Saya, Phoolan Devi

Bab 1D

Kami sedar akan ketibaan bayi itu. Chotti dan aku kerap bercerita mengenai perkara misteri yang sedang terjadi, rupa bentuk ibuku mengembung yang dikatakan sedang mengandung. Amma kami, telah masuk ke sebuah kamar dalam rumah, dan kami tidak dibenarkan mengikutinya di situ. Tidak lama kemudian Amma muncul dengan seorang bayi di pelukannya.

Keesokan hari kami memulakan satu permainan baru. Aku memasuki halaman rumah memakai sari ibu, berlagak seolah-olah perutku sedang menggelembung dan kemudian aku keluar pula memberitahu aku sudahpun melahirkan seorang bayi. Chotipun memukul dulang tembaga untuk memberitahu berita itu kepada warga kampung semua.

Ibu naik marah lagi dan matanya menjadi lebih besar dan semakin gelap warnanya. Dia marah kerana mendapat seorang anak perempuan baru. Namun, bayi kecil itu diberi nama Bhuri, bererti dia adalah anak perempuan yang mesti disuapkan makanan ke mulutnya.

Ibu telah membuat satu pendirian. Dia enggan memberikan susunya kepada Bhuri, cuma air sahaja. Terpaksalah kami anak perempuannya yang lain berusaha menjaga bayi itu bergilir-gilir. Ibu bertegas dia mempunyai banyak kerja di ladang. Kami terpaksa mencari susu untuk minuman adik (bayi) itu walaupun ini bererti kami terpaksa mencuri.

Kalau ada kambing yang tersesat masuk kawasan rumah, mula-mula kami perhatikan supaya tidak ada sesiapa yang memerhatikan peristiwa itu sebelum kambing itu kami heret dengan memujuknya memasuki pintu depan rumah dan membiarkan kami mengambil susunya di kawasan lapang. Kami memerah dengan cepat untuk mendapatkan susu kambing itu, tetapi kami berhati-hati untuk mengambil sedikit sahaja supaya tuan punya kambing tidak menaruh syak wasangka, ada orang lain yang mengopek susu kambingnya terlebih dulu. Kemudian, kami bebaskan kambing itu dengan cepat sekali, sambil terus berhati-hati. Aku sedar adalah salah untuk mencuri, tetapi takkan Tuhan mahu menidakkan adikku Bhuri dari meminum susu setiap hari.

Kalaulah aku bertemu Tuhan, aku sudah tahu itulah yang akan aku tanyakan.

Sementara itu, aku merasa bangga adikku berupaya membesar. Sejak dua anak perempuan ibuku yang lain itu mati dan ibu merasa gembira kerana Tuhan telah mengambil mereka, aku menjadi takut kalau-kalau kami turut mengikuti jejak mereka untuk hidup di dunia lain di angkasa yang gelap gelita.

Ketika kami menangis di malam hari, ibu selalu menunjukkan jari ke atas dan berkata: "Tengok! Adik kalian di atas sana...... Mereka sudah menjadi bintang di angkasa raya!" Banyak bintang di atas sana, besar dan kecil membuatkan aku takut hilang pula. "Amma", tanyaku, "apabila saya mati, bolehkah saya menjadi bintang yang lebih besar dan lebih berkilau daripada yang lain?" Oleh kerana warna kulit Choti yang gelap itu, aku kerap juga mengejeknya dengan berkata dia akan menjadi ‘kara’ sebutir bintang hitam yang hanya mengeluarkan bayangannya, sedangkan aku akan menjadi ‘tara’ sebutir bintang yang mengeluarkan cahaya gemerlapannya.

Aku tidak tahu sangat akan tahun kelahiran Bhuri.

