku Choti turut membantu dengan menjunjung satu bakul lagi di atas kepalanya. Seluruh perkampunganku berwarna merah, sama dengan warna buminya. Dinding-dinding setiap rumah yang berdiri tegap di perkampungan itu adalah hasil ketulan tanah yang dikepal dan disusun rapi oleh para penghuni kampung itu. Cara membuat ketulan bata dinding itu adalah sama dengan cara mengepal tahi lembu untuk menjadikannya talembu. Talembu yang kering kami gunakan sebagai bahan-bakar untuk mendiang badan ataupun untuk masak memasak.. Itulah juga tahinya yang memberikan baja kepada bumi kami untuk membolehkan kacang ‘hora’ tumbuh dengan biaknya.

Di hujung halaman rumah kami yang kecil itu, ayah sedang menunggu kami menyediakan makanannya. Kakak Rukmini adalah yang tua di antara kami kerana itu dia ditugaskan membuat capati. Dia membuat capati itu dengan memulakan kerja-kerja mengisar biji gandum untuk dijadikan tepung. Kemudian dengan cara meniru gaya ibu yang suka mencangkung itu, Rukmini akan menghidupkan api dengan menggunakan ranting-ranting kayu yang kering sebagai bahan pembakarnya. Sambil menopangkan sebelah tangan di atas lututnya, kakakku itu akan membongkok secara mengiring untuk menarik rambutnya yang panjang ke bahagian belakangnya, sambil dia meniup anak bara yang baru menyala. Wajahnya bersinar dipanah cahaya yang menyala. Rukmini baru berusia tiga belas tahun ketika itu. Dia memang cantik dan mempunyai kulit yang cerah, bukannya semacam kulit aku. Ayah telah memberitahu kami betapa Rukmini tidak lama lagi akan berpunya.

"Phoolan, ke mana kamu dengan tongkat itu?" ayah menyoal aku.

Aku tidak menjawabnya. Cahaya suria yang keletihan itu sudah menyalurkan pelbagai bayangan di hadapan rumah kami yang tidak berapa luas itu. Sepanjang hari aku sudah memikirkan sesuatu yang sungguh serius.

"Ayah,’ kataku. ‘Di mana Tuhan tinggal?"

Terdapat garisan yang amat ketara apabila ayah mengerutkan dahinya. Itulah garisan yang terletak begitu menonjol di bahagian atas hidungnya yang dompot, seperti hidung aku juga. Kulit ayah memang gelap pekat seperti kulit aku juga. Dia selalu sangat menunjukkan perasaan yang sugul. Ada kalanya dia menggaru kepala berjam-jam lamanya, seolah-olah dia mahu mengikis segala kerisauan yang melekap di situ semacam kutu. Apabila dia mengangkat muka merenung aku yang masih memegang tongkat itu, wajah kerunsingan yang lama melekat di mukanya itu tiba-tiba menghilang pula.

"Mana agak kau Tuhan tinggal, Phoolan?"

‘Di dalam hutan, Buppa. Saya mahu pergi ke hutan dengan Chotti. Saya ada tongkat untuk memukul sebarang ular yang cuba mengganggu kami.’

Chotti dan aku memang bercita-cita memanjat tembok yang mendindingi halaman rumah kami. Kami bercadang mahu berlari mengikut longkang dan aliran sungai sehinggalah sampai ke tepian hutan.

Kali itu giliran ibuku pula yang mengganggu kami.

"Phoolan! Pergi ambil air, nak......!"

Ayahku tersenyum. Giginya hitam sahaja, dan sudah banyak yang hilang sehinggakan aku terus cuba mengagak berapa sebenarnya usia bapaku itu. Waktu itu aku hampir mencecah sembilan tahun. Itupun agak-agak sahaja. Tidak ada sesiapapun, termasuklah bapaku yang ingat tahun kelahiranku. Tetapi aku telah dilahirkan pada hari menyambut pesta bunga. Itu sebabnya mereka memberikan nama Phoolan, kepadaku. Ia bererti ‘bunga’. Ibu bapaku sudahpun mempunyai seorang anak perempuan mendahuluiku dan seorang anak perempuan lagi, Ramkali selepas aku. Kami beri dia nama timangan, Chotti kerana bentuk badannya yang kecil. Kemudian, mereka mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Shiv Narayan, masih bayi lagi ketika itu. Selepas itu di dalam perut itu ada pula suatu rahsia.


