Menilai Semula Wibawa UMNO Sabah

Kemunculan UMNO di Sabah sejak termansuhnya USNO pimpinan Tun Mustapha pada 90an adalah atas faktor politik berkisar di keliling matlamat kuasa, pangkat, kebendaan dan kemewahan hidup duniawi semata-mata di kalangan pimpinan UMNO Sabah. Matlamat untuk membela bumiputera di Sabah hanya bersifat topeng untuk mengaburi mata dan akal budi masyarakat bumiputera Sabah, bayangkan setelah memiliki kuasa apa sebenarnya pimpinan UMNO Sabah boleh banggakan untuk masyarakat bumiputera Sabah yang majmuk itu. Apa yang rakyat perhatikan, rakyat bawahan hanya dapat lebihan atau baki serpihan yang sudah mereka pimpinan UMNO/BN Sabah tidak perlukan. Mereka lebih banyak menjaga kepentingan diri, perniagaan kroni, keluarga dan tauke. Mereka juga lebih banyak mengampu UMNO pusat pimpinan Mahathir, menyogok apa jua pulau, kawasan strategik bagi mengenyangkan pimpinan UMNO/BN pusat asal mereka dikekal sebagai pimpinan UMNO negeri.

Di zaman KM dipegang UMNO Sabah melalui Tun Sakaran, Datuk Salleh Tun Said dan DSP Osu Haji Sukam, kita bertanya apakah mereka sudah berjaya membela dan mempertahankan hak-hak bumiputera Sabah. Apakah mereka buat untuk kaum bumiputera Sabah dalam perkhidmatan kerajaan negeri dan jabatan persekutuan di Sabah. Apakah mereka telah membuat agenda besar dan wawasan untuk kaum bumiputera, umat Islam dan rakyat Sabah yang majmuk itu. Melainkan meneruskan saja beberapa agenda pimpinan sebelum mereka. Maknanya tidak ada satu agenda jelas dan besar untuk mengangkat atau memartabatkan kaum bumiputera Sabah yang majmuk itu, secara lebih konsisten. Mereka lebih banyak beragenda tentang kepentingan diri dan hendak mengekal kuasa, kepentingan perniagaan, kroni dan tauke yang berjasa semasa berkempen dulu.

Di sebabkan faktor kebendaan, rebut kuasa, pangkat dan persona dunia inilah sebenarnya yang akan menghakis dari hari demi hari wibawa dan juga kekuatan UMNO Sabah. Contohnya, dalam usaha mempastikan sistem giliran KM yang tidak praktikal dan tidak banyak manfaat itupun UMNO Sabah tidak boleh bersatu hati, pada hal mereka di DUN Sabah adalah parti terkuat BN Sabah. Walaupun sebelum tempoh 2 tahun KM dari UMNO tamat, boleh dikatakan seluruh pimpinan bahagian, pemuda, wanita dan ahli-ahli akar umbi meminta dimansuhkan sistem giliran itu. Tapi akhirnya suara majoriti itu dimalukan sendiri oleh presidennya yang sudah nyanyuk dengan meneruskan juga sistem ayam mati itu.

Ketara sekali wibawa UMNO Sabah tiada langsung, mereka menikus dan bermain kata-kata demi untuk perpaduan BN Sabah, demi untuk pembangunan dan rakyat Sabah. Andai UMNO Sabah benar-benar berwibawa, kita bukan untuk mengapi-apikan, kenapa tidak ditegaskan saja kepada presiden mereka yang sudah nyanyuk lagi tandus pemikiran itu, bahawa UMNO Sabah akan bertindak lebih berani dan gentlemen untuk keluar BN jika kehendak majoriti ahli tidak dilayani secara berhikmah oleh presiden UMNO. Tapi semua tidak berani bersuara kerana takut kantung/poket kosong, hilang kuasa dan macam-macam bayang benda, pangkat dan kuasa itulah puncanya, kenapa UMNO Sabah seperti tiada wibawa lagi.

Baru-baru ini pembubaran Akar Bersatu pimpinan Datuk Pandikar Amin Mulia dengan menjemput Dr Mahathir hadir bagi menyempurnakan pembubaran partinya. Apakah tanpa Mahathir Akar Bersatu tidak boleh dibubarkan. Di situ sudah kelihatan bayangan kepentingan politik peribadi pimpinan tertinggi Akar Bersatu yang dulu berpresidenkan Datuk Mark Koding, khususnya Datuk Pandikar. Inilah cara pemikiran politik pimpinan politik di Sabah semacam jauh dari prinsip berjiwa rakyat dan apa lagi jati diri mereka.

Akhirnya, dari beberapa analisis dan penilaian penulis adalah teramat jelas bahawa UMNO Sabah sudah kehilangan wibawanya. Kalau adapun mereka hanya bersandar kepada sedikit kuasa, kebendaan yang masih ada di keliling mereka dan rakan-rakan atau kroni serta tauke yang masih menyebelahi mereka. Andainya semua itu telah berpindah atau bertukar tangan yang pasti akan pupus dan hilanglah wibawa UMNO Sabah, UMNO pusat pimpinan Mahathir pasti tidak akan sanggup lagi timbul tenggelam bersama UMNO Sabah yang tiada wibawa lagi itu, sekalipun dia janji akan timbul tenggelam sama-sama. Siapa lagi akan mempercayai lidah Dr Mahathir yang selalu saja berbohong itu. Peluang ini cukup baik kepada parti-parti BA dan PBS sendiri bagi mengeksploit kelemahan ketara UMNO/BN Sabah. Apa yang penting pendekatan dan strategi BA mahupun PBS hendaklah lebih kuat dan berhikmah menjelaskan kepada rakyat Sabah yang majmuk ini, insya-Allah tahun 2003 atau 2004 nanti BA akan dapat menguasai kerajaan negeri Sabah ke arah kerajaan negeri yang lebih adil, amanah dan baik.

Sekian, terima kasih. Insya-Allah pada artikel akan datang penulis akan menganalisa lebih spesifik serta menarik lagi.

Ibn Sabah

Artikel ini dibaca oleh:orang