Masa Depan PAS Sabah

Pada hari Sabtu 28 Julai lalu, di Kota Kinabalu memang banyak acara menarik untuk dihadiri yang diadakan di sini, seperti ceramah agama, seminar, kursus dan lain-lain. Namun, penulis mengambil satu kesempatan untuk hadir satu Seminar Pemikiran Politik Semasa yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Sabah sempena sambutan jubli emas ke 50 penubuhan PAS di Malaysia. Menariknya seminar itu, ialah ia diadakan di sebuah Hotel dan dirasmikan oleh YB Mohammad Sabu, seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan turut bersama ialah Haji Subky Latif (juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat). Selain rakan-rakan pemimpin Parti KeADILan Sabah, Peguam James Ghani, Abdul Rahman Yakob, veteran politik Sabah, Datuk Dzulkifli Abdul Hamid juga kelihatan di seminar ini dan lain-lain.

Pesuruhjaya PAS Sabah Dato Dr Haji Bandira, sewaktu memberi ucapan alu-aluannya menyatakan tentang masa depan PAS Sabah dengan nada optimis bahawa kewujudan PAS di Sabah dalam tempoh lebih kurang 15 tahun, pergerakannya agak lambat. Tetapi, insya-Allah hasilnya akan dituai oleh anak-anak dan generasi muda Sabah hari ini. Apabila YB Mohammad Sabu menyambung ucapan dalam ucaptamanya juga turut menyentuh tentang masa depan PAS di Sabah. Katanya, kita jangan kecewa dengan perkembangan pengaruh PAS yang agak lambat itu. Sebab bara PAS sudah ada, apabila tiupan angin pengaruh PAS makin kuat, insya-Allah akan membesarlah pengaruh PAS di Sabah.

Beliau membandingkan dengan situasi yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan dulu dengan sekarang. Jelasnya, dulu calon-calon PAS yang bertanding di Johor dan Negeri Sembilan hilang wang pertaruhan. Tetapi sekarang, selepas pilihanraya umum ke 10 1999 ada beberapa kerusi kita hanya kalah ratusan undi dan tidak lagi hilang wang pertaruhan.

Apabila melihat dan menilai ucapan kedua-dua pemimpin ini, dapat kita meramalkan secara positif akan prospek PAS di Sabah dalam jangka panjang adalah cukup meyakinkan. Yang pendokong, penyokong dan para pemimpin mesti bersabar, istiqamah dan bersedia untuk berjuang tanpa mengenal erti jemu dan kecewa. Sebab sebuah perjuangan yang bertunjangkan kebaikan, islah, kebenaran, keadilan dan rakyat. Insya-Allah, akan berakhir dengan kejayaan yang lebih bermakna. Inilah sunnah kepada perjuangan politik Islam yang matlamatnya bersifat meluas dan banyak serampangnya, bukan kuasa politik semata-mata. Akan tetapi lebih menjurus kepada mengajak manusia kepada menegakkan keadilan sejagat tanpa mengira kaum dan agama, politik dan dakwah, mendidik dan mendisiplinkan rakyat, berusaha membetulkan pemikiran, bersikap ihsan, mengutamakan kemaslahatan rakyat, manusia dan kepentingan umum dan sebagainya.

Dengan itu, PAS Sabah akan menghadapi anjakan kesedaran rakyat Sabah, khususnya umat Islam di Sabah untuk bersama perjuangan kebenaran dan keadilan untuk masyarakat majmuk di Sabah. Bibit-bibit dan suntikan kesedaran terhadap politik Islam atau budaya politik baru yang di bawah BA sudah mula bersinar di bumi Sabah. Ini secara tidak langsung akan turut memberi impak lebih baik kepada PAS di Sabah.

Sekian.

Ibn Sabah, 30.7.2001M

Jumlah pembaca:orang .