Dunia yang digambarkan oleh ayah, di bawah kilauan bintang di mana Tuhan, walaupun ia tidak dapat dilihat, telah mengambil adik-adikku dulu adalah kampung kami yang bernama Gurha Ka Purwa. Itulah pusat duniaku, melewati rumah Bihari di selekoh jalan dan menaiki lerengan yang curam mengikuti lorong yang sempit yang dikepit oleh beberapa rumah kecil seperti kediaman kami sehinggalah menghala ke satu telaga kampung yang dalam dengan rupanya yang kelam. Namun itulah tempatnya aku menurunkan baldi dengan menggunakan tali untuk mendapatkan air kegunaan kami. Tidak jauh dari rumah ialah sebatang sungai bernama Nadi, di mana kami membersihkan segalanya yang mesti. Sungai Nadi mengalir untuk bertemu dengan Sungai Yamuna yang menjadi tempat penyemadian abu-abu mayat yang ditaburkan.

Air Sungai Yamuna memang lembut dan jernih ketika musim bunga, dan berwarna biru kerana pancaran suria yang panas. Unggas berlumba di atas permukaan air yang berkilauan mendapatkan ruang untuk menari, dan ular kerap menggelonsor sepanjang tebing sungai yang memancarkan kilat panahan mentari. Apabila musim monsun tiba, air sungai bertukar rupa menjadi coklat dan berlumpur sahaja. Sungai menjadi semakin melebar membawa segala debu dan abu pergi mengalir sama. Hujan lebat mulalah menikam perkampungan sehinggakan ular dan katak yang menyorok sekian lama akan terdedah juga dan ada kalanya rumah-rumah yang dibina di tebing-tebing sungai akan runtuh dan dibawa arus yang deras alirannya.

Sungai Yamuna bermula daripada lereng pergunungan tempat persembunyian Tuhan. Di bahagian atas bermulanya anak sungai terdapat lopak-lopak air, jurang yang dihuni belukar yang berduri dan kawasan hutan yang dihuni oleh binatang buas: harimau, rimau kumbang, anjing liar, serigala, pungguk dan ular. Di sebalik hutan itulah tempatnya mentari tidur di malam hari, dan itulah penghujung dunia ini.

Adalah dianggap bertuah kalau seorang ibu melahirkan anak lelaki kerana keluarganya tidak perlu menyediakan dauri sebagai mas kahwin.

Itu sahaja yang aku tahu mengenai hal itu, bukannya dari pembacaan buku sekolah, tetapi melalui pengamatan mata dan telingaku.

Pada satu hari ayah memanggil aku untuk memberitahu, "Kamu mesti menghormati Bihari. Dia itu pamanmu!"

Aku tidak mempercayai ayah. Bagaimana mungkin seorang yang begitu kaya merupakan pamanku. Orangnya mempunyai beberapa pembantu rumah untuk menjaga kediamannya yang dibuat dari konkrit? Kalau betul dia seorang pamanku sudah tentu dia membantu kami, bukannya memukul kami dan mengaibkan kami! Bahari membenci kami. Ketika aku masih kecil dulu, dia kerap menjeringaikan giginya dan adik kecil aku terpaksa lari tunggang-langgang walaupun dia tidak berpakaian di pinggang. "Tengok budak-budak kamu, mereka berbogel semuanya!" begitulah jeritan Bahari kepada ibu. "Buat malu saja!" Demikian dia akan berkata kepada orang kampung sambil menuduh kami sebagai punca segala kekacauan.

Semua ini berpunca apabila Bahari mencuri tanah ayah hinggakan kami tidak mampu membeli kain baju. Pakaianku yang pertama adalah dibuat daripada cebisan kain sari ibu.

Bahari dan ayahku adalah adik beradik. Mereka berkongsi ayah yang sama, cuma berlainan ibu. Bahari menjadi kaya raya kerana dia telah mengekalkan saham bahagian tanah dan lembu ternakan peninggalan ayah mereka untuk dirinya sendirian. Dia berkata, bapaku tidak berhak kepada warisan itu. "Ketika ibumu muncul di pintu rumah," demikian yang aku masih ingat kisahnya yang menjerit-jeritkan cerita itu supaya semua orang kampung boleh tahu., "dia mengheret tangan kau bersamanya."

