Daim, Merbok dan MAS
(Daim, Merbok and MAS)
http://home.yqi.com/harunrashid1/75Daim.html

MAS, yang merupakan syarikat pengangkutan udara negara, secara teknikalnya adalah sebuah institusi yang sudah bankrap. Keadaannya sukar untuk diperbaiki kerana terlalu teruk, kini. Walaupun disuntik dana baru sebagai tambahan modalnya ia tidak mudah diselamatkan. Walaupun kerajaan telah memberikan jaminan bahawa pengurusan baru mampu mengembalikan operasi syarikat ke ambang keuntungan, sebenarnya tidak ada cara yang berpotensi untuk melaksanakannya. Tahap bebanan hutang yang ada, apabila dirangkumkan dengan kerugian yang berpanjangan itu, adalah di luar sebarang harapan untuk mengembalikan keadaan yang melegakan. Seandainya syarikat penerbangan itu mencapai satu suasana ‘break-even’ (balik-modal) dengan cara penjimatan segala programnya, hutang yang bertapuk itu, apabila dirangkum dengan beban membeli pesawat baru, merupakan satu beban yang akan menghumban syarikat ke gaung kemuflisan.

Dalam usaha menyolek wajah menarik kepada situasi ini, kerajaan tidak pernah mahu mengaku kalah, dan ini membuatkan kerajaan melancarkan satu dasar untuk terus menyokong syarikat penerbangan itu dengan dana awam, dan jumlah bebanan sebenarnya dalam usaha ini masih belum terdedah lagi. Usaha terbaru untuk menggerakkan ekonomi yang merudum dengan suntikan RM3 bilion, harus ditimbangkan dengan mengambil-kira kerugian tahunan yang menjangkau RM1 bilion oleh MAS sahaja. Demikianlah harga menahan keangkuhan agar tidak teraib sehinggakan keadaan ekonomi yang terus merudum itu nanti akan memaksa Malaysia membiarkan MAS mengikut jejak Philippine Airways yang turut lingkup sebagai sebuah syarikat penerbangan ASEAN yang akhirnya terpaksa ditutup. Inilah kesannya apabila Malaysia terpaksa mengikut perangai seorang kaki judi yang telah dirundung malang selama ini, dan terpaksa menaruh jiwanya sebagai cagaran untuk meneruskan tabiat yang menghancurkan itu. Tetapi ini bukannya cara terbaik untuk menguruskan ekonomi sebuah negara.

Sebelum diswastakan dulu, syarikat penerbangan ini memang sentiasa meraih keuntungannya setiap tahun, dan mempunyai satu timbunan harta yang bernilai tinggi. Kisah bagaimana syarikat ini dirundung malang, hanya memakan masa lima tahun sahaja, dan merupakan satu hikayat yang sungguh memberi pengajaran yang hanya dapat ditandingi oleh beberapa lagi sejarah korporat di Malaysia ini. Inilah kisah penting dan bersejarah kerana ia adalah lambang kenapa terjadinya banyak kesilapan dalam dunia korporat Malaysia masa kini, sehingga mencetuskan satu persoalan ke mana lagi Indeks Komposit (BSKL) akan pergi kalau tidak menjunam dan menjadi jahanam. Kini, kita tentu mahu bertanya, “Ke manakah perginya duit itu semua?”

Setiap perusahaan yang bercita-cita mahukan keuntungan mestilah mencerna perolehan semasa untuk menyamai perbelanjaannya. Kepada sebuah syarikat penerbangan, kos yang tinggi adalah gaji para juru terbang dan anak-kapalnya untuk setiap penerbangan, dan segala kos minyak dan caj pendaratan. Mesti ada tiket penerbangan yang mencukupi terjual untuk menyaingi kos dan membuatkan sesuatu penerbangan itu menguntungkan.

Bagi sesuatu penerbangan yang tidak berjadual, penjualan tiket bukan merupakan masalah besar kerana pesawat boleh menunggu di lapangan sehingga cukup tempat duduk yang terjual; untuk menjadikan sesuatu penerbangan itu menguntungkan. Seandainya syarikat penerbangan itu tidak mempunyai hutang yang membebaninya dan dikenakan kos penyeliaan yang minima, syarikat itu mampu menawarkan harga tambang yang rendah untuk menarik lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatannya. “Virgin Air” merupakan sebuah syarikat penerbangan yang berjaya, bermula dengan cara perkhidmatan seperti ini tetapi amat berkesan sehingga berjaya kini.