"Tuhan ada di mana-mana, Phoolan. Bukan sahaja di hutan rimba," kata ayah. ‘Pergi ambil air itu dulu, dan jangan pula bersembang dengan sesiapa ketika membawanya. Kami menyusuri jalan dan mendaki tangga antara barisan rumah-rumah untuk mendapatkan telaga. Telaga tu memang dalam, aku dan Chotti terpaksa memegang kuat hujung tali timba untuk menarik naik baldi yang mengandungi air. Kami terpaksa menarik kuat tali timba itu sambil menyangkukkan hujung kaki kepada lapisan batu untuk menahan daripada terjatuh dalam telaga. Air di dasar telaga kelihatan kehitaman, sudah tentu ada hantu yang menghuninya.

Aku mahu menemui Tuhan kerana mahu bertanya sesuatu. Itulah soalan yang telah merunsingkan aku selama itu - semasa aku menyeret lembu untuk memakan rumput, ataupun semasa mendapatkan air di telaga, ataupun pergi ke tandas di kebun. Tetapi, yang mula-mula sekali aku mesti mencari mana perginya Tuhan yang menentukan aku dilahirkan di kampung itu, di kawasan datar tidak jauh daripada sungai.


Bab 1 b

Bergossip adalah hobi orang kampungku. Dan mereka mudah menceceh kalau tidak berapa keletihan bekerja di ladang. Mula-mula dulu aku ingatkan mereka suka berbalah kerana disebabkan kelaparan. Di sebalik dinding yang dibuat daripada lumpur kering di tepi halaman rumah, kita mudah mendengar suara ibu-ibu bertengkar kerana satu periuk susu ataupun sengaja terjerit-jerit memanggil anak mereka yang tidakpun jauh dari situ. Keadaan berubah kalau musim panas. Waktu itu kepanasan yang terik menyebabkan anginpun menjadi berat sehinggakan lalat hanya terapung-apung seolah-olah tidak bermaya. Kicauan burung pula mudah ditampan oleh dedaun yang kekeringan di pohon kayu. Setiap kali angin panas menghembus lalu, hanya monyet-monyet yang kepanasan akan menyedarinya sambil mereka saling mengutip kutu antara sesama mereka. Tetapi, hembusan bayu panas itu tidak pernah mengganggu segala unggas dan nyamuk yang terus keseronokan menghisap darah di badan manusia. Kami semakin ketandusan udara nyaman untuk menghidu kenikmatan hidup sehinggalah muncul hujan membasahi bumi dan menghalau segala debu ataupun membawanya pergi.

Setiap kali aku mahu bersendirian untuk berfikir aku terpaksa memilih kawasan lapang yang terletak di luar perkampungan kami, sambil mencangkung di celah-celah rumput yang tinggi untuk melegakan pepundiku sekali.

Untuk sampai ke kawasan lapang itu, aku terpaksa menggunakan satu lorong yang melengkar di sebelah sebuah rumah yang dipunyai oleh Bihari. Dia selalu sahaja mahu memukul aku. Dia sudah tua, zalim dan tidak berhati perut. Sambil menunjukkan senyuman yang kerap ditayangkan oleh bajingan yang mahu menjual air tebu, dia kerap memanggil namaku setiap kali aku lalu di situ. "Mari sini anakku... mari Phoolan," katanya, "marilah jenguk pamanmu Bihari...." Aku memang diajar untuk menghormati orang tua, tetapi kalaulah aku memijakkan tapak ke rumahnya itu dia akan menangkap untuk memukulku. Dia pernah memukul Chotti, dan begitu juga yang dilakukannya terhadap kakakku Rukmini setiap kali kakak melintas di halaman rumahnya. Malahan dia pernah memukul ibu kerana marahkan kami. Dia berlagak seolah-olah kami sengaja mengintai apakah yang dibuatnya. Sebenarnya dia yang mengintai kami - itulah caranya sambil terlentang di katil bebilah bambunya (khat) yang dilapik lemek jerami. Dia tidakpun bekerja seperti ayahku; cuma terkangkang menantikan kami lalu sambil memerhatikan para pekerjanya menyapu debu yang kerap bertebaran di situ. Setiap kali dia bangun daripada khatnya, dia akan menjerit menghala ibuku melepasi tembok yang memisahkan rumah kami. "Tak bolehkah kau ikat anak-anak perempuan yang kotor itu dalam rumah?"

