Sepak Terajang Politik Di Sebalik Pengunduran Daim
(Political power play behind Daim’s departure)

Beberapa hari sebelum menjelangnya ulang tahun hari Kemerdekaan 31, Ogos 1998, Perdana Menteri Dr. Mahathir jelas naik marah dengan soalan bertubi-tubi mengenai masalahnya dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Dia telah berkata: “Apakah saya mesti memeluknya di khalayak ramai untuk menunjukkan tidak ada apa-apa antara kami berdua?”

Satu minggu kemudiannya, pada 2 September, Anwar telah dipecat, ditahan di bawah Akta ISA, dihenyak sehingga lebam matanya (dan dibiarkan berbogel tanpa bantuan keselamatan sebagai sebahagian daripada pemenjaraannya).

Dua hari sebelum hari jadi rasmi Yang Di Pertuan Agong, Dr. Mahathir telah menafikan bahawa Menteri Kewangan akan meletakkan jawatannya.

Keesokan harinya itulah kenyataannya.

Dua peristiwa ini, walaupun tidak ada kaitannya, namun ada hubungannya, malahan mempunyai satu bahagian yang pahit antara keduanya. Kini, orang yang merencana kejatuhan Anwar Ibrahim sudahpun tersembam ke bumi. Dr. Mahathir terpaksa memecat seorang bekas orang kepercayaannya kerana akar umbi masyarakat Melayu telah membuat keputusan bahawa Daim terpaksa mundur kerana menggagalkan usaha Anwar membetulkan sesuatu dalam UMNO walaupun tidak berjaya. Pengaruh Daim yang satu ketika dulu disamakan dengan pengaruh Rasputin dalam kerajaan Tsar Russia, memang bukan calang besarnya lagi. Satu ketika dulu Anwar mencuba menyerang Daim, tetapi gagal, dan kerana itu dia kini merengkok dalam penjara atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh dan korupsi.

(Catatan Penterjemah: Rasputin ataupun Gregory Effimovich Rasputin -1871-1916, merupakan seorang agamawan fanatik Russia yang berjaya mencengkam kuasanya ke atas Tsar Nicholar II dan keluarganya ketika Perang Dunia Pertama dengan menonjolkan kuasa sihirnya mengubati bakal pewaris takhta daripada penyakit ‘hemofilia’. Beliau bertanggungjawab melalaikan Tsar kepada kemunculan reformasi rakyat yang akhirnya meledak menjadi Revolusi Russia. Dia dibunuh akhirnya oleh golongan ningrat Russia)

Dua tahun sudahpun berlalu, kemarahan rakyat marhaen terhadap Daim yang terlalu rakus itu terus naik melonjak. Kini, UMNO sudahpun mahukan penyata penuh segala akaun kewangan yang dikendalikan oleh orang kepercayaan dan sahabat lama yang diberikan amanah sebagai Bendahari parti itu. Apabila mencongak semua fakta itu, Dr. Mahathir tentu sudah sedar bahawa Daim adalah satu beban besar kepada UMNO dan kepada peribadinya juga. Sudah tidak ada pilihan lagi, dia terpaksa memutuskan perhubungannya dengan Daim ataupun menghadapi tindakan ganas daripada akar umbi parti.

Cara Mahathir menyingkirkan Daim tidak banyak berbeza daripada cara beliau menghumban Anwar dulu. Ada sebuah buku bertajuk 'Diam Diam, Daim' yang ditulis oleh penulis upahan Syed Hussein Alatas. Buku itu mempunyai gambar kulit menunjukkan Daim berada di sebalik jeriji besi. Edisi pertama buku itu telah habis terjual sebanyak 20,000 naskah pada kadar dua kali ganda daripada harga yang dicadangkan. Tidak lama lagi akan ada sebuah buku lagi, yang dikatakan akan dihasilkan oleh Khalid Jaffri, yang pernah menulis buku anti-Anwar dulu. Buku ’50 dalil kenapa.....” dikatakan akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Seperti yang terjadi kepada Anwar sebaik sahaja diaibkan, beberapa agensi penyiasat telah menyelongkar pejabat dan juga rumah kediaman para sahabat yang rapat dengannya. Sebaik sahaja Daim berundur, rumah-rumah kediaman para isterinya dan dua orang sahabat karibnya telah digeledah pula. Seorang telah digeledah sebaik sahaja Daim ditanya di Parlimen siapakah dia 'Josephine' itu. Dia dilihat menghadirkan dirinya di Parlimen hanya sekali selepas peristiwa itu – ketika perdana menteri membentangkan projek OPP3.

