Kebebasan Wartawan
(Freedom of The Reporter)
oleh: Harun Rashid

Kebebasan akhbar sebenarnya merupakan kebebasan golongan wartawan. Setiap kali tercetusnya sesuatu peristiwa, pemberitaan peristiwa itu bergantung kepada cara dan sikap serta kebebasan seseorang mentafsirkannya. Ini juga bergantung kepada sokongan yang diberikan kepadanya ketika membuat kerja-kerja siasatan, menulis dan bagaimana kerjanya itu disunting, dan dibaca prufnya. Yang lebih penting lagi apakah si wartawan itu ada membuat lawatan di tempat berlakunya sesuatu peristiwa itu.

Para wartawan memang diberikan tugas harian, dan mereka pun pergilah ke tempat di mana tercetusnya peristiwa yang melahirkan berita. Semakin kerap kini, apabila tiba di sesuatu tempat itu mereka disogokkan dengan pemberitaan yang sudah disediakan dalam bentuk ringkasan, yang disediakan oleh kakitangan bahagian hubungan luar. Ada juga persidangan akhbar di mana kenyataan bertulis diulang kembali oleh para menteri yang mempertontonkan keyakinan diri. Salinan yang tersedia diedarkan juga dengan kata-kata ingatan yang jelas dipaparkan, supaya tidak dilakukan sebarang pindaan kepada laporan. Soalan yang dikemukakan untuk menyanggah menu yang disediakan itu tidak digalakkan. Pernah terjadi, tetamu (wartawan ) tertentu sengaja dihalang, ataupun ditolak kerana tidak diundang, mungkin kerana dianggap sudah terbuang. Kalau ini disedari, rakan wartawan yang lain akan bersikap dingin tanpa mahu bertindak garang dan sengaja mengunci suara untuk tidak dianggap berbisa.

Seseorang wartawan yang dikurnia minda menyelongkar cerita sudah tentu akan menolak kerja-kerja pengawalan seperti ini dan menumpukan usaha berkarya yang amat diperlukan untuk mencungkil intipati berita secara terperinci. Keghairahannya ini pasti ditentang kerana ada pihak tertentu yang terlibat yang mahu menyekat, agar berita sebenar terus tertambat. Usaha besar-besaran kerap dilaksanakan untuk menghalang siasatan bebas oleh wakil media. Polis dan juga ahli-ahli parti politik yang berkuasa mudah gelabah untuk menudung segala usaha konspirasi mereka daripada dikesan dan didedahkan.

Para wartawan sentiasa diawasi oleh para editor yang sentiasa pula diawasi oleh para tuannya. Inilah hakikatnya dunia kewartawanan yang mesti disedari di sebalik segala kenyataan oleh para pemilik, pegawai kerajaan, pegawai polis dan para pengarang bahawa pengawalan seperti ini “tidak pernah wujud” mestilah diperakukan secara bebasnya oleh para wartawan itu sendiri. Pembaca akhbar mesti bijak menilai kebenaran dan kesahihan berita yang menggembar-gemburkan serta memuji dan memuja pelbagai acara dan perwatakan yang melibatkan parti politik yang berkuasa kerana pemberitaan yang dibuat itu memperlekehkan kebenaran sebenarnya dan sengaja memperbodohkan para pembacanya.

Apabila sesebuah parti politik menunjukkan minat menguasai akhbar, radio dan TV, kebebasan media pun menghilang. Setiap berita dan gambar yang ditayangkan mesti memenuhi tujuan propaganda. Walaupun ada pengecualian yang dijanjikan, ia harus disangsikan kerana kemungkinan wujudnya satu helah sementara untuk memulakan satu usaha mencerna keyakinan untuk kerja-kerja tipudaya akhirnya.

Apabila laporan bebas yang mampu menyelongkar berita dinafikan, ini memberikan ruang bebas kepada para bajingan. Laporan polis mengenai sesuatu peristiwa itu menjadi satu berita palsu kerana pembaca tahu wujudnya muslihat penipuan yang sengaja diada-adakan. Apabila pegawai penyiasat mengemukakan akuan bersumpah yang kemudiannya didapati mengandungi unsur-unsur penipuan, ini membawa erti betapa pihak polis sudah semakin berani membuat kerja-kerja penipuan kerana yakin mereka tidak akan didedahkan ataupun dihukum kerananya.

Terdapat aktiviti polis yang didedahkan sebagai haram, sehinggakan mereka terpaksa mendapatkan panduan wakil rakyat yang mengkotak-katikkan kes itu. Apabila pegawai awam dan para pendakwa sudah menjadi biadap dan bersikap sebagai penjenayah, demokrasi pun terjerumus menjadikan negara dikuasai oleh diktator yang korup. Inilah yang berlaku kepada Malaysia.
Sebarang kenyataan yang dibuat tanpa sokongan yang menyeluruh tentu tidak mudah dipercayai. Jika ada kepalsuannya si penulis bolehlah dicemuh dan dikutuk oleh rakyat marhaen yang cintakan negaranya. Tetapi, bagaimana pula kisahnya dengan pihak polis dan para menteri yang menggalakkan seseorang penulis menerima maklumat palsu? Tidak ada penulis yang berminat menulis dan menggambarkan kisah yang ada unsur-unsur kesangsian. Kedaulatan negara dan martabat bangsa menjadi kepentingan utama kerana itu setiap peristiwa mesti diselidik untuk pemberitaan agar terdedah segala kerja-kerja bajingan yang dirancang oleh pihak atasan.