Bihari yang sungguh suka membuli itu menetap di sebuah rumah di barisan hujung yang sederet dengan rumah kami. Rumahnya itu diperbuat dengan simen konkrit. Rumah itu dua tingkat, lengkap dengan balkoninya. Di ruang tengah, kayu bingkainya diukir laksana istana seorang Rajah. Dia mempunyai telaga sendirian di halaman rumah untuk mengelakkan isteri-isterinya bersusah payah beratur mendapatkan air telaga di kampung kami.


Dinding rumah kami diperbuat daripada lumpur kering dan bumbungnya dibuat daripada jerami. Bingkai pintu rumah kami tidak pula dihiasi sebarang ukiran. Di bahagian dalam rumah terdapat ruang yang terbuka dengan beberapa bilik di sebelahnya: ada dua sahaja untuk kami. Satu kamar itu menjadi tempat tidur pada musim sejuk dan dalam lagi itu memang tersedia satu dapur yang diperbuat daripada tanah liat untuk masak-memasak sedangkan di sebelahnya tempat lembu berdiang ketika kesejukan. Memang tidak ada pintu ataupun tingkap, membuatkan kamar kami itu selalu sejuk dan gelap. Apabila senja tiba kami gunakan satu pelita minyak yang diperbuat daripada tin kosong yang ditebuk di bahagian atas untuk menghulurkan sumbunya. Kami mempunyai hanya satu bentuk hiasan yang merupakan tempat berhala kecil kami. Tidak ada sebarang perabut di rumah itu, selain tiga katil khat di ruang tidur dan satu khat lagi di halaman bersebelahan pintu masuk. Di situlah tempatnya ayah akan berbaring apabila ketiadaan kerja. Ketika musim panas, ayah memang gemar tidur di halaman rumah, sedangkan lembu kami lebih suka tidur di ruang dalam. Kami memelihara dua ekor lembu betina. Kami tidak boleh merelakan lembu itu tidur di luar rumah kerana kemungkinan ada orang yang akan mencurinya. Kami adalah kumpulan marhaen miskin; ‘mallah’ kata orang tempatan. Kami hanya bergantung hidup kepada apa yang ada di tepi sungai.

Setiap kali aku melintasi rumah Bihari, mengheret lembu, dia akan memukulku. Kalau aku melintasi rumahnya, walaupun sambil berlari untuk menyorok di kawasan belukar melegakan pepundi, dia akan memukulku jua. Aku tidak faham kenapa dia mahu mencederakan kami. Ibu pernah berkata dia sengaja mahu mengnyahkan kami. Yang aku tahu, dia kerap mengadu kepada ibu bahawa kami kerap buat kerja yang tidak senonoh, sengaja mahu melintas kawasan miliknya dan kami selalu kelihatan kotor dan hodoh.

Sengaja untuk mengelak beliau, aku kerap juga menggunakan jalan jauh untuk tiba ke kawasan perladangan, tetapi ketika aku masih kecil dulu memang ada masanya aku tidak dapat menunggu lama-lama kerana pepundi kencingku belum pandai lagi menunggu. Selalu jua aku berlari pantas rapat dengan dinding rumahnya, menyesuaikan tapak-tapak larianku agar tidak terjerobos dalam longkang, lari dan berlari secepat yang terdaya kerana takutkan terkencing sendiri dalam pakaianku. Namun, di saat begitulah dia kerap menunggu.

