MT UMNO Yang Buat Dasar Negara Atau Parlimen?

Mentang-mentang UMNO parti tunjang kepada BN yang menjadi parti pemerintah, PM Malaysia orang UMNO, TPM UMNO, Menteri Penerangan UMNO, maka hak UMNOlah nak mengubal dasar-dasar negara ini, bukannya Parlimen. Ini yang membuat rakyat Malaysia tertanya-tanya. Mana yang lebih atas dari segi struktur sebuah kerajaan, adakah organisasi parti pemerintah atau Parlimen Malaysia dan kabinet kerajaan Malaysia.

Baru-baru ini MT UMNO telah bermesyuarat dan membuat satu keputusan tentang kemasukan pelajar Melayu dan bumiputera akan menggunakan sistem meritrokrasi. Sistem itu dengar kata pelajar Melayu dan bumiputera tidak akan bersandar kepada keistimewaan yang telah kerajaan bagi selama ini. Apakah pengumuman oleh MT UMNO yang bersifat rubber-stamp itu patut dijadikan dasar kerajaan, tanpa terlebih dulu dirujuk kepada Parlimen Malaysia sebagai sebuah badan/institusi tertinggi negara selepas Majlis Raja-raja di dalam sistem negara sekarang.

Seolah-olahnya, pada pemerhatian rakyat marhaen dari jauh UMNO lebih tinggi dari Parlimen dan kabinet kerajaan Malaysia. Sepatutnya setiap yang dihasratkan oleh sesebuah parti apa juga perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Seandainya parti-parti tersebut bersifat perjuangan etnik atau kaum seperti UMNO, seharusnya hasrat tersebut dibawa ke dalam parlimen atau kabinet kerajaan Malaysia untuk dibahas dan dicari jalan penyelesaian atau keputusan yang terbaik.

Hari ini dibawah parti pemerintah yang berkepalakan UMNO yang diketuai oleh Dr Mahathir, mereka tidak nampak lagi prosedur dan undang-undang atau institusi paling tertinggi dalam negara ini. Yang mereka nampak Mahathir itu kuasa tertinggi UMNO, kerajaan Malaysia dan maharaja. Keadaan ini tidak wajar diizinkan oleh rakyat Malaysia untuk UMNO/BN dan Mahathir berbuat sesuka hati, membelakang undang-undang dan bertindak ikut kepentingan politik kepartian sempit UMNO semata-mata.

Moga-moga rakyat akan terus terbuka akal, mata dan hati melihat pelbagai keputusan yang diambil UMNO secara tidak berperaturan, bercelaru dan seperti kerja buat orang yang benar-benar terdesak. UMNO lebih banyak mencari sedikit untung politik tetapi teramat besar keburukannya kepada pelajar Melayu dan bumiputera dalam jangka panjang dalam arus perdana pendidikan di Malaysia.

Sekian.

Ibn Sabah, 30.7.2001M.

Jumlah pembaca:orang