Ada teori mengatakan bahawa polis boleh menangkap rakyat jelata, menahan mereka tanpa dijamin dan diberikan bantuan guaman. Lawatan sanak keluarga dinafikan dengan alasan mereka diperlukan untuk disiasat, diazab dan dizalimi di tempat kurungan yang tidak berperi-kemanusian. Ini bukannya teori sebuah negara yang diamalkan oleh manusia berpendidikan yang setara dengan manusia bertamadun di dunia ini. Inilah teori yang diamalkan oleh penjenayah bajingan yang beruniform yang menganggap siasatan yang dicampur-baur segala penyiksaan itu adalah satu jenis sukan harian. Kumpulan keparat ini sudah menjadikan tugas kepolisian mereka sebagai punca sara-hidup, tidak pula menerima latihan pengawasan yang sempurna untuk menyekat kerja-kerja jijik mereka mendera orang awam. Lama kelamaan mereka menjadi kesedapan dan menjadi manusia berhati syaitan, yang mudah mendera dan menzalimi mangsa yang mereka penjarakan. Para menteri BN dan wakil rakyat yang sengaja membuta-tuli dan membiarkan kelakuan biadap ini turut berdosa dan menanggung beban kesalahan besar ini. Mereka dianggap tergolong antara mereka yang turut memberikan arahan penyiksaan ini kerana sikap tidak peka dan sanggup mengutuk kerja-kerja itu.

Kesediaan menangkap seseorang tanpa bersebab dan menyiasat tanpa hadnya untuk mendapatkan pengakuan diri yang kena dera adalah kerja jijik yang kerap dikaitkan kepada pasukan polis Malaysia. Amalan ini sudah dikutuk oleh masyarakat sejagat, dan Malaysia boleh menjangkakan bahana kesan penentangan amalan ini daripada rakan niaga utamanya di seluruh dunia. Kini, martabat kerajaan dan syarikat besar Malaysia dalam bidang kewangan dan keupayaan bon-bon mereka sudahpun diperlekehkan oleh penggiat pasaran kewangan antarabangsa.

Kalau kita perhatikan kes mahkamah membabitkan sekumpulan pejuang Islam, memang tidak nampak adanya pembelaan yang berkesan. Orang-orang yang dituduh tidak mempunyai peluang untuk menceritakan kisah sebenarnya. Saksi-saksi yang bebas tidak dibenarkan untuk memperlekehkan dan mencela saksi-saksi pihak pendakwa. Namun, keseluruhan perkara itu dilihat sebagai peristiwa yang berkait-kait yang sengaja direka-reka sehingga terlalu jelas pembohongannya. Banyak yang boleh disebut dalam hal ini. Terdapat satu senarai panjang mengandungi bukti sahih yang melebihi lima puluh jumlahnya. Tiga contoh sudah mencukupi kali ini, untuk mendedahkan kerja pembohongan yang direncana itu.

Pertama, lubang di Bukit Jenalik dikatakan telah digali oleh wirawan yang mati terkorban. Ketika berlakunya penyerahan diri, tidak banyak pun lubang yang digali dan dalamnya pun boleh diukur dengan jari kerana tidak cukup untuk menanam bangkai binatang yang kecil. Sesiapa yang melawat tempat kejadian beberapa bulan selepas kejadian pada tahun 2000 itu boleh nampak beberapa lubang yang digali itu tidak pun mampu menjadi benteng dan kubu manusia yang bertahan di situ. Tetapi, apabila hakim dan pegawai mahkamah dibawa melawat tempat kejadian, dengan iringan TV dan para wartawan, semua lubang itu menjadi besar saiznya sehingga layak untuk menanam sebuah kereta setiap satu. Ini bererti ada jentera berat yang dibawa ke situ untuk membesarkan lubang yang kecil dulu. Siapa yang membuatnya dan kenapa?

