Saya, Phoolan Devi 

BAB  2

Si Brahmin  telah datang  ke rumah  untuk  bercerita pasal pelajaran  semula.

Pernah  satu ketika  di waktu  aku  masih kecil, ayah telah membawa  aku  ke sebuah sekolah di perkarangan  rumah  si Pradhan itu. Usiaku mungkin  baru  empat ataupun  lima tahun, kerana  aku belum tinggi lagi  untuk  berupaya  mencapai hidung seekor lembu. Ketika itu  ayah  sedang  duduk  di atas  khat   di laman  rumah  dan dia  telah memanggil  aku  mendekatinya.

‘Phoolan, ayah  fikir tibalah masanya kamu  belajar  bercakap,’ kata ayah. ‘Kenapakah kau tak  cakap sikit-sikit? Kamu tak pernah  mahu ketawa dan terlalu  penakut kepada orang. Apakah   Phoolan pun takut  pada  ayah?’

Aku  menggelengkan  kepala.  Apa sebab aku  mesti takutkan  ayah?  Tidak, aku hanya takutkan ibu.   Malahan, kakak Rukmini pun kerap  mengganggu  aku, kerana badannya  yang lebih  besar  daripada  aku. Tetapi, aku  tidak pun takut  kepada ayah.  Setiap kali  dia melihat wajahku  memang tersisip  perasaan kasih  sayang  di sebalik renungannya  itu. Tetapi memang benarlah....   di usia yang masih  muda  itu  aku  memang  jarang sangat mengeluarkan   kata-kata.

‘Ayah  akan hantarkan kamu  bersekolah,’ demikian ayah  membuat keputusannya. ‘Guru Brahmin  itu  akan  mengajar  kamu  bercakap.   Kamu  mesti dengar cakapnya  dan patuh akan tunjuk-ajarnya.’

Ayah  telah  memimpin tanganku  sambil  kami  berjalan kaki  menyusuri lorong di bahagian hujung  barisan rumah-rumah   sambil melalui   depan sebuah  rumah  yang  kosong yang dulunya  dimiliki oleh seorang   tua   yang tidak pernah aku lihat rupanya. Tetapi namanya ialah  Kamlesh.  Kemudian,  kami  melepasi ruang  Markhan  seorang nelayan yang bermata cemeh  dan  sangat  dhaif hidupnya;  lalu pula  di  depan  rumah  Ram Sevak  yang bekerja sebagai seorang  nelayan  juga; kemudian  melalui depan rumah  mewah yang dibina oleh  Paman Bihari untuk  anak perempuannya, Bitoli.   Kemudian kami cepatkan langkah  melepasi  rumah besar dua  tingkat    yang dihuni  oleh Bihari.

Cuma ada satu jalan yang menghala  ke  sekolah  itu, sementara  ada satu  jalan lain pula  untuk  pergi ke kaki bukit, melepasi  telaga awam   kampung  dan melepasi  rumah Panchayat (rumah  di mana  majlis  pemimpin  kampung  menjalankan  siasatan dan mesyuarat mereka) untuk menghala  ke  kuil pula.  Terdapat dua kuil di kampung  kami. Satu  kuil itu  memberi  penghormatannya  kepada (dewa)  Kali.  Di situlah  ayah kerap pergi dengan barang  pemujaannya  kepada  sang dewata dan  membaca serapahnya untuk  meminta pertolongan. Kuil yang satu  lagi kelihatan lebih menarik yang khusus memberi penghormatan kepada Shiva.  Di sinilah tempatnya orang  yang kaya-kaya kerap berkumpul memberikan  ucapan  terima kasih  mereka  kerana  segala  harta kekayaan  di dunia. Brahmin itu  adalah  Sami kampung kami  dan  dialah  yang  mengawasi kedua-dua kuil itu;

Ayah  masih  memimpin tanganku untuk mengambil jalan-potong  menuju  rumah Pradhan.  Dia berhenti di hadapan  sebuah  bangunan yang berpintu kayu yang  dicat dengan beberapa perkataan  di  pintu itu.  Tengok Phoolan,  tulisannya  menyebut  ‘SEKOLAH RENDAH”. Di sinilah   kamu  akan mulakan  pelajaran menulis  dan  membaca.