Sejak itu ayah telah membelanjakan segenap rupee yang diperolehinya sebagai tukang-kayu untuk berulang-alik ke mahkamah menentang paman aku itu. Ketika mereka bersemuka di mahkamah tempatan, ayahku menang dan kami telah beramai-ramai pergi ke kuil untuk membawa hadiah kalungan bunga untuk diletakkan di kaki dewa-dewi. Tetapi, Bahari bijak orangnya. Dia pergi ke mahkamah yang lebih tinggi lagi, jauh di Orai, dan selepas itu berlagak seolah-olah tidak ada sesuatu yang telah berlaku. Untuk pergi ke mahkamah di Orai, ayah terpaksa berjalan kaki sehari suntuk dan dia selalu pulang dari mahkamah itu dengan penuh keletihan dan semakin kehampaan. Ayah mengeluh betapa dia memerlukan banyak wang lagi untuk membayar peguam yang lain pula.


Ayah bercerita akan hal itu hampir setiap hari, dan kalaupun dia tidak bercakap mengenainya, kami tahu dia sedang memikirkan perkara yang serupa. Itu sebabnya aku mula membenci pamanku yang berlagak laksana seekor helang yang berlegar-legar tinggi di atas jurang. Dia berlagak laksana seorang ‘thakur’ seperti orang penting dan berkuasa, yang memiliki tanah tetapi tidak sanggup mengotorkan kakinya di bendang. Kerana kekayaannya, Bihari berfikir dia mempunyai kuasa yang sama kuatnya seperti seorang ‘thakur’, sedangkan dia hanya seorang malah seperti kami juga.

Pada satu hari, ayahku telah dipanggil untuk menghadiri majlis ‘Panchayat’, yakni majlis kampung kami. "Tahukah kau apa yang patut kamu lakukan, Davidin?" tanya Sarpanch, ketua majlis kampung itu. "Kau seharusnya menghentikan tuntutan mahkamah terhadap Bihari. Apakah tak fikirkan masa depan anak gadis kamu ? Kau sepatutnya memikirkan perkahwinan mereka. Kamu ada empat anak perempuan. Bagaimana dengan dauri perkahwinan mereka kalau kamu asyik berbelanja di mahkamah?"

Ayah merayu kepada mereka. "Tolonglah aku, berilah aku pengadilan. Biarlah mahkamah yang menentukannya." Tidak seorangpun mendengar rayuannya. Walaupun dia menangis, mereka terus menyepi. Semua ahli majlis kampung itu adalah orang kaya raya, sahabat baik Bihari.

Apabila pulang, ayah memberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Ceritanya itu menaikkan darahku. Ayah memang merupakan seorang insan yang baik hati dan berbudi bahasa. Tidak ada secebis pun niat jahat di hatinya. Dia tidak pernah memukul kami. Dia menggunakan tongkat yang dipegangnya itu untuk menumpang berat badannya ketika berjalan pulang di malam hari. Badan ayah yang sememangnya kurus kering itu sudahpun mula membongkok. Ayah pernah juga merayu kepada orang kampung. "kalian pun miskin semacam aku, tolonglah.... Pergilah ke mahkamah dan beritahu hakim apakah aku ini, Devidin anak lelaki sebenar kepada ayahku! Tolonglah beritahu kisah yang benar!" Tetapi orang kampung amat takutkan Bihari. Mereka tahu cerita sebenarnya tetapi mereka tidak sanggup menyebelahi ayah. Mereka juga marhaen miskin seperti kami dan mereka lebih rela melakukan apa yang dinasihatkan oleh Sarpanch. Seandainya ada juga orang kampung yang membantu ayah, Bihari akan menentukan orang itu dipukul oleh samseng-samseng upahannya.

Apabila hari perbicaraan semakin hampir, dan ayah terpaksa bersiap untuk menghadirinya, Bihari akan berjumpa dengan adiknya itu. Dia menawarkan sebidang tanah seluas 60 ‘bighas’ kalaulah ayah sanggup menggugurkan tuntutannya. Ayahpun bersetuju, tetapi itupun satu muslihat sahaja. Apabila ayah menuntutnya, Bihari menghalaunya. "Kes tuntutan kamu telah disebut di mahkamah, kenapa engkau tidak hadir? Lagipun mahkamah tidak boleh tuntut aku memberikan tanah kepada kamu, sebab aku pun tidak bertanah!"

