Gabungan BA Di Sabah Gerunkan UMNO/BN

Politik Sabah tidaklah sehangat semangat reformasi di Semenanjung dan tidak juga sepanas politik Sarawak sekarang. Bahang panas politik Sarawak kerana di sana tidak lama lagi akan menghadapi pilihanraya umum negeri Sarawak. Di Sabah, suasana politik hanya dihangatkan oleh pemilihan ketua-ketua bahagian UMNO dan pembubaran parti Akar Bersatu baru-baru ini.

Parti-parti pembangkang di Sabah masih lagi bersikap dingin sedingin kawasan pergunungan gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara itu. Gabungan BA yang dianggotai PAS, Keadilan, DAP dan PRM. Setahu penulis PRM belum bercawangan di Sabah, tetapi tidak pula bererti PRM akan menjauhi politik Sabah, sebab rakannya dalam gabungan BA tetap wujud. Sekalipun gabungan BA Sabah tidak seaktif BA di Semenanjung dan Sarawak, hanya sesekali mengadakan ceramah di beberapa tempat di Sabah oleh pimpinan BA pusat. Kedengaran juga suara-suara ketakutan dan gerun dipihak khususnya UMNO/BN Sabah, sudah ada pemimpin UMNO Sabah menyuarakan supaya masjid/surau di Sabah dikawal, jangan sampai orang-orang BA menyusup ke dalam kegiatan di masjid/surau di Sabah.

Dari suara itu, walaupun masih sayup-sayup kedengaran maknanya UMNO/BN Sabah semacam diserang penyakit phobia seperti orang UMNO/BN di Semenanjung. Itu baru setapak langkah BA Sabah dalam menyahut amalan demokrasi, mereka kerajaan UMNO/BN seperti kegerunan mendengar suara YB Saifuddin Ismail, YB Hashim Jasin dan YB Mahfuz yang baru sesekali bertandang ke bumi Sabah negeri di bawah bayu. Apatah lagi dengan lebih kerap lagi pimpinan BA pusat dan BA negeri bergabung secara konsisten menerang dan menjelaskan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dilakukan oleh UMNO/BN di Sabah, tentu mereka akan kecut perut.

Rakyat Sabah, sebenarnya sentiasa bersemangat untuk memanaskan lagi politik Sabah. Dengan itu, diharap pimpinan BA negeri hendaklah bersedia dari sekarang merangsang semangat dan kesedaran orang terhadap politik baru.

Sekian, mudah-mudahan kita akan sama-sama menyumbang idea bagi merangsang rakyat Sabah di kampung-kampung yang masih terpenjara arah pemikiran mereka.

  Ibn Sabah,
  7.6.2001

Artikel ini dibaca oleh:orang