Rumah Pradhan mempunyai  laman  yang  bersimen dan  kami  kanak-kanak yang  ada disuruh duduk  bersila.  Kami diberikan satu  buku kecil setiap  seorang  dan  dalam buku itu ada beberapa   lukisan kecil-kecil. Kami  buka  buku  dan  sami Brahmin itu  menggunakan tongkatnya  untuk  menunjukkan  perkataan yang  tertulis di papan  hitam. Tetapi Brahmin ini  tidak penyabar orangnya  kerana mudah  mendera  pelajarnya.  Dia cuba mengajar huruf-huruf  itu  dengan ayunan tongkatnya.  Dia memaki kami kalau  gagal mengikut  apa yang telah disebutnya.  Setiap kali dia naik baran tongkat itu pun dihayunnya ke atas kepala  kami. Sedangkan  kepala kami semuanya sudah dibotakkan  untuk mengelakkan  kutu bersarang.

‘Ek.........Do.....Tin.....Char.......Panch......Ulang balik!’
‘Satu.. ....Dua.. Tiga...Empat....Lima.....’

Aku tidak lama belajar  di  situ, dan tidak pula  kembali  menyambung pelajaranku.   Kami miskin  dan  aku  terpaksa turut  bekerja membanting tulang. Itu   sebabnya aku tidak pernah  belajar  membaca ataupun  mengira (ilmu kira-kira). Tetapi, ayah sudah tidak perlu risau  mengenai kemampuanku bercakap.   Dalam beberapa tahun  saya  aku sudah petah bercakap.

Namun, setiap huruf   yang menjadi asas  perkataan  yang dieja   itu  terus menjadi  satu misteri  kepadaku.   Kalau  adapun buku yang  pernah  aku  lihat  ialah  Kitab Ramayana,  yang  mencatatkan kisah  Rama, dan penjelmaan  semula  Vishnu.  Sami Brahmin itu  kerap  membacanya  kepada orang  kampung  yang berkumpul untuk berteduh di bawah pokok.  Kadangkala dia menjemput   warga  Brahmin yang lain  untuk turut membacanya kerana  buku itu memang  besar  saiznya  sedangkan cerita di dalamnya panjang-panjang dan mempersonakan.  Aku melihat buku itu dari jarak jauh sahaja kerana kaum  wanita tidak dibenarkan menyentuh kitab  itu.

Majlis membaca kitab memang memakan  masa.  Walaupun aku tidak berapa suka dengan Brahmin itu,  suaranya mempersonakan aku  dan  dengan kisah  pengembaraan  Rama yang akhirnya  mengahwini  Puteri Sita. Dewi Sita telah diculik oleh  raksasa  dan Rama telah berusaha  untuk  menyelamatkannya. Dia terpaksa berlawan dengan   raksasa yang berbahaya dan  garang-garang   semuanya.  Demikianlah  ceritanya sehinggakan   pada  malam itu, aku  telah  bermimpikan  Rama   melawan semua  raksasa yang  cuba dikalahkannya.

Ketika   masih  kecil-kecil dulu,  suara  aku   memang  perlahan kerana aku cakap sendirian. Aku  gemar  menyaksikan   arus  sungai Yamuna  mengalir   dengan tenangnya, bertukar warna   mengikut pertukaran musim. Aku pernah menjangkakan  awan yang besar itu kerap menyedut  air sungai  dan  membawanya  naik ke  angkasa  untuk menggugurkannya kembali  menyirami  segala tanaman di  bumi. Terdapat  dua   elemen di langit: air  dan api.  Matahari adalah  api. Kemudian, awan turun  untuk  menyedut  air sehinggakan matahari  berlawan  dengan awan menyebabkan  meledaknya  guntur di langit. Inilah  yang membuatkan  hujan  turun  untuk  membasahi bumi  memberikan  kepuasan kepada segala tumbuhan  untuk  hidup kehijauan dan  terus  membesar  dan  meninggi.