Dia telah menjual tanah seluas 80 bighas dan membelanjakan wang untuk membina rumah besarnya lengkap dengan telaga di halaman. Dia telah memberikan satu bidang tanah kepada anak lelakinya Mayadin, dan tanahnya yang berbaki telahpun dipindahkan namanya kepada anak perempuannya.

Itulah sebabnya Buppa kami itu sentiasa kelihatan sugul sahaja.

Selain dari tanah sekangkang kera di mana ayah menanam sepohon pokok ‘neem’ di atasnya, tidak ada tanah lain kepunyaan kami. Untuk hidup terpaksalah kami bergantung kepada ‘kachwari’ yakni bidang tanah rizab sungai Yamuna yang menjadi kering-kontang apabila sungai yang membesar ketika musim monsun, mengecil dan mengecut setelah surut. Tanah rezab ini bukannya milik sesiapa. Selama enam bulan setiap tahun, itulah tanah yang dipinjamkan Yamuna kepada kami sambil air yang masih mengalir menyaksikan kami setiap kali ia lalu menuju persimpangan di Sungai Ganges.

Tuan punya bot menyewa botnya kepada kami dengan kadar lima rupee sebagai sewa harian. Kami terpaksa mendayung sendiri merentas sungai itu setelah memuatkan beberapa bakul baja talembu yang dicampuri tanah berpasir yang kami gunakan sebagai asas penanaman tembikai dan mentimun. Kami terpaksa berulang alik dengan memunggah baja itu. Tetapi ada kalanya arus sungai begitu deras memaksa kami mendayung berjam-jam lamanya hanya untuk membuat satu lintasan.

Aku telah lama belajar bagaimana mendayung perahu menyeberangi sungai ketika arus deras. Ketika itu usiaku masih kecil lagi. Kaum malah adalah kecil-kecil sahaja badan mereka tetapi tangkas laksana pepatong kupu-kupu yang mudah terapung di permukaan air yang deras itu. Aku sudah pandai berenang ketika berusia empat ataupun lima tahun. Pada ketika itu aku sudah tahu mengutip baja talembu dan menaruhnya di dalam bakul untuk dijunjung dan dimuatkan ke dalam perahu. Aku sudah pandai membantu Rukmini menugal tanah dan menabur benih. Apabila membesar, tanaman di Kachwari itu adalah milik kami sepenuhnya. Kami boleh makan semuanya, ataupun menjual sebahagian di pasaran. Itulah pemberian mutlak dari Tuhan untuk kami dan ayah selalu memberitahu agar kami bersyukur kepadaNya.

"Apabila dia senang hati dengan mahkluknya, Tuhan memberikan bermacam berkat kepada mereka."

Ibu tidak pula bersetuju. "Tak payahlah kamu pergi mencari Tuhan, Phoolan... Tuhan hanya memberi kepada yang kaya raya. Dia telah memberikan segalanya kepada Bihari dan tidak ada satu apapun kepada ayah kamu."

Di kampung kami itu, ada ibu-ibu yang memanjakan anak-anak mereka dengan memberikan makanan yang baik-baik.Tetapi, ibu tidak mampu memberikan kasih sayang mengikut cara yang ditunjukkan oleh ibu-ibu lain. "Amma ialah seorang hantu," kata Choti padaku. "Dia selalu saja marahkan kita," Kami ada mulut dan perut, dan sebagai perempuan kami mudah lapar sehingga perutpun kecut.

Kami memang takutkan ibu apabila dia menjerit. "Apa akan jadi kepada semua anak perempuan aku? Siapa yang akan mengahwini mereka?" Kadangkala muka ibu berubah wajah dan sungguh menakutkan. Matanya menjadi besar dan menggelap, biji matanya lebih besar daripada mata kerbau dan dia mudah bersungut. "Makan pun tidak cukup. Aku tak faham kenapa kita ada ramai anak perempuan....." Semacamlah kami ini pencuri semuanya yang mencuri makanan daripada rumah sendiri.

