Bukannya Urusniaga Yang Mampan
(Not Such A Good Deal)
Oleh: Lorien Holland
FEER dated: 14 Jun, 2001

Apabila sebuah syarikat pelaburan mengumumkan secara tiba-tiba pada Mei lalu bahawa ia mahu membeli dan menguasai satu kumpulan penerbitan bernama Nanyang Press Holdings, pengerusi syarikat itu telah menegaskan bahawa urusniaga itu adalah semata-mata bertujuan komersial sahaja. Ledakan kemarahan rakyat marhaen yang tercetus ekoran pengumuman itu menunjukkan bahawa tidak ramai orang yang mempercayainya. Kesannya ialah satu bencana yang akan menghantui keseluruhan masyarakat Cina Malaysia dan akan merobah paras rupa politik negara ini.

Semua ini adalah disebabkan syarikat yang terbabit itu bukannya sebuah syarikat sembarangan. Huaren Management merupakan sayap pelaburan MCA (Malaysian Chinese Association), sebuah parti politik etnik Cina yang terbesar di negara ini yang juga merupakan ahli komponen gagasan politik yang memerintah. Pembelian terbaru ini memberikan MCA penguasaan terhadap dua daripada tiga akhbar utama berbahasa Cina di negara ini, sehinggakan ia mencetuskan tentangan lantang daripada para wartawan, persatuan-persatuan Cina yang berwibawa dan pemimpin tinggi yang lain dalam MCA juga.

“Majoriti masyarakat Cina sudahpun menentang kita, tentunya kita tidak mampu menyorokkan sentimen negatif ini secara menyapunya di bawah hamparan permaidani dan seterusnya menanggung risiko kehilangan sokongan mereka,” demikian kata-kata Lim Ah Lek yang merupakan timbalan presiden MCA.

Apabila pengundian dilaksanakan oleh jawatankuasa pusat MCA, Lim telah memihak kepada tindakan yang dilaksanakan oleh tujuh orang lain yang menentang pembelian yang bernilai RM230.1 juta ($60.6 million) untuk memperolehi 72.3% saham dalam Nanyang. Dia berpendapat bahawa urusniaga itu tidak mampan sebagai satu pelaburan komersial, kerana ia akan menyekat kebebasan akhbar dan akan meminggirkan masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Namun demikian, jawatankuasa pusat parti yang dianggotai oleh 32 ahli itu termasuk presidennya Ling Liong Sik telah bertindak memperakukan pembelian tersebut. Presiden Ling berpendapat bahawa pembelian Nanyang Siang Pau dan China Press adalah satu urusniaga yang terlalu baik untuk diketepikan walaupun ada keperluan meminjam banyak wang untuk melunaskannya. Dua harian tersebut mempunyai angka edaran bersama sebanyak 390,000 naskah.

Tidak ramai warga masyarakat lain yang bersetuju dengan Ling. Akhbar berbahasa Cina di Malaysia memang terkenal dengan sikap kebebasan mereka. Inilah yang mahu dikekalkan oleh masyarakat Cina.


Walaupun Ling menjanjikan kebebasan sidang pengarang akhbar, para wartawan di The Star yang dikuasai sepenuhnya oleh MCA, dan yang merupakan akhbar harian berbahasa Inggeris terbesar di negara ini, berpendapat mereka sudah lama mengalami gangguan harian tentang perkara yang ada sangkut-paut dengan parti.

“Apabila MCA melaksanakan kerja yang betul, kami menyokong mereka; tetapi seandainya mereka melaksanakan kerja-kerja yang bertentangan dengan pendirian kami memanglah tidak akan kami sokong,” demikian kata Ngan Ching Wen pengerusi CAT. CAT adalah merupakan satu akronim kepada sebuah gabungan persatuan yang panjang namanya: ‘National Assembly of Chinese Organizations Against the MCA Takeover of Nanyang Press’. (Dewan Kebangsaan Cina Menentang Pengambilalihan Nanyang Press oleh MCA – penterjemah). Dewan ini dianggotai oleh 245 pertubuhan Cina berbentuk sosial dan juga perniagaan yang berpengaruh tetapi sengaja bersikap merendah diri dan tidak lantang dengan cemuhan mereka.

