Satu Pengajaran Dalam Hubungan Kaum
(A Lesson In Race Relations)
Lorien Holland/Kuala Lumpur

KHOR WHUAN LYNN mempunyai sedikit pengetahuan mengenai tindakan afirmatif. Dia telah berjaya mendapatkan markah yang baik-baik dalam peperiksaan pendidikan menengah dan mengharapkan peluang memasuki universiti setahun lebih awal untuk mengikuti program khas mempelajari bidang ‘industrial biology’ yang disediakan kepada pelajar terbaik negara.

Malangnya niat itu terhalang kerana masalah hubungan kaum. Sebagai seorang etnik Cina, keputusan pelajarannya tidak memadai untuk beliau mendapat tempat di kalangan 5,000 kekosongan yang disediakan untuk membolehkan beliau memasuki universiti awam lebih awal lagi. Namun, rakan pelajar beliau daripada masyarakat Melayu mudah memasuki program itu dengan berbekalkan sijil Pelajaran Malaysia ataupun SPM, yang sama dengan yang diperolehi oleh Khor Whuan Lynn KWL) walaupun keputusan yang mereka perolehi adalah rendah mutunya. Perbezaan ini terjadi kerana proses kemasukan itu dikendalikan mengikut sistem kuota khas yang dikuatkuasakan.

Kuota ini memang bukannya perkara baru. Inilah amalan tiga dekad lamanya dalam pembentukan sosial (social engineering) yang bertujuan membetulkan kepincangan jurang perbezaan yang wujud dalam suasana profesionalisme Malaysia. Malahan, ia juga bertujuan membetulkan wajah rupa suasana keintelektualan dengan memberi ruang kepada etnik Melayu dan golongan pribumi, yang merupakan 66% daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang diberikan peruntukan kuota 55% untuk memasuki bidang kajian pendidikan tinggi negara.

Keadaan ekonomi yang merudum pada tahun ini menghenyak ramai ibu bapa yang tidak lagi mampu kos pendidikan maktab swasta, yang sebahagiannya menyediakan kemudahan kepada pelajar Cina dan India yang gagal memasuki universiti disebabkan sistem kuota itu. Para pengkritik sudah mula mempersoalkan kemantapan sistem kuota itu dan mereka menceritakan kisah kesangsian di kalangan kumpulan bumiputera (Melayu dan pribumi) dan juga di kalangan Cina dan India, yang merupakan 34% daripada penduduk Malaysia.

Walaupun Perdana Menteri Mahathir Mohamad kerap berleter dan mencemuh etnik Melayu kerana membazirkan segala peluang yang diberikan kepada mereka, dia masih mahu mempertahankan polisi itu. Dia juga mahukan kuota dipraktikkan di maktab swasta. Piawaian yang tinggi daripada maktab-maktab ini memberikan peluang kepada para majikan mengutamakan para graduan maktab ini daripada graduan universiti kerajaan; sambil merapatkan kesan jurang perbezaan yang terdapat disebabkan sistem kuota itu.

Sistem kuota itu memang telah menampakkan kemajuan merapatkan jurang perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera dalam beberapa bidang tertentu. Jumlah doktor Melayu, sebagai contohnya, sudah meningkat daripada 1951 pada tahun 1990 menjadi 4,460 pada 1999 dan mereka sudah pun mengisi 40% jumlah warga doktor negara. Namun, kekayaan korporat bumiputera masih tersangkut pada tahap 20% sahaja. Kemajuan keseluruhannya di kalangan pelajar Melayu nampaknya sudah tersekat, dan ada yang mahukan kuota mereka dinaikkan kepada 66%.

Masalah ini semakin hangat pada tahun ini apabila sekitar 500 pelajar bistari daripada masyarakat Cina, termasuklah Khor yang mendapat sembilan gred ‘A’, gagal mendapat tempat dalam program khas SPM itu. “Kewangan keluarga saya tidak berapa mantap, kerana itu amat sukar untuk saya memasuki maktab swasta,” kata Khor yang masih mempunyai dua tahun lagi untuk membuat permohonan yang sama melalui kemasukan biasa.