Ada satu ketika ibu menjerit kepada ayah, sambil dia menyauk tangan kami seolah-olah mahu mengopaknya dari badan kami. "Aku akan terjun dalam telaga! Aku akan humbankan budak-budak ini dulu kemudian aku akan ikut terjun sama!" Aku jadi ketakutan, dan Choti menggigil dengan ketakutan juga. "Jangan campakkan saya, Amma! Nanti saya akan mati!"

Musim sejuk sudah bermula dan ibu sudah semakin berang kerana kami tidak mempunyai bekalan makanan, sedangkan Paman Bahari mempunyai segalanya. Ibu naik marah kerana ayah tidak pernah mahu bertengkar dan berlawan dengan abangnya. Ayah bekerja keras laksana hamba abdi dan beribadat. Ibu kata ayah adalah seorang yang lembut hatinya. "Bihari yang menentukan segalanya," kata ibu. Setiap kali Bihari memukul aku, ayah tidak berkata apa-apa. Dia cuma merapati aku untuk memujuk sahaja. Dia akan memangku aku dan berkata; "Paman kau itu adalah seorang hantu, bukannya seorang manusia."

Kalau demikian, kataku, akupun mahu jadi hantu. Barulah aku boleh mencabarnya untuk belawan pula.

Aku sudah dibantai sejak dilahirkan lagi. Adikku Choti kerap menunjukkan kesan-kesan dibantai itu, seperti mana aku menunjukkan kesan yang serupa kepadanya. "Apakah semua anak yang kecil-kecil turut kena bantai?" demikian fikiranku. Kadangkala terfikir juga kenapa setiap hari aku mesti dipukul? Kalau bukan Bihari yang memukulku, Pradhan yang akan melakukannya ataupun ibuku sendiri.

Ayah pernah memberikan penerangan betapa dalam kampung itu terdapat dua jenis penduduknya. Yang kaya memiliki tanah dan yang miskin seperti kami yang terpaksa bersabar menunggukan paras sungai surut untuk pergi berladang di Kachwari, bidang tanah rezab kepunyaan sungai.
"Orang yang kaya boleh memberi arahan, boleh memukul dan mendera kamu. Kerana dia mempunyai tanah dia mempunyai kuasa menentukan nasib kita. Dia memiliki tanah dan mengagihkan kerja kepada kita. Kalau pekerjaan itu tidak diberinya, kita akan mati kebuluran."

Kumpulan miskin memang tidak ada apa-apa. Tanah, wang ataupun kuasa memang tidak ada pada mereka. Mereka dilahirkan hanya untuk berkhidmat sahaja.

"Itulah caranya Phoolan!" kata ayah. "Kamu terpaksa tunduk dan sentuh ibu jari kaki mereka yang lebih berkuasa kerana merekalah yang melindungi kamu."

Aku renung muka ayah yang pemalu itu, garisan keningnya, baju kapasnya yang usang, tangannya yang lusuh, kulitnya yang menyerupai keperang-perangan warna tanah kampung yang mewarnai hidup kami itu. Kemudian, aku terbayangkan cara hidup Paman Bihari yang mengenakan pakaian panjang ‘kurta’ dengan sekeping capati di tangannya, menyauk segenggam kekacang ke mulutnya. Aku teringatkan cara dia menunjukkan tongkatnya yang jahanam itu . Aku tidak faham langsung kenapa mesti ada perbezaan antara kami, dia dengan kekayaannya dan kami yang terus hidup melata.

Memang begitulah caranya, kata ayah. Yang miskin mesti menundukkan kepala dan menyentuh kaki yang kaya raya. Yang miskin hidup dengan beberapa butiran gandum sedangkan yang kaya hidup menikmati kelazatan mangga yang ranum. Keperitan perut golongan marhaen yang miskin dan kelaparan mencetuskan perasaan takut dan kesediaan untuk menghambakan dirinya. Aku mesti mengalah mengikutkan kata ayah, kerana aku mesti melakukannya. Tetapi aku tidak terdaya mematuhinya. Aku lebih menyerupai ibuku. Terlalu banyak darah muda yang mudah marah dalam tubuhku ini.


...bersambung Bab 2..

Terjemahan SPAR 10

Jumlah pembaca:orang