Make your own free website on Tripod.com
Peranan dan Kebebasan Badan Kehakiman

(Artikel Asal : Judicial Role And Independence)

Di dalam rencana MGG Pillai yang bertajuk "Badan Kehakiman berpaut pada ketempangan perlembagaan", beliau menjelaskan bahawa semenjak pindaan perlembagaan 1988, badan kehakiman telah kehilangan kuasa kehakiman yang diperuntukkan kepadanya. Seseorang mungkin berpendapat bahawa para hakimlah yang sepatutnya membuat keputusan sama ada kuasa kehakiman di dalam Persekutuan masih selari dengan badan kehakiman yang tidak dapat bertahan terhadap pindaan Perlembagaan 1988 atau sebaliknya. Sekiranya para hakim mahukannya mereka dengan mudah sahaja boleh mengisytiharkan pindaan perlembagaan 1988 sebagai tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang berdasarkan satu alasan yang mudah iaitu pindaan tersebut bermaksud untuk menghakis kuasa kehakiman yang menjadi ciri-ciri dasar atau prinsip-prinsip asas kepada perlembagaan. Adalah diakui bahawa peruntukan perlembagaan boleh dipinda melalui artikel 159. Namun ia mestilah diiktiraf bahawa terdapat peruntukan-peruntukan tertentu yang membentuk ciri-ciri dasar perlembagaan yang tidak boleh dipinda; dan dengan memindanya akan membinasakan terus keseluruhan perlembagaan itu sendiri.

Seperti yang telah diperkatakan, terpulang kepada para hakim sendiri untuk membuat keputusan. Hanya mereka yang boleh mengisytiharkan mana-mana undang-undang atau mana-mana artikel yang dipinda atau fasal dari perlembagaan itu sebagai tidak sah, tidak mengikut perlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, rakyatnya menerima dan bersetuju untuk mematuhi perlembagaan persekutuan yang berdasarkan kepada model Westminster di mana terdapat jurang pemisah yang besar dari segi kuasa di antara tiga organ utama kerajaan yang dipanggil Badan Eksekutif, Badan Legislatif (Perundangan) dan Badan Kehakiman. Sudah pun diputuskan bahawa semua ini adalah ciri-ciri dasar atau tonggak atau prinsip-prinsip asas perlembagaan yang tidak boleh dipinda tanpa konsensus (persetujuan bersama) di peringkat kebangsaan.

Di bawah artikel 39 perlembagaan, kuasa kedudukan Eksekutif di dalam Persekutuan diberikan kepada Yang di Pertuan Agong (YDPA) dan boleh digunakan olehnya atau oleh Kabinet atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet. Di dalam menggunakan kuasanya YDPA boleh bertindak sejajar dengan "nasihat" Kabinet atau seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa Kabinet, kecuali jika sebaliknya yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Sungguh pun demikian, telah pun diputuskan bahawa YDPA tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya mengikut mana-mana nasihat. Nasihat yang diberikan mestilah berlandaskan undang-undang, mematuhi perlembagaan dan mesti dibuat demi kepentingan rakyat. Sebagai contohnya, YDPA sepatutnya tidak menerima "nasihat" Perdana Menteri untuk melantik bekas Peguam Negara sebagai Hakim Persekutuan, berdasarkan banyak dakwaan-dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah dilakukan oleh bekas Peguam Negara itu. Nasihat sedemikian yang bertentangan dengan undang-undang tidak boleh dianggap satu nasihat sebagai mana yang dimaksudkan di dalam artikel berkenaan.

Kuasa kedudukan Legislatif (Perundangan) di dalam persekutuan pula diberikan berdasarkan Artikel 44 di Parlimen yang terdiri dari YDPA dan dua dewan Parlimen. Dan akhir sekali Artikel 121 menyatakan bahawa kuasa Kehakiman di dalam Persekutuan perlu diberikan kepada dua Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa dan status yang diselaraskan dan mahkamah-mahkamah yang lebih rendah sebagaimana yang mungkin diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan.