"Hai, Phoolan! Mana kau nak pergi?" demikianlah jeritannya. "Kenapa kau ceroboh kawasanku ini?" isterinya yang sudah tua itu akan ketawa kecilan di halaman rumah mereka, tercangkung di atas khatnya sambil mengipas diri dengan hujung sari.

Kalaulah aku menggunakan jalan yang panjang dan terkencing pula dalam pakaianku, terpaksalah aku ke tepi sungai untuk membasuh pakaian itu. Kemudian terpaksa pula menunggu di situ sehinggalah baju itu kering untuk dipakai semula. Itu sahajalah pakaian yang ada padaku. Aku pun tidak mempunyai sebarang sepatu. Malahan tidak ada seorangpun ahli keluarga kami yang mempunyai sebarang kasut.

Aku memang tidak faham kenapa aku terpaksa menanggung segala kutukan dan pukulan daripada Bahari. Pernah juga aku membayangkan satu hari nanti, Chotti dan aku akan merangkak mendapatkan Bahari yang sedang berbaring di atas khatnya berdengkur melalui hidungnya yang besar dan mencangkuk bentuknya itu, kemudian memukulnya dengan satu ketulan batu yang besar betul-betul mengenai kepalanya. Itulah caranya untuk dia membalas balik dosa terhadap kami. Dia berlagak seolah-olah aku tidak ada hak hidup di kampung itu, seolah-olah keluarga aku lebih teruk daripada langau yang menghurung anjing. Apakah kerana kami ini dianggap ‘mallah’ ataupun marhaen yang miskin? Inilah sebabnya aku mesti berjumpa dengan Tuhan untuk mendapatkan jawapan dari-Nya.


Bab 1C

Ketika masih kecil dulu, aku gemar mengepal tanah yang lembab untuk dihidu. Pernah juga aku mengambil lumpur basah di tepi sungai untuk dimakan. Ibu kerap mengherdik aku. Dia pernah mengikat dua tanganku daripada memakan tanah lembab yang berwarna merah itu. Itulah tanah yang memberikan baja kepada tanaman yang ada dan dijadikan dinding rumah pula. Bau yang semerbak itu memang mempersonakan aku. Cuma tidak boleh dimakan tanah itu.

Itulah satu lagi alasan kenapa aku mahu tahu sangat di mana Tuhan tinggal. Aku mahu tanya Tuhan kenapa kami selalu kehabisan makanan. Adik kecilku Cotti mahu menemani aku. Kami memang sudah lama berbincang mengenai Tuhan ini yang memandai-mandai membuatkan kami miskin, dan kami mahu memasuki hutan untuk berjumpa denganNya dan meminta pertolongan. Ya Tuhan, demikianlah cara kami bercakap denganNya, berilah apa sahaja yang kami perlukan: seperti Bahari, kami mahukan sebuah rumah dua tingkat, satu kawasan bendang untuk menanam gandum, sebatang pokok mangga, sekandang lembu, seekor lembu jantan dan sebuah kereta lembu. Chotti memilih selonggok ‘batasas’ - sejenis gula-gula yang rangup dibuat dengan susu dan gula. Kami juga mahukan Tuhan memberikan rupee yang banyak kepada ayah kami.