Dalam satu surat pekeliling kepada keahliannya bertarikh 30 Mei, CAT telah mendesak ahli-ahlinya memboikot Nanyang Siang Pau. Ngan berkata bahawa MCA harus menghentikan membuat kecoh dan cuba menekan surat khabar. Beliau memberi amaran betapa MCA “akan membayar satu ganjaran padah yang tinggi pada pemilu yang akan datang” seandainya MCA enggan mendengar rintihan dari masyarakat Cina.

Pemilu yang akan datang dijangkakan pada 2004. Walaupun masyarakat Cina merupakan 30% daripada jumlah pengundi, pengundian mereka adalah dikira penting untuk masa depan gagasan parti yang sedang memerintah. Sebahagian besar undi orang Melayu sudah pun terengsot ke pihak pembangkang. Undi masyarakat Cina masih tidak keruan lagi dan majoritinya masih lagi menyokong MCA dan juga parti komponen Barisan Nasional.

Beberapa sumber maklumat memberitahu bahawa pembelian Nanyang oleh MCA daripada pemiliknya Quek Leng Chan sebenarnya direstui oleh kerajaan dan bertujuan untuk melonjakkan sokongan masyarakat Cina secara positifnya terhadap Barisan Nasional sebelum menjelangnya pemilu 2004. Mereka berkata, Ling tidak sekali-kali menjangkakan adanya tentangan hebat daripada masyarakat Cina.

Ini bererti bahawa bukanlah pertama kali pada tahun ini kerajaan campur tangan dalam perjalanan surat khabar. Akhbar berbahasa Inggeris ‘The Sun’ mendapat sokongan pembeli bermula awal tahun ini dan langganannya meningkat dengan populariti baru yang tertambat. Ini bermula apabila pemilik terbarunya ketika itu membuat satu rombakan agar sidang pengarangnya bersikap lebih terbuka. Belumpun selesai pembelian akhbar itu, ia sudah berpatah balik kepada pemilik asalnya. Mengikut para pekerja ‘The Sun’, urusniaga jual beli itu telah disekat oleh kerajaan.

Beberapa sumber dalaman masyarakat Cina memberitahu adanya pelbagai kisah yang berbelit-belit mengenai Nanyang yang sudah turut membelit politik dalaman MCA. Nanyang Siang Pau dan China Press pernah mencemuh cara MCA mengendalikan beberapa isu hangat, termasuklah ledakan wabak JE yang menjahanamkan industri ternakan khinzir, masa depan Sekolah Cina Damansara dan tabung amanah pendidikan yang tidak pernah diagihkan oleh MCA. Kedua-dua akhbar telah membuat laporan menyeluruh mengenai isu penggantian kepimpinan yang melibatkan Ling dan timbalannya yang lebih popular itu sehingga menyerlahkan perpecahan dalaman MCA. Sejak Ling bertindak membeli Nanyang, semua akhbar yang dikuasai MCA telah meredakan kisah perbalahan, walaupun perpecahan dalaman itu tidak akan bertaut kembali.

Ling bercadang membiayai pembelian terbaru itu dengan pinjaman yang disokong oleh kekuatan saham Nanyang dan dicampurkan pula oleh keseluruhan aset pegangan The Star. Lim Ah Lek dan seorang lagi timbalan presiden MCA, Chua Jui Meng telah mengutuk urusniaga itu sebagai terlalu tinggi risikonya, apatah lagi dengan adanya ugutan pemboikotan yang dipelopori oleh CAT. Mereka telah mengajak masyarakat Cina mengimbau kembali pembelian sebuah akhbar yang sudahpun terkubur kini, ‘Thung Bao’ pada 1980-an dulu. Apabila urusniaga itu diketahui telah dipelopori oleh MCA, jumlah edaran akhbar itu merudum berdentum-dentum daripada 100,000 kepada 20,000 sahaja.