Pindaan Perlembagaan 1988 itu telah bermaksud untuk menghakis kuasa kehakiman di dalam Persekutuan Badan Kehakiman. Menurut MGG, "pindaan itu menafikan kuasa yang diperuntukkan kepada Badan Kehakiman," dan hanya dengan meminda perlembagaan kepada keadaannya sebelum 1988 akan dapat memulihkan kembali kuasa yang diperuntukkan kepada kehakiman, secara tidak langsung, kepada Badan Kehakiman.

Satu pandangan lagi adalah bahawa pindaan perlembagaan itu adalah tidak perlu sama sekali berdasarkan dua alasan utama di mana kuasa kehakiman di dalam Persekutuan adalah sejajar dengan Badan Kehakiman yang tidak dapat bertahan dengan pindaan yang mempunyai maksud tertentu itu.

Pertama, pindaan kepada Artikel 121 itu menyentuh tentang ciri-ciri dasar atau tonggak kepada perlembagaan iaitu konsep dan doktrin tentang pemisahan kuasa di antara tiga organ di dalam kerajaan yang diperuntukkan perlembagaan tersebut. Setiap organ kerajaan itu mempunyai fungsinya yang tersendiri dan kuasa dan setiap satunya memberikan penilaian dan keseimbangan terhadap kuasa yang digunakan oleh pihak yang satu lagi supaya sebarang keterlaluan Badan Eksekutif dan penyalahgunaan kuasa dapat disekat oleh Badan Kehakiman dan sebaliknya ketidakhematan Badan Kehakiman akan diuruskan oleh dua lagi organ kerajaan yang lain. Dari itu sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi atau kuasa mana-mana organ kerajaan melalui pindaan perlembagaan akan menyentuh ciri-ciri dasar perlembagaan itu. Pindaan kepada dasar perlembagaan yang penting itu hanya boleh dibenarkan melalui konsensus peringkat kebangsaan dan bukannya melalui mekanisme pindaan seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 159. Seperti yang telah dianjurkan, terpulanglah kepada para hakim untuk mengisytiharkan pindaan tersebut sebagai melampaui semangat dan tujuan perlembagaan 1957 yang memperuntukkan bahawa kuasa kehakiman di dalam Persekutuan adalah diberikan kepada Badan kehakiman, satu dari tiga organ utama di dalam kerajaan.

Kedua, pindaan artikel 121 tidak menyatakan kepada siapa diberikan kuasa kehakiman itu di dalam Persekutuan. Pindaan 1988 juga tidak menyebut tentang perkara ini. Namun demikian, dengan membaca bahagian IX dari perlembagaan secara keseluruhan, adalah diputuskan bahawa kuasa kehakiman masih diberikan kepada Badan Kehakiman dengan merujuk kepada sifat perlembagaan dan bahawa ianya berasaskan kepada model Westminster.

Untuk menjawab soalan, kita perlu tahu apa yang dimaksudkan dengan kuasa kehakiman? Zakaria J di PP melawan Dato' Yap Peng yang memetik beberapa kes Inggeris telah mengatakan bahawa, "kuasa kehakiman adalah satu kuasa di mana setiap penguatkuasa yang berdaulat perlu memutuskan kontroversi di antara rakyatnya atau di antara dirinya sendiri dan rakyatnya, sama ada hak-hak tersebut berkait dengan kehidupan, kebebasan dan harta benda." Kuasa ini kadangkala sangat jelas diberikan kepada mahkamah-mahkamah tertinggi di negara itu oleh perlembagaan dan bagi yang lain tidak pula dinyatakan oleh perlembagaan tersebut.

