Mengenal Saf Politikus Muda Sabah (1)

Mengenali A. Rahman Yaakub Pemimpin Muda BA Sabah

Assalamu'alaikum...Yang dimuliakan saudara Ketua Editor Web Minda Rakyat. (waalaikum sallam ~ webmaster)

Syukur alhamdulillah semangat rakyat marhaen terus membara bagi menegakkan keadilan, kebenaran serta membongkar segala macam tipu helah UMNO/BN zaman mahathirisme and kroni's. Terima kasih kerana terus menilai dan membimbing khususnya diri saya dalam dunia penulisan era siber terutama berkaitan isu-isu politik semasa dan kemasyarakatan. Kali ini ingin saya emailkan sebuah artikel bertajuk: "Mengenali A. Rahman Yaakub Pemimpin Muda BA Sabah".   Politikus muda Sabah, muncul silih berganti sama ada dari parti kerajaan UMNO/UPKO/PBRS/SAPP/BN. Begitu juga dari kem parti-parti pembangkang BA dan PBS di Sabah. Tetapi sayang seribu kali sayang tidak ramai yang memiliki watak berwibawa, berkarisma, berprinsip dan ada idealisme tersendiri. Lebih ramai kecundang kepada kehendak atau runtunan tuntutan kebendaan, kemewahan, kedudukan, pangkat serta kemasyhuran peribadi. Jarang sekali yang berani mempertahan prinsip dan idealisme sekalipun terpaksa mengadai kedudukan, kebendaan, pangkat dan jawatan besar.

Terjunnya Sdra Abdul Rahman ke dalam dunia politik penuh onak dan duri, adalah ekoran dari pemecatan dan pengaiban secara luar biasa terhadap diri dan keluarga DS Anwar Ibrahim oleh pimpinan UMNO pimpinan Dr Mahathir selaku presiden UMNO (baru). Kelibat, keberanian dan ketegasan Sdra Abdul Rahman benar-benar teruji, beliau memilih platform PBS sebagai wadah menyuarakan kebenaran dan keadilan itu, sebab waktu itu Keadilan belum ditubuhkan. Kalau Dr Mahathir pernah memilih platform PAS sewaktu dicampak keluar dari UMNO atas sikap ultranya, maka pemilihan Sdra Abdul Rahman melalui platform PBS itu adalah lebih baik dari terus kekal dalam UMNO untuk tidak bersekongkol dengan kezaliman, dendam dan budaya politik rimba amalan UMNO/mahathir and kroni's.

Sdra Abdul Rahman Yaakub seorang mantan naib pemuda UMNO Sabah. Kini merupakan Ketua Perhubungan Keadilan Sabah, meskipun masih muda tetapi beliau menampakkan bakat seorang pemimpin berkarisma, petah berpidato dan berprinsip. Beliau tidak merelakan dirinya bersekongkol dengan kezaliman dan budaya ampu sana ampu sini yang meresapi kepimpinan UMNO/BN Sabah dan UMNO pusat. Dia rela hilang jawatan naib pemuda UMNO, kerana mempertahan prinsip dan idealisme perjuangan yang bertunjang kepada keadilan, kebenaran dan ketelusan.

Abdul Rahman seorang lulusan Universiti Malaya, berasal dari Beaufort, Sabah. Adalah antara bekas saf pimpinan ABIM Sabah bersama YB Datuk Sapawi Haji Ahmad (sekarang Pembantu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah). Walaupun dulu berada sejemaah dan sebumbung dibawah ABIM, kini kedua mereka sudah berlainan haluan politik, sebab Datuk Sapawi tetap kekal bersama UMNO, itulah beza ideologi politik mereka. Kita masih ingat pada pilihanraya umum negeri Sabah 1999 dulu, Abdul Rahman merupakan calun PBS bagi kerusi DUN Klias menentang gergasi politik Beaufort Datuk Lajim Haji Okin (sekarang TKM Sabah kouta bumiputera Islam). Dan dalam pilihanraya umum kebangsaan Abdul Rahman sekali lagi menjadi calun di kerusi parlimen Sipitang atas tiket Keadilan melawan calun UMNO/BN Datuk Dr Yusof Yakob. Kedua-dua gagal dimenangi oleh Abdul Rahman atas beberapa faktor, bukan bermakna beliau tidak layak menjadi pemimpin.

