Pembangunan Negara Yang Songsang
(Singular vision of nation building spells peril)

Kemelut yang menghantui pelajar Cina yang tergendala memasuki universiti di Malaysia, kini sudah bertukar kepada perdebatan perkauman. Garis perdebatan semakin ketara kini. Masyarakat Melayu menyokong masalah Melayu, Cina dengan masalahnya dan begitu juga dengan orang India, yang semestinya menyokong masalah India.

Sepatutnya Lim Kit Siang yang menanyakan kerakyatan seorang wartawan yang menyoalnya bertubi-kali ataupun Menteri Kehakiman (de facto) Rais Yatim yang mengancam untuk mengenakan tuduhan ke atasnya tidak seharusnya naik berang. Tetapi itulah hakikatnya betapa kita tidak perlu banyak alasan untuk memutarkan satu masalah kecil menjadi satu episod perkauman yang tegang.

Kenapakah kita berperangai begitu liar di sebuah negara yang digambarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi sebagai mengarah kepada penubuhan ‘Bangsa Malaysia’?

Apakah perlunya kita membiarkan perbincangan bebas masalah itu, tanpa pembabitan kumpulan samseng politik masuk campur untuk mengancam kita? Kenapakah tidak kita ketepikan segala agenda politik dan memikirkan kepentingan negara secara keseluruhannya?

Kenapakah UMNO menggembar-gemburkan penyerahan memorandum Suqui kepada NEAC II (Mapen 2) dan menjadikannya satu konfrontasi politik antara orang Melayu dan masyarakat Cina?

Bayangan Ancaman

Selalunya rakyat Malaysia tidak digalakkan membincangkan isu-isu harian, dengan ancaman akan ditangkap dan diperlakukan, seandainya mereka menyimpang jauh daripada apa yang dianggap norma kehidupan ataupun mencabar rumusan politik yang haprak..

Inilah yang berlaku sejak beberapa bulan yang lalu. Sikap memeram isu yang sepatutnya ditangani dengan bijak, memperlekehkan usaha menjadikan Malaysia berdiri megah di dunia ini.

Apabila ketidak-adilan dan ketidak-tentuan sengaja diperam, ia mudah meledak menjadi satu krisis seperti peristiwa di Petaling Jaya Selatan, kisah kemasukan universiti, dan kemarahan orang Melayu bagaimana mantan timbalan perdana menteri diaibkan.


Selagi kerajaan berdegil menganggap bahawa pendapatnya itu sahaja yang mesti diperakukan dan terus berdolak-dalik dengan pendiriannya, sudah tentu ia mengundang banyak bantahan. Apabila ia cuba dirodokkan ke tekak rakyat yang amat membencinya sedangkan sengaja menyepikan segala perbuatan korupsi dan ketidak-adilan yang sungguh lumrah dalam dasar kerajaan dan peraturannya, sudah tentu ada sahaja yang akan meledak.

Kemarahan Yang Mendidih

Gelagat menyelamatkan syarikat dan perusahaan para kroni adalah perbuatan yang sungguh menjijikkan.

Apabila segala kerja itu dilaksanakan tanpa merujukkan dulu kepada Parlimen ataupun kabinet, ia mencetuskan bantahan yang menggunung tingginya. Usaha menyelamatkan MAS, keangkuhan si kroni yang terus berlagak bahawa dia masih kaya raya dengan dana tersedia selepas diselamatkan, kemelut TimedotCom, dan cara Phileo-Allied membeli Pos Malaysia dengan segala rahsianya menyediakan satu suasana di mana rakyat marhaen merasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Orang Melayu di akar umbi memeram kemarahan mereka melihat semua ini dan mengetahui betapa para kroni diselamatkan.

Apabila segala kekeliruan ini mencuit cabaran politik terhadap gelagat kerajaan bukannya daripada parti politik tetapi dari kalangan masyarakat sendiri bererti tapak kuasa yang ada sudah mula digegarkan ke akar umbinya.

Sudah sampai masanya apabila segala masyarakat bangsa – Melayu, Cina, India, serta pelbagai kaum di Sarawak dan Sabah; berdiri teguh untuk bersatu menyanggahnya. Tindakan ini mungkin tidak akan muncul dalam satu ketika, tetapi petandanya itu sudah semakin ketara.