Akhbar-akhbar telah diserang oleh surat-surat yang membincangkan masalah seperti yang dihadapi oleh Khor. Pergerakan Pemuda MCA telah menerima lebih 1,000 surat rayuan meminta bantuan. Malahan Mingguan Malaysia yang berbahasa Melayu telah memberi peringatan betapa penggantungan berlebihan kepada sistem kuota tidak akan membantu etnik Melayu untuk masa yang panjang. “Kalau kita tidak dapat bersaing, kita gunakan kuasa politik untuk masuk melalui pintu belakang. Tidak kiralah kalau pelajar yang dididik itu akan menjadi graduan setengah masak ataupun graduan kelas tiga,” kata lidah pengarangnya.

Kementerian Pendidikan dan universiti tidak mahu mengeluarkan butiran yang menunjukkan perbezaan yang ada dan kegagalan menyerlahkan sikap ketelusan ini semakin menghangatkan perasaan tegang di kalangan kaum.

“Dalam bidang peluang pendidikan, pelajar bumiputera diberikan kemudahan istimewa. Sebaliknya kemudahan semacam ini dicop sebagai diskriminasi kaum. Tetapi, inilah yang ditakrifkan sebagai tindakan afirmatif. Apapun, keadaan ini telah mencetuskan banyak keresahan di kalangan bumiputera, dan terus menjejaskan pergeseran kaum,” kata mantan timbalan perdana menteri Musa Hitam dalam satu ucapan terbarunya.

Keresahan yang sudah bernanah ini tiba-tiba meledak pada Mei 3, apabila The Star telah menceduk kata-kata seorang pegawai Kementerian Pendidikan yang menyebut betapa kemasukan pelajar tahun ini adalah berkurangan jumlahnya kerana seramai 7,000 pelajar bumiputera gagal memohon tempat mereka. Pendedahan ini mencetuskan kebanjiran surat bantahan daripada pelajar bukan-bumiputera yang telah ditolak permohonannya. Menteri Pendidikan terpaksa bertindak memperbetulkan pegawainya dengan berkata memang sudah tidak ada tempat kosong lagi.

Sebelum kekecohan itu diperbetulkan, Mahathir pun turut campur tangan memberikan amaran betapa kuota itu akan dikurangkan. “Akan berlaku penghijrahan orang bistari seandainya kita sekat orang yang berkelayakan mendapatkan pendidikannya yang akan menguntungkan negara,” kata beliau kepada para wartawan.

Terdapat sekitar 40,000 professional Malaysia yang bekerja di luar negara. Kebanyakan mereka bertugas di Singapura, yang memancing mereka dengan pemberian biasiswa. Destinasi pilihan utama yang lain kepada mereka yang berupaya ialah Britain, Australia dan Amerika Syarikat.

Untuk mengatasi masalah ini, Musa telah mencadangkan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji keadaan pelajaran dengan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kumpulan. Abdullah Ahmad, pengarah utama New Straits Times telah mencadangkan agar kuota bumiputera diturunkan kepada 50% dan kuota bukan-bumiputera dinaikkan daripada 35% kepada 45%, sambil yang berbaki disediakan kepada pelajar bistari daripada semua kaum.

Dr. Siti Hawa Kasim yang mengendalikan program matrikulasi di Universiti Malaya, merasakan bahawa perdebatan mengenai kuota itu telah mengkelamkan keadaan perbezaan di antara kawasan bandar dengan luar bandar. Sekolah-sekolah di kawasan perkampungan memang kekurangan sumber kewangan. Pendapatan purata orang luar bandar adalah separuh daripada tahap pendapatan orang bandar dan seperti biasa hampir keseluruhan penduduk luar bandar adalah daripada masyarakat Melayu. Perbezaan lebih tertumpu kini kepada masalah perkauman. Beliau berkata, anak-anak Melayu di kawasan bandar memang mampu bersaing secara akademiknya dengan kumpulan muda daripada apa juga jenis etniknya. “Tetapi kalau mereka daripada kawasan luar bandar, mereka memang tidak mampu bersaing seperti itu.”

Kerajaan sudah pun membuat beberapa konsesi kepada kumpulan bukan-bumiputera pada tahun ini. Sekitar 250 tempat tambahan bagi pelajar bistari kelulusan SPM telah disediakan kepada warga Cina. In bererti kebanyakan mereka yang mendapatkan sembilan ‘A’ ataupun lebih baik dari itu akan diterima oleh program khas di universiti. Mereka yang menerima peluang itu memang berceria sakan. Sayangnya, Khor bukannya salah seorang di antara mereka yang beruntung itu.


Diterjemahkan oleh SPAR-03-015

Artikel ini dibaca oleh:orang