Di Sabah, orang kata kalau tiada duit jangan harap mahu menang pilihanraya. Lagipun yang beliau lawan keduanya calun parti gergasi (UMNO/BN) yang kaya raya dan licik mengeksploit minda rakyat. Sampai ada rakyat di kampung-kampung parti lain mana boleh lawan UMNO/BN sebab UMNO banyak duit, boleh bagi duit, tangki air, selori batu/tanah, zink dan lain-lain kebendaan. Parti lain tidak boleh bagi itu semua. Maknanya pemikiran rakyat tertutup terus dari melihat bahawa sebenarnya rezeki itu datang dari Allah.

Sekalipun Abdul Rahman bukan calun yang kaya raya, beliau tidak hilang wang pertaruhan/deposit. Tapi beliau kaya dengan idealisme, prinsip, jati diri, semangat juang, ketelusan dan keikhlasan perjuangan. Inilah istimewanya peribadi Sdra Abdul Rahman pada penilaian penulis. Penulis memang tidak pernah lagi mewancarai secara dekat Sdra Abdul Rahman, tetapi pernah mengikuti atau menghadiri kuliah/ceramah yang beliau berikan beberapa kali. Pada tahun 1994 seingat penulis beliau adalah antara tenaga penceramah BTN, kebetulan penulis merupakan peserta dalam kursus BTN yang diadakan di WP Labuan, dalam satu kuliah Maghribnya penulis amati dan melihatkan bakat dan kepetahan pidatonya secara ilmiah.

Malah penulis berkongsi pandangan dengan beberapa rakan tentang watak Sdra Abdul Rahman yang memang ada kelainan dengan pimpinan muda politikus Sabah pada waktu ini. Ketika beliau menjadi calun PBS menentang calun UMNO/BN di Klias iaitu Datuk Lajim ibarat seorang gergasi politik Sabah. Seorang sahabat juga seorang ustaz pernah berkata dari segi pengaruh dan kekuatan kebendaan Datuk Lajim tiada tandingan bagi Sdra Abdul Rahman. Tetapi sambung ustaz itu, dari sudut penampilan watak kepimpinan, wibawa peribadi, keikhlasan dan ketelusannya Abdul Rahman mempunyai kelebihan. Itulah antara ciri-ciri kepimpinan dalam budaya politik baru di Sabah. Kita dan rakyat Sabah sebenarnya sudah merasa bosan dengan kepimpinan yang berwatak egoisme, kebesaran, terlalu kebendaan, tamak, rakus kepada kemewahan, kebendaan, pangkat kedudukan dan kemasyhuran, sehingga kepentingan rakyat terabai. Dengan kata lain, mereka hanya kenal dan bermesra serta bersikap pemurah kepada rakyat marhaen sewaktu berkempen meraih sokongan dan undi untuk merebut kuasa.

Demikianlah, serba sedikit analisa penulis tentang seorang pemimpin muda politikus Sabah yang mempunyai prospek di masa depan. Kita mengharap akan lebih ramai lagi pimpinan muda Sabah dapat ditampilkan untuk menggantikan pimpinan lama yang kurang menyerlah dalam politik Sabah. Di samping menaruh harapan tinggi kepada pimpinan lama yang masih bersemangat, berkarisma dan berwibawa seperti DS Joseph Pairin (Presiden PBS), Datuk Dzulkifli Abdul Hamid dan lain-lain untuk membimbing anak-anak muda Sabah untuk menjadi pemimpin terbaik pada masa depan.

Sekian, insya-Allah marilah kita sama-sama menyumbangkan idea ke arah menyedarkan rakyat Sabah bagi membudayakan politik baru demi membawa Sabah ke arah kerajaan yang baik, demokratik, telus dan beramanah di bawah kepimpinan baru yang lebih telus dan ikhlas serta berjiwa rakyat, tawaduk lagi bertaqwa.

Ibn Sabah,
7.6.2001M

Artikel ini dibaca oleh:orang