Mereka semua mungkin sengaja membiarkan masa beredar dulu sebelum membuat tuntutan bahawa isu yang menyangkuti negara dan politik tidak lagi menjadi isu mainan pihak yang memegang kuasa sahaja.

Semua itu mesti diselesaikan melalui perdebatan secara terbuka tanpa ada parti politik yang mengambil posisi perkauman mengenainya. Inilah yang dinafikan kepada rakyat jelata. Barisan Nasional sentiasa berdegil bahawa ia memahami apa yang rakyat perlukan, tanpa menyelidik dulu apa sebenarnya yang rakyat mahu.

Logika Yang Memualkan

Kerana mereka sudah dilantik untuk berkuasa memberikan mereka dalil yang mencukupi betapa apa yang mereka katakan harus diterima begitu sahaja. Inilah logika yang memualkan sepanjang masa. Apabila sesuatu itu sengaja diulang-ulang dengan niat menyindir dan bukan untuk diperdebatkan, di Parlimen ataupun di mana juga, hanya masa sahaja yang menentukan bahananya. Seperti yang berlaku sekarang ini.

Sejak 30 tahun yang lalu, pasca 13 Mei  yang menonjolkan dominasi kuasa Melayu, politik negara inipun menjadi politik ketuanan Melayu. Cara ini mungkin mencapai kejayaannya, kalaulah parti bukan-Melayu rakan koalisi yang berkuasa tidak merelakan diri mereka dikotak-katikkan oleh UMNO yang mendominasi mereka.

Para pemimpin Cina dan India dalam komponen Barisan nasional itu telah meminggirkan masalah kebajikan masyarakat mereka, hanya memadai memberikan khidmat lisan dengan janji-janji manis di bibir sahaja, sedangkan mereka tidak bersungguh-sungguh melaksanakannya kerana sibuk memperkayakan diri sahaja.

Setiap pemimpin MCA sejak 30 tahun yang lalu mengundurkan kuasa dalam keadaan yang menyakitkan hati, sambil memegang tepi kain pemimpin UMNO untuk melindunginya daripada asakan ahli partinya sendiri.

Apabila dominasi Melayu ini diperkuatkan dengan keangkuhan yang sungguh bodoh, tentu sekali ia mencetuskan sesuatu yang tidak disenangi. Inilah yang mengancam keadaan sekarang ini.

Pembangunan negara adalah terlalu penting untuk membiarkan tangan-tangan politik yang melakarnya, apatah lagi kalau mereka fikir ia mesti dilakar mengikut wawasan mereka sahaja. Ia tidak semestinya begitu kerana tidak boleh dibiarkan kerajaan menentukannya sedangkan kerajaan sendiri masih samar akan masa depannya.

Pembangunan negara bukannya merupakan ciptaan politik walaupun politik memainkan peranan tertumpu kepadanya. Tetapi, keseluruhan keazaman rakyat di setiap negeri itu yang menentukan arah hala sesebuah negara. Ia harus mencerminkan kepelbagaian Malaysia dan bagaimana ia boleh disalurkan kepada pembentukan sebuah negara yang kepelbagaian kaumnya, budaya dan agamanya. Ini bukannya sesuatu yang mudah dalam apa jua suasana pun.

Keadaan ini menjadi teruk di Malaysia apabila wawasan yang diimpikan itu adalah mengikut acara yang diimpikan oleh satu kumpulan parti politik sahaja. Kita harus keluar daripada kepompongan ini. Kita harus bebas membincangkannya secara terbuka, sambil meneroka segala opsyen yang ada, sambil mencabar rumusan sesuatu pihak dengan yang lainnya tanpa peduli apa yang cuba ditonjolkan oleh Pemuda UMNO.

Orang yang paling terpelajar dalam negara mempunyai hak bersuara yang sama banyaknya dengan orang yang tidak tahu membaca. Ini bukannya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi mencari cara yang sesuai untuk disenangi bersama ke arah pencapaian harmoni, timbang rasa dan kepercayaan.

Perkara ini lebih menekan sekarang berbanding dulu. Terlalu banyak yang menjadi cagarannya. Kerajaan Barisan Nasional sedang terkejut sekarang ini dan masih tidak mempunyai jawapannya walaupun ia berlakon mempunyai jawapan itu, seandainya sesuatu yang akan berlaku. Inilah yang menentukan ia tidakpun akan dapat menyelesaikannya.



- MGG Pillai.

Diterjemahkan oleh SPAR-01-015

Artikel ini dibaca oleh:orang