Para penumpang lebih berminat dengan penerbangan yang berjadual kerana ia menelan segala keraguan mengenai masa berlepas dan juga tarikhnya. Syarikat penerbangan mudah memberikan imbuhan kepada para penumpang untuk membuat tempahan awal, kerana ia membantu perencanaan yang lebih berkesan. Namun, untuk penerbangan yang berjadual, ada satu kemestian untuk menentukan pesawat itu terbang juga walaupun jumlah kerusi yang terjual tidak menguntungkan penerbangannya. Itu sebabnya peratusan kerusi yang ditempah, pada tahap purata, adalah satu kriteria penting dalam penilaian sesebuah syarikat penerbangan.

Secara keseluruhannya, industri penerbangan memang menunjukkan banyak kegagalan dan segelintir sahaja kejayaannya. Namun, ada juga pengecualiannya seperti Singapore Airlines yang menyediakan pesawat besar-besar yang menjadi lambang kemegahan negara daripada sumber keuntungan perniagaannya. Untuk negara yang kecil-kecil, kerugian selalunya diserap oleh pembayaran cukai penduduknya, lagipun ia diimbangi oleh kerancakan industri pelancongan dan pembangunan negara. Inilah yang terjadi kepada Malaysia.

Syarikat penerbangan Malaysia telah melalui satu tempoh yang malang ketika ia diswastakan, walaupun secara separa-swasta sahaja. Di waktu inilah pengendali swasta ini telah mengendalikannya laksana beliau melayan gundik simpanan dan bukan seorang isterinya. Sebuah syarikat kecilan yang mempunyai pengalaman singkat dalam penyewaan helikopter kepada syarikat minyak negara telah diberikan kuasa mengendali syarikat penerbangan negara, seolah-olah seorang anak kecil yang diberikan permainannya. Inilah kiasannya apabila syarikat itu diberi hak menguruskan syarikat penerbangan negara. Tetapi, sebuah syarikat penerbangan yang berjadual bukannya sama dengan syarikat helikopter sewaan. Akibatnya menunjukkan satu operasi yang dilaksanakan oleh pegawai pengurusan yang tidak cekap.

Syarikat kecilan helikopter itu dulu mempunyai senarai asetnya dalam bentuk seorang pengerusi syarikat yang mempunyai hubungan yang akrab dengan seorang menteri kewangan. Menteri kewangan itu menguasai segala kontrak berkaitan dengan syarikat minyak negara, dan pertalian antara syarikat minyak dengan syarikat helikopter itu memang berada di tahap yang sungguh intim.

Oleh kerana menteri kewangan menguasai syarikat penerbangan, nafsu serakah yang ada padanya mengarahkan beliau mengalihkan syarikat penerbangan itu kepada syarikat kecilan yang memberikan perkhidmatan helikopter sewa. Kewangan merupakan satu masalah kecil sahaja kerana menteri kewangan juga menguasai perbendaharaan negara, termasuk bukan sahaja Petronas, syarikat minyak negara itu, malahan juga segala perusahaan yang dimiliki oleh negara. Yang lebih penting sekali ialah segala tabung amanah dan dana pencen awam.

Pengerusi syarikat helikopter sewa itupun dilantik menjadi pengerusi sebuah syarikat penerbangan negara. Ini bererti segala perjanjian pengambilalihan syarikat penerbangan besar dibuat dengan syarikat helikopter sewa itu tadi. Setelah dilonjakkan menjadi pengerusi sebuah syarikat penerbangan, dia pun merancang dan berbincang untuk mendapatkan kontrak jangka panjang bagi perkhidmatan dalam segala jenis projek yang ada. Sebagai pengerusi syarikat helikopter sewa diapun menandatangani segala perjanjian di pihak yang lagi satu juga. Wujudlah satu suasana yang seiras dengan ‘willing-buyer-willing seller’ yakni kalau ada pembeli pasti ada penjualnya. Tidak pernah tersentuh perasaannya betapa wujudnya percanggahan kepentingan dalam situasi ini. Ironisnya semua ahli lembaga pengarah kedua-dua syarikat yang terbabit itupun tidak merasakan apa-apa. Apatah lagi menteri kewangan yang sememangnya bertanggungjawab dengan tugas-tugas menyelia kepentingan rakyat marhaen.

Tapak kemudahan kargo yang baru dan tentunya mahal-mahal harganya telah dibina di Timur Tengah dan Jerman. Kemudahan ini adalah milik syarikat helikopter sewa itu tadi dan semua itu diberikan kepada syarikat penerbangan yang besar itu untuk menyewanya. Semua itu mesti dibayar oleh syarikat penerbangan itu dan bukannya oleh syarikat helikopter untuk disewa. Terma perjanjian memanglah menyenangi kedua-dua pihak.