Kedua, kematian Jaafar Putih adalah satu peristiwa yang aneh. Dia merupakan saksi penting yang masih hidup ketika itu, kerana itu ada tanda-tanda sekongkolan polis untuk sengaja menutup sesuatu. Sepatutnya beliau dibebaskan pada waktu semua kumpulan yang dikepung sudah menyerah-diri, seperti yang disebut oleh KPN.. Sebaliknya beliau ditahan juga di Balai Polis Lenggong sehinggalah sepuluh hari kemudian ketika terjadi kematiannya. Satu jam sebelum kematiannya itu dia masih ditahan oleh polis lagi. Selepas dibebaskan dan dalam jangka waktu satu jam dia didapati mati tidak jauh daripada balai itu. Sebab sebenar kematiannya tidak pun didedahkan oleh pihak polis kerana sebab yang boleh difahami. Polis tidak boleh mempertahankan laporannya itu. Jaafar Putih sudah tahu banyak rahsia yang sebenarnya dan sengaja disekat bercerita kepada pihak media dan daripada masyarakat yang terlalu ingin bertanya. Ada seorang anak buahnya yang muda telah membawanya membonceng motorsikal pada hari kematian itu telah disuruh datang ke Balai Polis Lenggong keesokan harinya. Dia tidak pulang ke rumah selepas itu kerana terus di tahan di balai itu. Di manakah Mahmoud bin Manssor di waktu ini? Apakah dia hilang kerana tahu cerita sebenar di mana Jaafar Putih menikmati makanannya yang terakhir sebelum dia mati?

Ketiga, senjata yang dikatakan dirompak daripada kem tentera telah ditontonkan kepada rakyat jelata. Semua senjata ini adalah peralatan baru yang dikeluarkan daripada sarongnnya. Semuanya baru dilumuri minyak dan tanpa sebarang gurisan calar dan kecacatan. Tetapi, KPN dan Menteri Pertahanan telah membuat sidang akhbar berasingan dan mengatakan itulah senjata yang sudah terpakai yang dirompak daripada dua khemah tentera (yang dipertikai). Senjata itu pula dikatakan diangkut dalam tiga buah Pajero dan diangkut mendaki Bukit Jenalik yang berdebu dan berlumpur itu. Semua senjata dihumban ke dalam tangki simen yang penuh menakung air Tetapi tidak ada pun sebarang tangga di atas bukit itu untuk menyimpan senjata dan kelengkapannya ke dalam tangki air itu. Bagaimana pula mahu mengambil senjata tambahan daripada tangki air itu kalau perlu menambahkan alat pertahanan? Ini menunjukkan, idea menyorokkan senjata dalam tangki air adalah merupakan cetusan minda seorang penulis skrip di jabatan pendakwa raya, kerana sesiapa yang telah membuat lawatan ke Bukit Jenalik akan faham betapa semua cerita yang dilakarnya itu memang sukar untuk dipercayai.

Cerita pembohongan semacam ini memang mudah didengar daripada mulut pegawai polis yang berdiri megah di sebelah para menteri Malaysia. Laporan mereka itu kebanyakannya adalah palsu yang memerlukan pengesahan wartawan bebas untuk memperakukan cerita itu walaupun ringkasannya sudah disediakan secara rasminya. Pihak polis memberitahu para hakim apa yang mereka suka beritahu tanpa mengusahakan sesuatu untuk menjamin cerita itu boleh masak akal. Apabila peguam pembela tidak ada, amat mudahlah hakim membuat keputusannya. Seterusnya, apabila ada jolokan di sana sini dan sogokan di sana sini pula, seorang hakim amat mudah menghukum seorang insan yang sebenarnya tidak pun bersalah. Inilah kerja bajingan yang menjanjikan lubang neraka yang paling dalam untuk mereka.

Apabila wujudnya wartawan bebas, maka terjaminlah demokrasi yang amat rapuh itu. Terpulanglah kepada seseorang wartawan membuat siasatan dan mencantumkan segala cebisan berita yang diperolehinya untuk menjadi satu gambaran yang nyata yang mampu menjadi perisai untuk kita sebagai penampan terhadap kerja-kerja bajingan polis dan wakil rakyat yang mempunyai tugas untuk menyelia mereka. Di Malaysia terlalu banyak pembunuhan ganas yang diberikan immuniti oleh polis sedangkan pembunuhan itu memerlukan siasatan. Itulah yang terjadi kepada lima orang India di Sungai Besi dan enam orang India lagi yang terkorban di Tumpat (Kelantan). Dua kisah ini merupakan tambahan kepada banyak cerita lagi yang menunjukkan kekejaman pihak polis yang sepatutnya dikutuk oleh rakyat jelata.

Apakah cerita semacam ini mesti dilaporkan oleh para wartawan dan penulis ataupun dibiarkan sahaja diselidik oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ? Apapun yang akan dilakukan, ia merupakan sesuatu yang mesti dilaksanakan. Ahli keluarga dan anak-anak mangsa yang teraniaya memerlukan keadilan. Pihak polis sudah pun memberikan cerita mereka secara mengangkat sumpah. Kini, tibalah masanya kepada pihak yang menjadi mangsa menuturkan cerita mereka. Dalam semua keadaan ini, adalah lebih baik kalau polis melepaskan semua tahanan politik negara dan menumpukan perhatian mereka membetulkan segala kepincangan dalaman yang ada. Sudah tibalah masanya setiap kepincangan itu diperbetulkan.

Biarlah semua kisah benar itu bermula.

- Harun Rashid

Diterjemahkan oleh SPAR-05-008

Artikel ini dibaca oleh:orang