PTI Dan Warga Asing Di Sabah, Salah Siapa? (5).

Di Sabah, fenomena kebanjiran warga asing dan PTI dari negara jiran terutama dari Filipina dan Indonesia. Selain itu, termasuk juga dari negara Pakistan, Afrika dan lain-lain yang mencari penghidupan di Sabah, salah siapa?. Dan tidak terkecuali di Sarawak dan Semenanjung juga dibanjiri warga asing. Mereka begitu mudah mendapat peluang dan juga kesempatan dalam pelbagai sektor dan premis sama ada dalam perniagaan, menjadi pendakwah atau tenaga pengajar, pekerja ladang, buruh binaan hatta dalam kerja-kerja keselamatan, juru jual, pelayan dan sebagainya. Kelihatan peratusannya tahun demi tahun terus meningkat tanpa kawalan mahupun sekatan. Apakah kerajaan tidak dapat kesan negatif kebanjiran PTI/warga asing itu di Sabah khususnya?. Atau kerajaan UMNO/BN masih mengharap mereka ini akan membantu UMNO/BN menang dalam pilihanraya, sekalipun ia bercanggah dengan perlembagaan negara.

Kita ingin menyoal, kenapa begitu mudahnya mereka diberi kesempatan sehingga ada yang lebih mewah dan berjaya dalam kerjaya mereka dari rakyat warga negara ini. Sampai satu peringkat mereka sudah berasa mempunyai power dan boleh menentukan hak-hak mereka untuk terus mengambil lebih banyak lagi kesempatan-kesempatan yang tidak rakyat tempatan sedari, mereka diberi hak mengundi dan memilih pemimpin. Ketahuilah, kerja-kerja ini akhirnya nanti akan memberi kesan kepada rakyat yang bertaraf warga negara akan terasa diri kerdil, tiada kuasa dan hilang harga diri. Akibat dari sikap kita dan kerajaan sendiri yang terlalu memberi kepercayaan, memberi peluang yang melebihi kepada warga asing atau PTI, dan longgarnya sistem kawalan yang diguna pakai.

Ada undang-undang, peraturan dan akta tetapi tidak dilaksana secara semaksimanya bagi membendung merajalelanya warga asing/PTI dari mengambil kesempatan di Sabah. Penulis pernah diberitahu tentang merajalelanya warga asing/PTI di Sandakan, Sabah. Katanya, Maktab Perguruan Sandakan pernah dicerobohi oleh warga asing dan mereka itu telah mengganggu pelajar-pelajar wanita. Satu lagi kes di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, penulis melihat gelagat warga asing yang menjaja minuman, rokok, makanan ringan dan lain-lain di Perhentian Bas Centre Point di Bandaraya Kota Kinabalu, mereka cukup licik dan pandai berlakon apabila ternampak pegawai penguatkuasa DBKK, ada yang menyembunyikan barang jualan mereka ke dalam bas-bas yang sudah sehati dan memahami kehendak mereka.

Dari segi kemanusiaannya, sebagai manusia yang waras kita tidak sampai hati untuk menghalang mereka dari mencari penghidupan. Tetapi warga asing/PTI, kita minta mereka fahamilah UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN NEGERI SABAH DAN NEGARA MALAYSIA, DAN BELAJARLAH MENGHORMATI ADAT SERTA BUDAYA TEMPATAN. Kerja-kerja mereka yang tidak menurut undang-undang itu, sebenarnya amat tidak sihat, boleh mengancam keharmonian sosial dan keselesaan rakyat warga negara ini.

Jadi salah siapakah semua ini, sehingga warga asing/PTI teramat mudah menetap di bumi Sabah, mereka sesuka hati nak tinggal di mana mereka suka, mendirikan rumah setinggan di mana mereka mahu, mereka boleh kaburi mata rakyat tempatan dengan wang ringgit asalkan mereka dapat tapak mendirikan rumah, mereka sanggup menabur budi dengan masyarakat kampung dengan bermacam cara asalkan mereka diberi tapak untuk tinggal, mereka boleh menjual apa saja mereka suka, mereka sanggup beli IC atau dokumen warga negara tanpa banyak soal asal saja mereka boleh terus menetap di negeri atau negara ini.

Peluang dan kesempatan yang terbuka luas ini mana mungkin mereka tolak, sekalipun menyalahi undang-undang. Kerana mereka sudah terbiasa dengan kehidupan selesa dan aman, tidak seperti di negara mereka sendiri yang bergolak sepanjang masa, susah cari makan, sentiasa diserang ketakutan dan sebagainya. Justeru itu, kerajaan negeri dan rakyat Sabah dan Malaysia yang majmuk ini hendaklah bertindak dari sekarang sebelum warga asing/PTI menjadi lebih berkuasa di negara ini. Kita bukan bermaksud hendak mengusir sesiapa dari negeri atau negara ini dengan syarat warga asing/PTI turutilah undang-undang negara di mana kita berada. Mereka warga asing yang menetap tanpa dokumen sah, seharusnya sedar bahawa mereka telah melakukan kesalahan dan harus juga bersedia menerima hukuman sewajarnya. Kerajaan mengambil tindakan ini bukan atas sikap yang zalim, tetapi merupakan satu langkah keselamatan dan memelihara kedaulatan rakyat dan negara Malaysia.

Demikianlah, pentingnya sensitiviti atau kepekaan rakyat Malaysia di Sabah yang majmuk ini, terhadap peri bahayanya warga asing/PTI yang membanjiri bandar-bandar utama dan kawasan-kawasan industri dan pembangunan. Kerana pembawaan adat tradisi mereka yang negatif, sekaligus memberi kesan buruk kepada sosial, pendidikan, keharmonian dan keselamatan rakyat tempatan. Dengan ini, kita mengharapkan rakyat dan kerajaan, para pemaju, premis perniagaan, kontraktor dan lain-lain yang banyak menggunakan tenaga warga asing supaya dapat memberi kesedaran ilmu, undang-undang negara dan budaya tempatan kepada mereka, agar dengan pendedahan ini mereka warga asing apabila telah habis kontrak bekerja mereka, mereka akan sendiri pulang ke negara masing-masing, bukan mengambil kesempatan demi kesempatan lain sehingga menyulitkan kehidupan dan keharmonian rakyat tempatan.

Sekian, idea dan penulisan ini semata-mata untuk memberikan kesedaran kepada semua sama ada warga asing di Sabah, mahupun rakyat Malaysia di Sabah, supaya masing-masing lebih bersikap jujur kepada diri, keluarga, bangsa lain, negeri dan negara di mana kita berada.

Ibn Sabah,
6.6.2001

Artikel ini dibaca oleh:orang