Menteri kewangan adalah seorang yang pendiam, yang mempunyai perwatakan yang bersahaja dan mudah mesra. Adalah amat sukar mempercayai bahawa inilah insan yang menjadi bapak kepada segala dalang di sebalik kisah konspirasi membabitkan Anwar Ibrahim. Namun, beberapa testimoni dalam dua kes mahkamah telah menyebut namanya sebagai dalang nombor satu bersama Aziz Shamsuddin dan Rahim Tamby Chik. Ramai yang takut menuduhnya kerana kekayaannya dan sikap ganasnya untuk membalas dendam.

Perjanjian niaga antara Naluri dan MAS walaupun berasaskan lakaran yang indah dan penuh gula-gula akhirnya bertukar menjadi gundah dan duka nestapa. Syarikat helikopter untuk disewa itu telah terlanggar gunung impian yang begitu tinggi disebabkan tenaga kepakaran yang haprak sekali. Syarikat penerbangan negara pula dihenjut harga minyak dan bahan bakar yang melambung naiknya dan bebanan hutang bertapuk yang disebabkan oleh insan yang tidak lain daripada menteri kewangan yang dikatakan pakar ekonomi yang sungguh bijaksana. Kesilapan beliau ialah menambat kadar matawang negara kepada satu tahap tukaran yang tidak menguntungkan untuk membayar balik hutang syarikat penerbangan itu sehingga menyulitkan kerja-kerja melunaskannya.

Seperti juga syarikat helikopter sewa itu, syarikat penerbangan negara memang ketandusan kepakaran tenaga pengurusannya. Kepincangan ini memang boleh difahami kerana mereka semua datangnya daripada acuan yang serupa. Setiap tahun bebanan hutang naik menimbun. Setiap kali hutang naik tidak pula ada tanda-tanda bagaimana perkara itu boleh menjadi baik. Pada waktu yang sama, menteri kewangan terpaksa campur tangan lagi untuk mengelakkan syarikat penerbangan itu menyembam bumi. Dia bertindak untuk mendapatkan semula saham yang disimpan oleh syarikat helikopter itu tadi. Masalahnya sekarang muncul disebabkan kadar matawang yang telah ditetapkan itu. Hutang luar negara itu memang tidak mudah dibayar balik kerana terlalu tinggi bebanannya. Pada waktu yang sama juga, kerugian yang berpanjangan disebabkan operasi yang pincang itu telah membuatkan harga saham syarikat merudum jauh ke bawah; BAIK SAHAM SYARIKAT HELIKOPTER MAHUPUN SYARIKAT PENERBANGAN. Saham syarikat sudah tidak lagi mampu digunakan sebagai kolateral (cagaran) untuk mengimbangi pinjaman bank. Tidak terbayangkan betapa besarnya kerugian yang melanda. Menteri kewangan dan juga pengerusi dua syarikat itu (orang yang sama) tidak pula sanggup menyerap segala kerugian itu secara peribadinya.

Beberapa majlis perbincangan sambil minum kopi di malam haripun dilangsungkan. Mereka mencari jalan untuk melangsaikan hutang yang bertimbun itu. Mereka mengambil keputusan agar rakyat jelata menanggung bebanan kerugian yang ada. Segala saham yang ada dibeli semula pada harga yang sama untuk mengelakkan kerugian. Dengan demikian dibuat satu keputusan menggunakan dana awam untuk mengalihkan segala saham syarikat penerbangan balik kepada kementerian kewangan. Ini bererti segala hutang yang mula-mula itu sudahpun terbayar. Strategi ini adalah bertujuan untuk menguntungkan si pemiutang asal (fikirlah siapa agaknya!) jika tidak ia akan menghadapi satu bungkal hutang yang tidak terbayar menyebabkan terpaksa ditutup Naluri dan MAS. Bahananya tentu menyebabkan kedua-dua syarikat terpaksa diisytiharkan muflis.

Untuk mengelakkan bencana ini, dana rakyat terpaksa digunakan (tanpa keizinan mereka) dan rakyat marhaen pun diberitahu bahawa kerugian hanya setakat “kerugian atas kertas sahaja”, dan “hanya masa menentukan” bila pemulihan akan wujud semula. Ramai yang mengetahui betapa syarikat penerbangan itu memang mempunyai banyak lagi kerugian yang belum dilaporkan, dan semua butiran ini sengaja disorokkan selagi proses pembelian semula saham-saham itu belum diselesaikan. Rakyat marhaen tidakpun diberitahu keadaan sebenar syarikat penerbangan itu, malahan cara pembelian semula saham MAS adalah sesuatu yang tidak masuk akal dalam keadaan semasa. Sepatutnya nilai NTA (Net Tangible Asset value) selepas suntikan dana berkisar sekitar RM1.50, berbeza dengan harga belian semula sebanyak RM8.00.

