ISA Yang Membingungkan
(Confusion Over the ISA)

ISA (Internal Security Act: Akta Keselamatan Dalam Negeri) merupakan satu undang-undang yang menzalimi kebebasan yang digunakan untuk menekan politikus pembangkang, sudah tidak lagi dianggap berbisa seperti dulu. Kerajaan sudah semakin gelisah seperti juga pihak pembangkang, setiap kali akta itu digunakan, dan pelbagai pandangan tepat yang dijangkakan daripada kedua-dua pihak telah merendahkan serta melunturkan nilai perdebatan mengenainya. ISA dianggap satu bentuk undang-undang yang perlu digunakan secara ekstrim apabila keselamatan negara ataupun ancaman semacam itu tergugat. Ia tidak sepatutnya digunakan terhadap parti lawan, walaupun menggunakan undang-undang itu merupakan satu kemudahan yang tersedia ada untuk mereka yang memegang kuasa.

ISA sepatutnya digunakan selepas diisytiharkan keadaan darurat dalam negara. Cara ia digunakan baru-baru ini apabila 10 pemimpin pembangkang dan aktivis politik telah ditahan memberikan gambaran betapa keadaan semacam itu sudahpun terjadi. Inilah bahayanya tindakan melulu semacam ini.

Secara teknikalnya, kita memang berada dalam beberapa keadaan darurat, yang masih lagi dicatatkan apabila Perlembagaan telah dipinda untuk merakamkan segala pengisytiharan darurat yang tidak ditarik balik selepas Parlimen bersidang. Sebelum ini, semua bentuk darurat dikira pupus secara automatis melainkan ia dibentangkan kembali.

Kerajaan memang bergantung kepada khayalan yang tidak berasas ini untuk menyalah-gunakan undang-undang zalim itu. Kalaulah kita dirundung darurat bererti segala usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing dan usaha menarik pelancong luar adalah satu usaha yang berbentuk kepalsuan jua.

Di Sri Lanka, semua amalan yang biasa, dipraktikkan. Setiap kali diisytiharkan keadaan negara dalam darurat, ia dikuatkuasakan selama tiga bulan sahaja dan akan tamat secara automatis melainkan kalau disambung lagi. Sri Lanka sedang digugat oleh masalah politik yang lebih serius berbanding Malaysia, namun ia lebih peka terhadap menyekat kebebasan berpolitik.

Senjata Pilihan

ISA hanya boleh digunakan dengan arahan khusus Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selepas Ketua Polis Negara membuat cadangan agar seseorang yang telah ditahan di bawah undang-undang biasa dikenakan tahanan ISA pula. Menteri itu tidak boleh cuba melepaskan dirinya seperti yang ditunjukkan oleh Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, dengan menafikan yang beliau tahu akan penahanan itu. Dia boleh dianggap cuai dalam tugasnya seandainya dia tidak memberikan arahan kepada penangkapan itu.

Adalah amat malang apabila ISA dipilih sebagai senjata pilihan setiap kali kerajaan mahu menindas pembangkang yang mencabarnya. Ketika ia digunakan dulu terhadap mantan perdana menteri yang baru sahaja dipecat ketika itu (Anwar Ibrahim), Ketua Polis Negara pada waktu itu telah menyusuli tindakan kerajaan dengan menghenyak beliau dengan pukulan-maut karate sehingga lebam matanya dan hampir melayang nyawanya. Namun, kerajaan bersikap bertahan. Tetapi, itulah peristiwa yang membuatkan ISA kehilangan bisanya, apabila aktivis politik dan pemimpin parti pembangkang menganggapnya sebagai satu bahaya yang perlu dihadapi sahaja. Kerajaan pula sudah semakin tertekan dengan menggunakan ISA. Seorang tahanan telah kehilangan begitu banyak berat badannya dan enggan makan nasi bungkus yang berbau hancing, tekanan darah beliau naik mencanak sedangkan paras gulanya menurun, menyebabkan isterinya terpaksa dipanggil untuk menasihatkan beliau makan. Pada waktu itulah beliau dipindahkan kepada sebuah bilik yang mempunyai kemudahan TV dan berhawa dingin untuk mengambil hati.

Itupun tidak dapat membantu. Belum pernah terjadi sebelum ini orang tahanan tidak diberikan kemudahan menemui ahli keluarga mereka dalam tempoh 60 hari mereka ditahan. Ugutan kerajaan mendera pihak pembangkang kini sudah hanyut disebabkan kekalutannya yang dirangsang oleh kebencian akar umbi.