Kesilapan Membawa Maut

Banyak yang diperkatakan mengenai cuti dua bulan yang diambil oleh Daim. Dia sudah dihenyak di satu sudut apabila Majlis tertinggi UMNO mahukan penyata penuh segala pelaburan yang dikendalikannya sebagai Bendahari UMNO. Itulah yang menyebabkan beliau pergi bercuti selepas diberitahu akan keperluan itu.

Jadi, segala sikap mendabik dada para menteri kabinet berikutan pengunduran Daim yang dikatakan tidak ada tolok bandingnya itu sudah menjadi satu sifat bermuka-muka. Setelah dikaji semua peristiwa yang terjadi dan difikirkan segala tanggapan betapa pintar dan bijaksananya beliau itu, laksana Hamlet dalam cerita opera Shakespeare, Daim pun mempunyai kelemahannya. Kalau Hamlet dikaitkan kepada pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah, Daim mempunyai kelemahan kerana terlalu tamak dan haloba. Berita pengundurannya telah diterima oleh pelbagai hilai dan ketawa yang tidak kedengaran kerana masih ramai yang rela berpura-pura bersedih dan hiba secara terbuka.

Ketika berkuasa dulu, Daim cenderung memihak kepada para kroni dan pak-pacaknya untuk mengagihkan segala kontrak dan projek penswastaan kerajaan. Danaharta dan Danamodal yang ditubuhkan untuk menyekat sistem perbankan daripada jatuh tersungkur disebabkan hutang berkarat yang menggunung tingginya, telah memberikan banyak nikmat kepada para kroni daripada orang lain dalam sebarang kumpulan yang ada.

Kini, air pasang sudah lama surut. Ada cakap-cakap, sesiapa sahaja yang dilantik menjadi menteri kewangan yang baru terpaksa menilai semula segala kontrak yang telah diberikan oleh Daim sejak tiga tahun yang lalu. Surat-surat akuan yang telah dimeterai untuk projek hidro-elektrik Bakun, dan Pangkalan tentera laut Teluk Spangga adalah antara beberapa projek yang perlu dikaji semula.

Daim tersilap mentafsir mood orang Melayu ketika dia merencana penyelamatan (bailout) MAS yang memihak kepada seorang kroni, Tajuddin Ramli. Begitu juga kisahnya dengan TimedotCom, pembelian Phileo-Allied ke atas Pos Malaysia pada harga yang rendah yang dianggap sebagai harga terdesak.

Kemelut penyelamatan MAS telah mencuit kemarahan para menteri kabinet ketika kes itu dibentangkan kerana mereka disogokkan dengan satu kes ‘fait accompli’ (keadaan yang sudah terjadi). Dengan lain perkataan, Daim sudah meniru gelagat Dr. Mahathir yang melepasi tempoh kegunaannya. Kiasan yang pertama mengenai fenomena ini muncul apabila anak lelaki kedua Dr. Mahathir, Mokhzani, secara melodramatik telah mengundurkan dirinya daripada dunia komersial. Pengunduran ini adalah disebabkan satu kumpulan bank yang dikuasai oleh Daim meminta pembayaran balik hutang bertapuk Mokhzani yang bernilai RM1 bilion secara spontan. Dia merasa lega apabila menjual dua syarikat yang mempunyai kemungkinan untuk memberikannya keuntungan yang tinggi.

UMNO dan dunia Melayu sudah tentu tidak akan mempedulikan segala aksi sepak terajang politik ini seandainya Dr. Mahathir tidak pernah melakukan kerja-kerja bajingan terhadap Anwar. Besar kemungkinannya Mahathir bertindak berani dan rakus seperti itu disebabkan tekanan dan pengaruh Daim. Daim sudah nampak betapa empayar niaganya akan jatuh tersembam seandainya Anwar meneruskan kerja-kerja penyeliaan dalam kementerian kewangan.