Memang selalu sangat aku merasa begitu lapar sedangkan tidak ada makanan yang mencukupi untuk mengenyangkan. Aku gemar sangat makan kekacang dan mangga. Tetapi, selalunya yang ada di rumah itu ialah ubi kentang sahaja. Setiap kali ada gandum di rumah, Rukmini akan mengisarnya untuk dijadikan capati. Kekadang ibu akan menyapu minyak sapi di capati itu - itulah minyak yang kami kerap sumbangkan kepada kuil - dan kami pun akan memakan capati yang enak itu dengan sedikit sayuran. Untuk mendapatkan gandum ataupun satu mangkuk kecil minyak sapi ayah terpaksa bekerja seharian di rumah orang-orang kaya. Setiap kali kami membanting tulang di bendang dan ladang, makanan kami pada waktu dinihari hanya merupakan kekacang yang dimasinkan. Makanan utama kami hanya disediakan pada malam hari dan ayah mestilah diberikan hidangannya dulu. Setelah dia habis makan, barulah kami mengongsi apa lebihan makanannya. Orang paling akhir makan sudah tentu orang yang menyediakan makanan itu. Itulah nasib Rukmini. Aku kerap melihat beliau menyediakan makanan, dan memenuhi gilirannya untuk menghabiskan makanan yang berbaki. Terfikir juga aku betapa sukarnya menjadi orang yang terakhir menikmati juadah. Aku juga sedar, apabila Rukmini kahwin nanti, tibalah giliranku menyediakan makanan keluarga.

Apabila selesai kerja rumah ataupun tugas di ladang, aku terpaksa membuat kerja di rumah orang lain di kampung itu yang memerlukan tenagaku. Ayah kata itu adalah satu tugas kami. Aku menjaga lembu-lembu mereka, menuai hasil tanaman mereka ataupun mengutip kutu di kepala mereka. Sebagai balasannya, mereka berilah sesuatu untuk dimakan.

Pada satu hari aku telah diarahkan oleh ‘Paradhan’ memasuki rumahnya untuk memicitkan kepala. Tidak jauh daripada tempat dia berbaring di halaman rumah itu terletak satu longgokan mangga yang besar-besar dan segar kerana baru sahaja dipetik daripada pokoknya

Pada kelazimannya aku tidak pernah membuka mulut di hadapannya, dan sudah tentu tidak ada yang akan aku minta daripadanya. Dia adalah orang yang penting dan dimuliakan. Dia merupakan ketua semua penghulu kampung di dalam jajahan itu, tentulah aku takut untuk berkata apa-apa. Tetapi, buah mangga itu terlalu besar dan segar serta kemerah-merahan bila disinari pancaran suria. Kami memang tidak mampu membeli mangga jenis ini di rumah. Yang kami mampu mestilah mangga yang paling murah harganya, kehijauan dan masam rasanya. Kalau mahu mendapatkan jusnya kenalah mangga semacam itu disedut sedaya mungkin. Kini, mangga yang terbaik ada di hadapan mata. Aku sudah terbayangkan kelembutan isi mangga itu dan air jus yang sungguh manis dan lazat sedang menuruni kerongkongku. Demikianlah, bau mangga yang sungguh wangi itu telah menguasai perasaanku.

“Datuk...tolonglah boleh tak saya merasa sikit mangga tu...?” aku bertanya.

Dia melempangku dengan pantas sekali sehingga aku terasakan dengungan tamparan itu dalam kepala. Pandanganku kabur, semua di keliling kelihatan berpusing sehingga aku jatuh terpelanting.

Prdhan itu naik marah. "Beranikau meminta aku mangga itu! Hari ini kamu mahukan mangga, esok apa pula?"

Aku sedang kesakitan dan begitu ketakutan sehingga tidak sedar aku terkencing spontan membasahi pakaian.

Aku berlari pulang dengan harapan ibu tidak memandang. Tetapi dia sudah menunggu aku pulang.

"Apa yang telah jadi? " tanya ibu. "Apa yang telah kau buat kali ini?"

Aku mahu menyorok sahaja.

"Saya tidak akan pergi ke rumah itu lagi," jeritku. "Saya tidak mahu buat kerja itu lagi. Biarlah langau menghurung kepalanya."

Walaupun aku sudah menantikan tamparan ibu pula, aku terpaksa menceritakan apa yang telah berlaku. Sambil bercerita itu aku dapat lihatkan biji mata ibuku semakin membesar . Dia heret tanganku tetapi tidak pula dia cuba membalunku. Sebaliknya dia mengheret aku menuju rumah Pradhan.

