DAP Tersepit di celah-celah batu

Oleh K. Raveendran

(Dipetik dari Inraiya-Malaysia@yahoogroup.com)

(Nota webmaster: Artikel ini ditulis oleh seorang yang bukan beragama Islam. Jika ada pandangannya yang tidak begitu tepat mengenai Islam, anggaplah ia satu yang biasa dan email kepada webmaster jika mahukan penjelasan lebih lanjut. Ianya disiarkan sebagai satu layaran politik dan isu semasa yang sedang berlaku)

Pucuk pimpinan DAP nampaknya semakin tertekan di antara celah-celah batu. Di satu belah Pemuda DAP bangkit menggesa agar Encik Lim Kit Siang tidak menerima pencalonan ke jawatan Pengerusi manakala di satu belah lagi seluruh parti DAP tertekan kerana konsep Islam acuan PAS.

Tekanan pertama mungkin tidak begitu penting tetapi tekanan kedua adalah sangat penting dan menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia tidak kira mereka itu penyokong Barisan Nasional ataupun penyokong pembangkang.

Masa depan DAP sangat bergantung dengan keputusan yang akan di ambil oleh pucuk pimpinannya nanti. Saya percaya walaupun DAP merupakan sebuah parti politik, namun mereka bersikap ikhlas dengan konsep "Malaysian Malaysia." Tetapi, tindakan para pemimpinnya bergabung dengan PAS yang sedang menyebarkan Islam acuannya sendiri menyebabkan DAP tersepit di celah-celah batu.

Pucuk pimpinan DAP sebenarnya akan hadapi dilema samada mereka terus bersama PAS dalam Barisan Pembangkang ataupun menceraikan kumpulan pembangkang dan berjuang secara bersendirian. Pucuk pimpinan haruslah berani untuk mengambil keputusan-nya di sini. Ini kerana masa depan DAP terletak di dalam keputusan yang bakal diambil.

Kalau DAP berada di dalam pembangkang maka ia akan menjadi satu kelebihan untuk MCA, Gerakan, MIC dan PPP untuk menyerang DAP kononnya "Satu Undi untuk DAP sebenarnya adalah undi untuk PAS." Saya yakin serangan itu tidak mungkin akan dapat dipatahkan oleh DAP. Kalau DAP terus bersama pembangkang, ia juga akan di gunakan sebagai senjata oleh UMNO untuk menyerang PAS kerana terang-terang DAP menentang Islam.

Tapi kalau DAP keluar daripada gabungan pembangkang kemungkinan besar musuhnya akan bertambah iaitu musuh politiknya bukan lagi BN sahaja malah parti pembangkang yang lain juga akan menjadi musuhnya. Tapi kinipun tiada kekurangannya kerana parti-parti pembangkang yang lain sebenarnya menjadi "duri dalam daging antara satu sama lain" DAP yang jadi mangsa dalam setiap pertaruhan.

Pucuk pimpinan DAP haruslah mengambil satu keputusan samada hendak berjuang sebagai seorang pejuang yang berpegang kepada prinsip atau pun kerana matlamat hendak menghalalkan caranya. Tapi saya yakin selagi DAP terus bersama pembangkang, terutamanya PAS, bermakna zaman malang bagi DAP akan berterusan.

Mungkin kesemua ini boleh diatasi dalam sekelip mata sekiranya PAS menggugurkan konsep negara Islam mengikut acuannya. Tapi apakah ini akan berlaku? Saya rasa kalau waktu malam matahari terbit dan waktu siang bulan yang memancarkan cahayanya pun, pengguran konsep negara Islam ini tidak akan berlaku. Ini kerana PAS dapat berdiri selama inipun kerana adanya Islam acuan PAS. Kalau tidak dah lama mereka gulung tikar. PAS sebenarnya tidak ada isu lain selain Islam acuan-nya. Di saat ulamak politik YB Nik Aziz berkata, kita gugurkan perjuangan untuk menegakkan negara Islam di saat itulah PAS akan jatuh menyembah bumi. Jadi ini adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku.

Dalam situasi yang sedemikian DAP juga tidak mempunyai pilihan. Hanya 2 pilihan sahaja diberikan. Samada kekal bersama PAS atau bercerai dengan PAS. Sekiranya DAP mengambil keputusan untuk bercerai, maka sudah tentu sedikit sebanyak kredibilitinya akan tercemar tetapi masih ada masa untuk DAP bangkit kembali. Lagipun kredibiliti dan integriti DAP kini memang pun sudah tercemar akibat silap langkah. Lebih lurang masih ada masa 2 tahun untuk pilihanraya ke 11. Dalam masa 2 tahun ini, satu reformasi dalaman boleh dilakukan secara besar-besaran dan pemimpin muda boleh dilatih untuk menjadi pemimpin yang akan datang.

Tapi yang menjadi persoalan utama ialah apakah DAP berani membuat keputusan untuk bercerai dengan PAS kerana DAP sebenarnya tersepit di celah-celah batu -- tidak tahu jalan keluar.