Sebagai kesannya, menteri kewangan telah terpalit oleh kecemaran bahang politik yang amat mengaibkannya. Dia telah meletakkan jawatan dengan penuh kelam yang turut membendungi kementerian kewangan. Satu proses mengaudit segala penyata perakaunan sedang berjalan kini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas betapa transaksi tertentu boleh dilaksanakan ketika era kekuasaannya. Seperti yang ditunjukkan oleh pengerusi syarikat helikopter sewa itu dulu, dia juga telah melakukan pelbagai tugas yang mempunyai unsur-unsur percanggahan kepentingan, dilihat kini sebagai satu salah guna amanah dalam mengendalikan wang rakyat dan negara. Kenyataan betapa dia menjadi orang yang paling kaya dalam negara hasil tugasannya memegang jawatan dalam kerajaan menyebabkan kemarahan rakyat semakin membuak terhadapnya.

Menteri kewangan itu telah dilucutkan semua jawatannya kecuali satu sahaja. Dia masih lagi mewakili kerusi parlimen Merbok. Perkara ini nampak pelik melainkan kisah Fauzi Rahman di Beserah dikenang semula untuk membuatnya sama menarik. UMNO sudah menjadi sebuah parti yang tidak mampu menang sebarang pilihanraya lagi. Kerana itu, menteri kewangan ini tidak boleh didakwa dulu kerana kalau dia melepaskan kerusi parlimennya, UMNO tidak akan mampu memenanginya semula.

Walaupun parti yang sedang berkuasa sering lantang dengan cakap-cakap demokrasi dan jaya diri kumpulan majoriti, ia sebenarnya tidak berani mengamalkan prinsip ini untuk diuji. Seandainya pengundi Merbok dan Beserah dibenarkan memangkah kertas undi mereka hari ini, segala keegoan UMNO bahawa ia mempunyai pengaruh yang besar akan terbukti jauh tersasar. Untuk menyekat keaiban yang lama tidak tertanggung, apatah lagi memikirkan kekalahan dan keaiban di Lunas dulu, menteri kewangan ini dibiarkan memegang terus kerusinya di Merbok. Pada waktu yang sama tuduhan Fauzi di Beserah terhadap menteri penerangan terpaksa dijawab dengan satu berita perletakan jawatan yang dituduh itu, jika tidak Beserah akan menghadapi pilihanraya kecil semula.

Nampaknya babak kelakar akan terlakar. Suasana politik yang memerlukan satu siasatan penyata perakaunan menteri kewangan itu kini menjadi satu benteng kekebalan yang melindunginya daripada segala pendedahan yang pasti akan muncul daripada proses pengauditan semua akaun kementerian itu. Hasil siasatan sudah tentu tidak akan didedahkan untuk sementara waktu, dan hanya kepincangan yang berlebihan yang akan dibocorkan untuk membakar semangat rakyat marhaen agar menteri kewangan itu didakwa.

Sebaliknya besar kemungkinannya dia akan diungkit sekali sekala, dan hanya menunggu satu masa kemudiannya kalaupun dia boleh dikenakan dakwaan secara rasminya. Dia akan dibebaskan atas jaminan mahkamah sambil pihak media dibiarkan terus memanggangnya. Kekayaannya yang sungguh lumayan itu tidak akan mampu melindunginya. Para kroni dan anak-didiknyapun tidak akan memberikan pertolongan kecemasan untuknya.

Pada waktu yang sama kemarahan rakyat jelata terhadap penahanan beberapa pemimpin pembangkang akan terus membuak. Inilah wira-wira yang berani menahan pengundi hantu yang datang berbondong-bondong untuk mengundi di pilihanraya kecil. Memang boleh difahami kenapa rakyat marhaen bertindak begitu. Segala sokongan keanak-anakan yang diberikan kepada Badawi, Mahathir dan KPN adalah bersifat penuh kepalsuan. Tindakan mereka ini memang disambut dengan penuh cemuhan dan perasaan kebencian. Mereka sudah dilihat sebagai insan yang tidak boleh dijadikan teman oleh orang yang jujur dan bertaqwa. Sesiapa juga yang dilihat memberikan sokongan terhadap mereka kerana taktik mengenakan tuduhan ISA itu akan satu hari nanti merasakan balasan geram dan dendam rakyat Malaysia seluruhnya.

Harun Rashid.

Diterjemahkan oleh SPAR-05-010

Artikel ini dibaca oleh:orang