Tekanan Daripada UMNO

Ekonomi Malaysia sudah pun terjejas dan tidak mungkin dapat dipulihkan dengan segera. Inilah bahana kelentongan Daim betapa sebagai menteri kewangan beliau menggalakkan satu kepercayaan bahawa projek-projek mega boleh dilaksanakan tanpa dana di tangan untuk membayarnya sambil mengenepikan unsur-unsur ekonomi para kroni. Inilah bahananya pembikinan projek kerana Perdana Menteri Malaysia mahu menunjukkan kepada dunia bagaimana Malaysia mengajar IMF yang tersilap pada satu kali ketika berlakunya kemelesetan kewangan 1997 Asia dulu. Inilah juga bahananya apabila Mahathir mahu menunjuk-nunjuk betapa Malaysia adalah selamat daripada krisis kewangan dan matawang.

Tetapi dia lupa ataupun sengaja terlupa bahawa ekonomi Malaysia hanya merupakan ekonomi berbuih di mana mencipta kertas kewangan adalah lebih penting daripada mencipta benda lain yang dikira berharga. Ketika memegang kuasa perbendaharaan negara, Daim telah menonjolkan tanggapan ini – untuk kemewahannya sendiri yang akhirnya menjerutnya juga. Tanpa sebarang keraguan, Daim adalah ahli politikus yang terkaya di bumi yang dipijaknya tanpa sebarang industri penting yang dikaitkan kepada namanya.

Yang lebih menakutkan kini ialah kesannya ke atas UMNO. Angin desas-desus semakin kencang tiupannya akan apa yang mungkin terjadi pada 21 Jun tahun ini. Inilah tarikhnya Persidangan Tahunan UMNO akan dilangsungkan. Angin yang kencang tiupannya kini menyebut beberapa nama daripada Dr. Mahathir, Daim, kepada beberapa nama lagi yang menjadi anggota Majlis Tertinggi. Kerana itu apabila Mahathir cuba berjenaka apabila ditanya mengenai perletakan jawatan Daim setibanya beliau daripada Jakarta, Dr. Mahahtir sebenarnya tersilap tafsir mood orang Melayu sekali lagi.

Mahathir semakin tertekan dan bukan kepalang tekanan yang dirasainya itu. Ketakutannya berucap di hadapan himpunan orang Melayu sudah semakin ketara kini. Dia sudah samar dengan pendirian orang Melayu sama ada mereka masih menyokongnya sebagai seorang pemimpin feudal Melayu yang betul ataupun bersalah. Episod Daim, mencabar kuasa di tangan Mahathir dan ini terjadi selepas keputusan badan kehakiman yang bersikap terus-terang terhadap tahanan ISA.

Kesaktian kuasa yang menyerlahkan unsur-unsur kekuasaan apabila segalanya tumpas, sudah lama ghaib daripada genggaman UMNO dan presidennya. Inilah kesaktian yang telah menyelamatkan Mahathir untuk beberapa kali dan bersilih ganti. Inilah kesaktian yang menghilang keluar sebaik sahaja dia memusnahkan Anwar.

Ketika ini Anwar sedang dipenjarakan. Dia masih tidak dilupakan ataupun diketepikan. Demikianlah keadaannya selagi Dr. Mahathir menyalah-tafsir mood orang Melayu. Anwar semakin menyerlah sebagai alternatif yang indah untuk mengisi kerusi perdana menteri yang semakin terdedah. Bagaimana caranya dan bila jadinya bukan menjadi isu yang perlu difikirkan masa kini. Memandangkan penderitaan yang ditanggungnya, wataknya semakin menonjol sebagai pemimpin yang lagi satu. Inilah yang membuatkan Mahathir menghumbankan Daim dari sisinya. Malahan, bukan Daim sahaja yang akan menerima bencana. Dan tekanan itu bukannya datang daripada beliau sahaja. UMNO yang akan membuat penentuan juga di tahap awalannya.


M.G.G.Pillai
Diterjemahkan oleh SPAR-01-018

Artikel ini dibaca oleh:orang