Setiba rumah Pradhan, dia telah menjerit daripada seberang jalan lagi dengan suara yang lantang sekali

“Apakah kau ingat kami lahirkan anak-anak untuk menjadi hamba abdi kamu? Daripada kau pukul dia tadi eloklah kau bunuh dia sahaja! Cubalah... bunuhlah dia... Bila mati dia tidak akan minta sebiji mangga lagi. Bunuhlah dia kalau engkau sudi!"

Apabila ayah pulang dan mengetahui apa yang terjadi, ayahku berkata betapa dia merasa malu. Dia memberitahu adalah tugas kami untuk berkhidmat kepada mereka. Itulah cara hidup di dunia ini. Kalau kita lakukan apa yang mereka suruh tanpa bantahan dan menundukkan kepala dan menyentuh kaki mereka sebagai tanda hormat, mereka akan memberikan makanan untuk perut kita. Ayah berkata begitulah hakikat hidup ini kerana itulah arahan Tuhan.

"Ayah, bagaimana rupa Tuhan?", aku bertanya.

"Tuhan mempunyai banyak wajahnya, Phoolan!"

"Adakah dia semacam muka saya?"

Ayah cuba menyorokkan senyumannya.

Aku tahu rupaku tidak secantik Rukmini. Kulitku terlalu gelap, walaupun tidak segelap pekat semacam Chotti. Hidungku pula terlalu besar, aku rasa. Badanku terlalu kecil, terlalu kurus dan terlalu lemah untuk kelihatan menarik. Rukmini mempunyai kulit yang cerah, ibu dan bapaku memang sayang kepadanya. Ayah kerap menyimpan sebahagian makanan yang diberikan orang untuk dibawa pulang dan serahkan kepadanya: sedikit susu, ataupun sekeping capati yang sengaja diketepikannya untuk dibekalkan kepada Rukmini. Ayah kerap memberikan alasannya kepadaku. Rukmini akan berkahwin tidak lama lagi, dia mesti kelihatan cantik dan sihat. Tetapi aku boleh memanjat pokok lebih cekap lagi daripada gadis-gadis lain. Aku boleh berlari lebih pantas daripada mereka. Aku boleh berenang di sungai dan melakukan banyak perkara lagi. Aku pandai menyabit rumput, dan melembutkannya untuk makanan haiwan ternakan. Aku boleh menjunjung bakul besar ataupun pasu (labu) air yang besar di atas kepala.

Kami memang kerap kekurangan bahan makanan, tentunya kemarahan dalaman yang memberikan tenaga kepadaku.

Aku lahir dengan mewarisi panas baran ibuku. "Aku pernah memuntahkan apa juga yang aku makan ketika mula-mula mengandungkan kamu’’ demikian cerita ibu pada satu waktu dulu.

"Kalaulah saya menyulitkan hidup ibu," aku bertanya padanya, "kenapa tidak dicekik leher ketika saya lahir dulu?"

Ibu kerap merintihkan sesalannya kerana aku seorang anak perempuannya. Ataupun kerana aku pernah menyebabkannya sakit ataupun aku merunsingkannya. Aku mahu menangis juga, tetapi tidak menjadi. Aku berdiam sahaja ataupun membuat kerja-kerja yang tidak senonoh menyebabkan ibu membantai aku. Ketika itu akan meraung kepada Tuhan mengumpat kenapa dikurniakan hanya seorang anak lelaki.

Pada suatu hari Chotti dan aku mula tertanya-tanya apa pula yang ada dalam perut ibuku itu. Kami tidak pula menyangkakan yang ibu sudahpun mula mengandung lagi. Perkara itu semacam satu misteri untuk kami. Kami menjadi hairan bagaimana perut ibu semakin membesar sedangkan tubuhnya tetap kurus kering juga. Sepanjang hari dia memegang perutnya seolah-olah mengampu bebanan yang berat kandungannya. Wajahnya menampakkan kesakitan yang ditanggungnya, lagipun ada sahaja titisan airmata yang mengalir di wajahnya. "Tolonglah Tuhan," ibu merayu. "Berilah aku seorang anak lelaki lagi." Itulah sahaja yang kerap aku dengar ibu meminta daripada Tuhan.