Di dalam isu untuk memberikan kuasa kehakiman yang tidak disebutkan kepada siapa oleh perlembagaan, ianya telah diputuskan melalui kes Majlis Sulit di dalam kes di Sri Lanka di mana Liyanage melawan Permaisuri (1967) AC 259. Hakim Pearce yang menyampaikan keputusan penghakiman Majlis itu berkata bahawa tiada keperluan yang meyakinkan untuk membuat sebarang rujukan khusus kepada kuasa kehakiman mahkamah di dalam perlembagaan. Beliau mengatakan bahawa , "peruntukan mengenai perlantikan, penyingkiran dan saraan hakim-hakim menunjukkan dengan jelas akan tujuan untuk memastikan agar badan kehakiman bebas dari kawalan politik, legislatif dan eksekutif. Sifat Perlembagaan yang tidak menyebut tentang kepada siapa kuasa kehakiman itu diberikan adalah selaras dengan apa yang ditinggalkannya, di mana ia telah meletakkan selama lebih dari satu dekad, di dalam tangan Badan Kehakiman."

Begitu juga halnya dengan kes di dalam Badan kehakiman Malaysia. Amat malang buat kita, Badan Kehakiman selama lebih satu dekad telah diterajui oleh dua hakim penyeleweng yang membenarkan diri mereka terhutang budi kepada Perdana Menteri. Ini telah membawa kepada perlantikan hakim-hakim yang korup dan lemah yang menganggap Perdana Menteri sebagai satu-satunya ketua kepada Badan Kehakiman dan mengambil arahan kehakiman daripadanya. Sehinggakan Ketua Hakim Negara yang ada sekarang pun tidak mempunyai kuasa untuk menyekat perlantikan bekas Peguam Negara yang korup dan terlalu menurut perintah, Mohtar Abdullah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Seseorang yang tidak layak menjadi Peguam Persekutuan sudah jelas tidak akan layak untuk menjadi Hakim Persekutuan.

Para hakim Malaysia perlu diperingatkan sekali lagi bahawa perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi di negara ini dan sebarang undang-undang yang diluluskan yang tidak selaras dengan perlembagaan perlu diisytiharkan sebagai tidak sah. Dan seperti di negara-negara lain di mana perlembagaan adalah undang-undang yang tertinggi di dalam sesebuah negara itu, dan tindakan dari kedua-dua rakyat biasa dan negara boleh diuji di dalam mahkamah, peranan dan kebebasan badan kehakiman adalah lebih penting dari yang sebelumnya. Dan peri pentingnya doktrin pemisahan kuasa dan keutamaan diberi kepada kedaulatan undang-undang. Amatlah penting sekali untuk badan Kehakiman itu bebas dari pengaruh politik dan lain-lainnya. Para Hakim sepatutnya memiliki keberanian untuk menentang campur tangan sebegitu dan berani pula mengatakan kepada Badan Eksekutif  supaya tidak mengganggu fungsi Kehakiman. Ahli Politik yang sering mengganggu Badan Kehakiman seperti Perdana Menteri seharusnya disedarkan kedudukannya. Para hakim mesti menghambakan dirinya kepada Undang-undang, bukannya kepada orang perseorangan.  Badan Legislatif (Perundangan) harus bersikap adil kepada semua golongan, tanpa takut atau pilih kasih, perasaan kasih atau berniat jahat. Sekiranya mereka tidak boleh mencapai ke tahap itu, mereka sepatutnya meletakkan jawatan Kehakiman, sebaliknya mencari pekerjaan lain seperti menjadi pensyarah undang-undang mengajar mata pelajaran seperti BAHAN BUKTI.