Kemudian, Ling telah memberikan janjinya kepada penyokong MCA bahawa MCA akan mengurangkan risiko kewangan dalam urusan itu dengan mengagihkan sebahagian saham Nanyang kepada pihak ketiga yang dikira mesra. Sumber di dalam masyarakat media menunjukkan kemungkinan munculnya satu rakan niaga ini dalam bentuk akhbar harian Cina yang ketiga di Malaysia, ‘Sin Chew Jit Poh’. Memang pada tahap awalan, Sin Chew Jit Poh ada dikaitkan dengan pembelian Nanyang itu, malahan sudah merupakan sumber yang menyediakan satu pengurusan baru di Nanyang. Namun, Sin Chew telah menafikan pembabitan itu dan mengatakan bahawa para pengurusnya melepaskan jawatan di Sin Chew untuk menyertai akhbar saingan mereka.

Apa pun yang akan terjadi akhirnya, pembelian MCA itu telah merapatkan media Malaysia ke ruang orbit politik yang lebih dekat, yang sudah tentu tidak akan memberikan nafas segar dalam kebebasan akhbar. “Semua ini akan menjadikan pendapat awam itu satu monopoli (kerajaan)” kata K. Baradan, seorang wartawan veteran Malaysia. “Kalau kita ketepikan politik dulu, terdapat banyak isu lain di negara ini; seperti persekitaran alam, kesihatan dan pengurusan kewangan yang perlu diselesaikan melalui pemikiran yang bebas dan merdeka”

Di sebalik pengambilalihan itu terdapat satu kisah berbelit-belit betapa wujudnya sepak-terajang politik dan monopoli kerajaan.


Lorien Holland
Diterjemahkan oleh SPAR-03-018


Catatan Penterjemah;

Orang Cina tahu apa erti kemerdekaan dan kebebasan untuk hidup. Mereka tidak perlu menantikan akhbar mereka digantung permitnya ataupun digam frekuensi edarannya seperti yang terjadi kepada akhbar dan maja  lah berbahasa Melayu. Malahan, kalau dilihat akan jumlah ‘circulation’ akhbar utama di negara ini, kita dapati akhbar yang sombong dan gah berbahasa Melayu dan Inggeris kepunyaan UMNO tidak mampu menandingi jumlah edaran akhbar-akhbar Cina. Sedangkan kebanyakan akhbar kepunyaan UMNO itu, kebanyakannya diedar dengan perbelanjaan kerajaan juga. Itu sebabnya pemikiran Melayu itu pada hari ini dikongkong dan mudah diputar-putar oleh tulisan haprak penulis semacam Senator Keling Tongkang Zam, dan agamawan Siam Astora. Namun, orang Melayu yang bersikap gagah dengan kata-kata “Takkan Melayu Hilang Di dunia’ masih akur dengan putar belit ini. Masyarakat Cina yang merupakan hanya sekitar 35% pengundi di negara ini, mampu menunjukkan jalan yang baik untuk diikuti oleh orang Melayu secara terang-terangan tanpa perlu bersuluh untuk menirunya.

Alangkah aibnya apabila masalah Melayu terutama politik hapraknya dibesar-besarkan seperti buku “Diam, Diam Daim” semata-mata kerana Mahathir dan Daim mahu meredakan sanggahan orang UMNO terhadap apa jadinya kepada 50 bilion harta Melayu selama ini? Kenapakah sebilangan besar Melayu sanggup membisu apabila permit Detik, Wasilah, Eksklusif dan Harakah dikotak-katikkan kerana kerajaan Mahathir tidak mahu masyarakat Melayu memahami cerita sebenar di sebalik setiap putar-belit dan penipuan yang dilaksanakan oleh kumpulan penyamun yang bertaraf antarabangsa tanpa ada tolok bandingnya????

Artikel ini dibaca oleh:orang