Pada satu waktu dulu ibu telah melahirkan anak kembar. Tetapi, dua-duanya sudah mati. Pada hari itu, aku terdengar perempuan itu berkata, "yang satu mati waktu sebelah pagi, dan kembarnya mati pula di sebelah petang." Aku tidak pula teringatkan wajah mereka. Kalau berjumpa kembali pun aku tidak dapat mengecamnya. Pada hari itu ibu keluar daripada kamarnya yang tidak dibenarkan kami memasukinya. Dia kelihatan ceria. "Tuhan sudah mengambil mereka," keluh ibu. "Tuhan akan menjaga mereka di dunia lain, tetapi bukannya di sini. Terlalu ramai anak perempuan! Kenapa, Kenapa?"

Satu hari aku bertanya ibu di mana Tuhan tinggal. Dia cuma ketawa sahaja. Ibu tidak pernah memuja Tuhan seperti ayahku. Dia lebih suka meratap akan nasib buruk yang diturunkan Tuhan kepadanya. "Kalaulah Dia berikan makanan secukupnya kepada semua anak perempuanku ini...." Pernah juga di merangkul beberapa patung dewata yang tersusun di rumah kami dan menghumbannya ke dalam telaga. Malahan, ibu pernah mengejek ayah apabila dia menyembah patung Durga. Itulah yang ayah kerap lakukan, dua kali setiap hari bertafakur di depan patung Durga. Itulah Dewi yang dihiasi dengan bebunga dan diterangi oleh lampu kecil yang menggunakan minyak mentega. Setiap kali aku cuba membuat kacau di tempat ibadat ayahku itu, ibu akan memukul punggungku. Dia akan menjerit pula, "Mana dia Tuhankau? Panggillah dia untuk menolong kamu! Berapa kali aku mesti beritahu kamu? Jangan melintas ladang Bahari itu lagi?".....

Untuk satu ketika, aku berfikir Tuhan tinggal menetap di sungai, di tempat orang membuang abu mayat yang dibakar. Jadi, pada satu hari aku mengekori lembu yang menyeberang sungai itu dan sambil memegang ekor lembu aku pun menyelam mengharapkan peluang melihat wajah Tuhan di dasar sungai. Satu benda pun tidak dapat di lihat di dasar sungai kecuali lumpur sahaja.

Kalaulah Tuhan sudah mengambil dua bayi kembar itu, sudah tentu dia tinggal di tempat lain, nun jauh di hutan bersama harimau, serigala dan ular.

Ayah memberitahu bahawa Tuhan ada di mana-mana, memerhatikan kita. Cuma kita tidak dapat melihatNya.

Bagaimana caranya mengenal Tuhan, fikirku. Apakah Tuhan sengaja tidak mahu menunjukkan rupanya.

"Kalau kamu mahu melihat Tuhan, kamu mesti tahu bersabar," kata ayah kepadaku. "Kamu mesti beribadat selalu dan bertapa seperti sami-sami di kuil."

Aku tidak faham apa maksudnya bertapa itu. Tetapi aku tahu aku tidak boleh bersabar dan tidak sanggup menunggu lama-lama. Aku mesti berikhtiar mencari Tuhan.

"Kalau kamu mahu menemui Tuhan, Phoolan, jangan pergi ke hutan tetapi pergilah ke kuil ...."

Tetapi cadangan itu tidak memberi sebarang makna kerana aku puas mencari Tuhan di kuil. Terdapat banyak patung di kuil itu. Semuanya dikira Tuhan juga? Ayah pernah memberitahu kalau kita beribadat penuh khusyuk semua patung itu akan menjadi ‘hidup’ menunjukkan jalan yang ditunjukkan oleh Brahma.

Aku pernah memasuki kuil bersama Chott untuk melihat patung-patung. Pernah juga aku berdiri depan patung itu dan merenung mukanya. Tidak ada satupun yang bernyawa.

Aku mula pupuskan ingatan untuk mencari Tuhan.
Keesokan harinya perut ibu meletup lagi........



Bersambung bab 1D.

Jumlah pembaca:orang