Prinsip kebebasan Kehakiman bukan khusus terdapat pada undang-undang sekular sahaja. Ianya  adalah relevan di dalam sebarang Sistem Perundangan dan merupakan syarat asas dalam resolusi yang dipertikaikan. Teori Kerajaan Demokrasi dan Prinsip-prinsip Kehakiman yang bebas adalah berhubungkait antara satu sama lain dengan Doktrin Pemisahan Kuasa dan Kebebasan Asasi. Kesemua Prinsip-prinsip ini, konsep-konsep dan Doktrin-doktrin adalah berdasarkan kepada KESIMPULAN yang pihak yang berkuasa tidak boleh DIAMANAHKAN dengan KUASA MUTLAK. Mereka akan menyalahgunakannya untuk kepentingan Politik seperti yang dilihat dalam penangkapan di bawah ISA baru-baru ini dan penahanan Pemimpin Keadilan, Musuh utama kepada Umno milik Mahathir. Pemimpin Keadilan, yang merupakan ahli parti Politik yang berdaftar secara undang-undang telah ditahan sewenangnya atas arahan Mahathir hanya kerana  mereka mengancam kedudukan politik Mahathir dan kelangsungan kerjayanya memandangkan akan gejala RASUAH yang menyeluruh dan kronik yang telah beliau lakukan. Doktrin yang tersebut di atas dirangka untuk mencegah PENINDASAN yang boleh terhasil oleh penganugerahan kuasa yang keterlaluan kepada seseorang atau badan berkuasa.

Dalam Perlembagaan telah termaktub akan hak-hak kebebasan yang asas yang memperuntukkan Hak-hak Asasi seperti Hak Kebebasan, Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Kesemua hak ini hanya akan menjadi KHAYALAN semata jika mereka hanya DILAUNGKAN tanpa PENGUATKUASAANNYA. Hak kebebasan ini menjadi tidak bermakna sekiranya Mahkamah TUNDUK kepada arahan pihak Eksekutif. Jadinya Badan kehakiman yang bebas amat perlu dalam memainkan peranan antara dua konsep iaitu pemisahan kuasa dan kebebasan asasi. Ketiga-tiga konsep inilah yang membentuk KEDAULATAN undang-undang.

Kebebasan kehakiman adalah asas kepada sistem pentadbiran undang-undang. Konsep kebebasan Kehakiman dengan mudahnya mengasingkan hubungan atau bidang tanggungjawab antara Badan Eksekutif dan Badan Legislatif (Perundangan). Di dalam kawasan masing-masing, setiap satunya bebas dalam menjalankan fungsi masing-masing yang tertakluk kepada beberapa pembatasan.

Kebebasan kehakiman bukanlah semata-mata untuk mengelakkan campur tangan Badan Eksekutif terhadap kebebasan para hakim untuk membuat keputusan, tetapi juga bermaksud supaya para hakim dapat membuat satu-satu  keputusan dan menggunakan kuasa mereka berlandaskan tanggungjawab kehakiman. Sebarang keputusan yang dibuat mestilah dikawal oleh nilai-nilai etika dan moral masyarakat - di mana seseorang yang dapat berfikir boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya sebagaimana pertimbangan moral para hakim itu sendiri. Sebagai sebahagian dari tanggungjawab kehakiman, seorang hakim tidak boleh bertindak secara memalukan rakan sejawatannya atau sehingga memusnahkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran perundangan. Contoh sedemikian boleh dilihat dalam kedua-dua kes perbicaraan Anwar. Salah seorang  begitu terkenal dengan frasa sebutan yang sering dikeluarkannya "tidak relevan" dan   penilaian berat sebelahnya terhadap seksyen 136 Akta Bahan Bukti dengan sengaja  menghalang pihak yang tertuduh dari mengemukakan bahan bukti di dalam sessi pembelaan. Seorang lagi mempunyai keberanian dan kebodohan untuk mensabitkan kesalahan berdasarkan keterangan bukti mangsa "yang mendakwa diliwat" dengan terus tidak mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwa sentiasa mencari alasan untuk menghalang mangsa dari menjalani pemeriksaan perubatan.

Adalah diharapkan supaya para Hakim itu dapat melaksanakan apa yang telah diperuntukkan di dalam perlembagaan dengan baik.

Oleh : Penulis Perundangan (legal correspondent)
Penterjemah : SPAR 09

Artikel ini dibaca oleh:orang