Itu sebabnya semakin ramai menteri yang bersuara sumbang dengan pendapat yang tidak pernah difikirkan dulu sambil menyerlahkan yang mereka tahu ialah untuk menipu.

Celaan kehakiman yang berbisa

Keadaan yang bercelaru itu telah menyebabkan munculnya satu penghakiman berbisa untuk mencela. Hakim Mohd. Hishamuddin Mohd. Yunus, seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya dan yang dianggap seorang hakim yang pro-kerajaan, telah mengutuk cara tahanan ditahan. Dia telah membangkitkan beberapa isu yang menyangkuti Perlembagaan yang tidak pernah terlintas oleh kerajaan. Mahkamah Persekutuan akan mendengar pelbagai hujah mengenai pendapatnya itu tidak lama lagi.

Ketika beliau mendengar kes rayuan ‘habeas corpus’ oleh dua orang tahanan ISA itu, beliau telah mengarahkan polis tidak menangkap mereka semula dalam masa 24 jam. Sepatutnya lapan orang tahanan lagi dibebaskan dengan serta merta menunggukan rayuan mereka ditentukan oleh mahkamah. Sebaliknya, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah memberikan arahan agar empat orang antara mereka ditahan untuk dua tahun, sambil yang berbaki empat orang itu dibebaskan sebaik sahaja tiba tempoh 60 hari penahanan mereka itu.

Apa yang akan berlaku seterusnya sudah tidak penting lagi. Kerajaan terpaksa bertahan selagi ISA menjadi senjata berbisa yang digunakannya untuk menghalang parti pembangkang. Seorang hakim telah menyentuh beberapa perkara dalam perlembagaan mengenai cara ISA digunakan Kerajaan tidak mampu menjawab soalan itu. Kerana itu satu kelencongan minda dibuat untuk menyoal haknya memberikan komen mengenai peranan Parlimen pula.

Inilah bahana dan kesan kepada satu pindaan perlembagaan yang dilaksanakan pada 1998 dulu, di mana seorang Hakim Mahkamah Tinggi kehilangan kuasanya dan terpaksa menjalankan tugas setaraf peranan seorang pegawai kastam ataupun polis yang menjalankan tugas tanpa banyak soal. Tindakan hakim itu sudah menghenyak kerajaan. Penghakiman yang dibuatnya telah disokong oleh ramai hakim yang muda-muda dan yang baru diberikan pangkatnya.

Masalah Lebih Besar Yang Dipinggirkan

Di sinilah juga bermulanya kekalutan. Kuasa yang dipegang oleh kerajaan terlalu bergantung kepada tindakan badan kehakiman menyetujui setiap perkara yang dianggap penting. Sikap itu sudahpun tercabar kini. Pendapat Yang Arif Hakim Hishamuddin bahawa Parlimen seharusnya mengkaji akan kesesuaian undang-undang yang dikuatkuasakan itu dianggap sebagai satu campur tangan pula. Sebenarnya ia tidak seharusnya dianggap begitu. Bagaimana dengan sikap Parlimen yang mahu membincangkan rang-undang-undang dengan cara mengagihkan kertas kerja mengenainya satu jam sebelum ia didebatkan, dan cuba menyogokkan sijil darurat menunjukkan kepentingan masa agar perdebatan dibuat sambil lewa sahaja.

Dengan demikian, adalah bertepatan kalau para hakim yang melaksanakan undang-undang membuat saranan apa yang harus dilaksanakan. Kalau mereka melaksanakannya ia harus dianggap sebagai bertepatan dengan tugas mereka. Malangnya, menteri undang-undang (de fakto) Rais Yatim dan juga timbalan perdana menteri telah merasa tersinggung dengan kenyataan itu. Tetapi, itulah caranya untuk mengelakkan banyak lagi persoalan mengenai perlembagaan yang ada kaitan dalam hal itu.

Semua itu sudah menghantui satu pentadbiran yang selama ini memperlekehkan perkara pokok yang dicetuskan oleh keputusan mahkamah tinggi. Adalah sukar untuk melihat siapa yang akan terhenyak lagi dalam usaha mengabui minda orang Melayu. Mereka yang ditahan dan dipenjarakan akan merasakan semangat kehormatan perjuangan mereka; mereka yang bertanggungjawab menahan masih tidak faham kenapa tercetusnya keributan. Di waktu yang sama mereka berselindung dan berbohong untuk menyelamatkan airmuka sendiri.

Inilah yang membuatkan semakin ramai mempertikaikan kenapakah ISA itu masih diperlukan.

M.G.G. Pillai.
Terjemahan oleh: SPAR-03-016

Artikel ini dibaca oleh:orang