Aku pernah juga  menyaksikan  beberapa  perahu  dan bot  bergerak perlahan-lahan menyusuri  tebing sungai   antara beberapa  perkampungan seperti kampungku.  Ayah pernah memberitahu  bagaimana lampu  letrik  di Orai,  boleh menyala  tanpa  sesiapa yang memetik suisnya  dan   lampu menyala  begitu  terang  sekali  laksana bintang-bintang tanpa  ada  obornya.   Ada  satu  perkhidmatan keretapi  yang menggunakan   landasan besi    yang   bergerak antara Orai ke  Kanpur. Di bandar itu  kaum  ‘Jatavs’ membuat kerja-kerja memotong dan menjahit  kulit binatang.  Di  sana juga  terdapat kedai-kedai yang  menjual  sari  yang  cantik-cantik diperbuat daripada benang emas.  Di situ  juga ada  satu kuil  yang bangunannya  sebesar gunung    dicat dengan  warna  putih dan dihiasi bintang yang berwarna warni .Di kampung kami,   tidakpun ada   lampu letrik yang  berbentuk bintang  di  pokok-pokok. Yang ada  di  pokok-pokok  itu hanyalah monyet  dan  kera   yang  sibuk  mengomel  di  cabang kayu  dalam bahasa  yang   mereka sahaja  yang  tahu.

Kerap juga  aku  memikirkan kalaulah aku tahu  bahasa beruk  tentu  akan faham apa yang membuatkan  mereka sibuk.  Begitulah  juga  dengan    beberapa ekor  lembu hitam  yang kerap  aku  suapkan  rumput kering, tentu  mereka  sedang  mengunyah  makanan  sambil memikirkan   zaman  silam  ketika  mereka   melayari hidup  dulu-dulu sebagai manusia. Sejak  Bhuri dilahirkan  mimpiku kerap  datang  berulang-ulang. Aku pernah bermimpi ketika hidup  di zaman kehidupan yang  terdahulu,  aku  tertanam  hidup-hidup dengan anak  kecilku.  Dalam  mimpi itu  aku  telah berlari  mencari ayah  merayu  dia menolong dan menyelamatkan  anakku  itu. Pernah juga  aku bermimpi  dikahwinkan dengan seorang maharajah  tua dan disebabkan aku  berbuat  sesuatu  dengan    hamba istana  aku pun telah dihukum oleh  maharaja ditanam hidup-hidup  sambil masih  bernyawa. Aku masih teringat  tempatnya  di  mana  aku  ditanam itu, di  bawah  sebuah  pohon palma berdekatan  sebuah  anak  sungai.

Setiap kali aku dipukul,  aku pergi merajuk   ke tepi sungai untuk menangis sendirian. Pada waktu itu  aku  kerap  mengharapkan kalaulah  Tuhan  melahirkan aku ke dunia  ini sebagai  seekor  haiwan..  Semua binatang  tidak pun kaya  ataupun  miskin, masih ada orang yang sanggup  memberi makan dan memelihara  mereka. Mereka tahu hakikat ini tanpa perlu   mempelajari ilmunya.  Malahan  tikus  yang kerap  mencuri  gandum kami adalah lebih  pintar daripada  kita.

Ibu  tidak membenarkan  Brahmin bercakap lagi mengenai pendidikan  kami. Dia memberitahu mereka betapa  kami  terlalu sibuk  untuk belajar   menulis  dan  mengira.

Aku sudah diberitahu  betapa  aku tidak payah pergi ke sekolah lagi. Begitu juga dengan adik-adikku.  Adik  lelaki ku Shiv Narayan terpaksalah pergi sekolah kemudian hari untuk mempelajari  bagaimana membaca  dan  mengira.  Ibu pernah   berkata  kami anak-anak perempuannya  tidak perlu belajar semua itu  melainkan  cara mengisar  gandum, membuat chapati, mencangkul  rumput,  mengibas rumput  untuk makanan  ternakan   dan mengambil air di  telaga.  Tetapi,  ibu kerap  memberi amaran  agar  mempelajari  satu perkara penting,  iaitu  menjauhkan  diri  daripada bahaya. Dia pernah memberi amaran kepadaku betapa  aku  akan  terjebak  dalam  bahaya satu    hari  nanti, dan aku kerap memikirkan apakah  sebenarnya  bahaya  itu. Tentulah  perkara itu sesuatu yang dahsyat kerana mata ibu  menggambarkan sesuatu yang menakutkan  setiap kali  dia  menyebutnya.

Dan seperti Tuhan, bahaya  itu ada  di mana-mana.....

Bersambung  2b....

Jumlah pembaca:orang