Penyelamatan Korporat: Kepentingan Negara ataupun Kepentingan Siapa?
(Corporate Bailouts: National Interest or Vested Interest?)

Bahagian 1

Apabila tawaran awalan hari pertama (IPO: Initial Public Offerings) saham Time dotCom tidak mendapat sambutan yang baik sehingga terdedah cerita bahawa sebahagian ekuiti syarikat itu sudahpun dimiliki beberapa institusi awam, muncullah desas-desus bahawa satu lagi usaha menyelamatkan sebuah syarikat yang tersenarai di BSKL akan dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, Time dotCom adalah sebuah syarikat yang mempunyai banyak potensinya. Syarikat ini mempunyai satu jaringan talian gentian optik yang menjalar ke seluruh Semenanjung yang memberikannya segala kemungkinan untuk merangkul satu pangkalan pelanggan yang besar dalam perkhidmatan komunikasi. Dengan demikian Time dotCom akan menikmati satu peluang awalan di antara semua pesaingnya apabila generasi ketiga teknologi komunikasi selular (cellular) diperkenalkan di Malaysia. Time dotCom mempunyai keupayaan untuk menyediakan talian tetap, selular, telefon berbayar dan perkhidmatan internet. Hanya Time dotCom dan Telekom dijangkakan mampu kekal sebagai syarikat telekomunikasi berpelbagai untuk satu jangkamasa yang panjang.

Milik Awam

Kalau Time dotCom mempunyai banyak potensinya, kenapakah timbul masalah apabila KWSP dan banyak lagi institusi kerajaan membeli saham syarikat itu? Ketika IPO Time dotCom ditawarkan dulu, nilainya sebanyak 1.9 bilion ringgit itu menjadi perhatian para pengamat kerana syarikat itu terlalu sarat dengan hutang. Lagipun ia merupakan satu syarikat yang masih belum mendapat keuntungan kerana kekurangan pakar pengurusan untuk mencerna syarikat menjadi satu gergasi dalam industri telekomunikasi. Time dotCom adalah anak syarikat Time Engineering, sebuah syarikat yang tersenarai di bawah takluk Kumpulan Renong yang dikuasai oleh Halim Saad.

Time Engineering, Renong dan Halim memang terlalu sarat menanggung bebanan hutang sehingga mencetuskan banyak masalah untuk membayarnya. Renong memang berkait rapat dengan UMNO dan Halim pernah menyatakan secara lantang bahawa dia berkhidmat sebagai seorang proksi kepada aset korporat parti itu. Di sinilah berpuncanya masalah IPO kepunyaan Time dotCom: pertaliannya antara politik dan perniagaan, dan keperluan Time Engineering untuk menyenaraikan Time dotCom sebagai satu alat menguruskan bebanan hutang kumpulan yang sudah mencecah tahap krisis.

IPO kepunyaan Time dotCom merupakan kunci utama kepada Time Engineering dan struktur pemberesan hutang Time dotCom yang melibatkan pinjaman berjumlah RM5.37 bilion. Namun hanya 25 persen ekuiti syarikat telah dibeli ketika tawaran IPO itu dibuat. Ternyata harga tawaran saham Time dotCom yang ketika itu berharga RM3.30 dianggap terlalu tinggi nilainya.

Para pemegang utama saham Time dotCom kini termasuklah Time Engineering dan juga beberapa institusi yang berkaitan dengan kerajaan, seperti KWSP, Khazanah Nasional, Danaharta dan Kumpulan Wang Amanah Pencen. Para penjamin IPO telah memberikan perakuan bahawa segala ekuiti Time dotCom yang tidak dibeli akan diambil oleh institusi kerajaan. Inilah sebabnya yang utama kenapa peristiwa korporat yang besar ini dianggap sebagai satu penyelamatan (bailout) juga.

Politik Urusniaga

Apakah yang didedahkan oleh pengeluaran saham Time dotCom itu?

Pertama, ia menunjukkan bagaimana kuasa kerajaan sudah semakin berkisar kepada segelintir manusia sahaja yang merupakan satu kumpulan politikus tertentu termasuklah Perdana menteri Dr. Mahathir dan mantan Menteri Kewangan Daim Zainuddin. Dengan lain perkataan, IPO itu menyerlahkan tanggapan betapa semua bidang jentera kerajaan dan institusi awam sudah menjadi terlalu bergantung kepada tindak-tanduk pejabat ketua eksekutif negara.

Kedua, dengan wujudnya pertalian yang rapat antara politik dan urusan perniagaan, yang dipermudahkan oleh kepadatan kuasa dalam kerajaan itu, adalah menjadi satu tandatanya apakah segala dasar kerajaan dan tindakannya dilaksanakan dengan memberikan tumpuan kepada kepentingan negara.

Ketiga, kerajaan semacam tidak pernah belajar daripada pengalaman sejarah, terutama sekali mengenai pelbagai isu yang memerlukan ketulusan dan akauntabiliti (kebertanggungjawaban).

Ketika krisis kewangan 1997 melanda negara, ia menarik perhatian kepada segala hubungan antara para politikus dan para peniaga yang telah sama-sama memudahkan ketumbuhan beberapa syarikat yang besar-besar. Ketumbuhan ini telah diransang oleh penggunaan, dan dalam banyak hal, penyalahgunaan sektor kewangan dalam negara. Krisis itu mendedahkan betapa institusi kewangan yang dikuasai oleh kerajaan ataupun para peniaga yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak kerajaan telah menyalurkan pinjaman hanya kepada segelintir manusia pilihan sahaja.

Sebagai contoh, hanya 15 kumpulan korporat terlibat dengan 20 persen jumlah keseluruhan pinjaman bank. Daripada jumlah RM 39 bilion pinjaman perbankan untuk membeli saham, hampir 45 persen telah diberikan kepada orang persendirian. Renong sebagai sebuah syarikat telah menapuk hutang melebihi 5 persen daripada jumlah semua hutang dalam sistem perbankan Malaysia. Mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pernah membuat pendakwaan betapa kurang daripada 10 manusia mempunyai hutang terkumpul sekitar RM70 bilion (MasyaAllah...!!!! penterjemah)

Bank-bank yang mempunyai paling banyak hutang yang tidak berbayar adalah kebanyakannya institusi yang dimiliki oleh kerajaan, termasuklah Sime Bank dan Bank Bumiputra. Pada kali ketiga ia diselamatkan dalam sejarah kewujudannya, Bank Bumiputra memerlukan suntikan dana sebanyak RM 1.1 bilion dan pada waktu yang sama kerajaan telah mengambil alih segala hutang bertapuk yang tidak berbayar.* Sime Bank yang pada satu ketika dulu dikuasai oleh Mohd. Noor Yusof sebelum dijual kepada Sime Darby, telah diambil-alih oleh Kumpulan RHB (Rashid Hussein Berhad)

Krisis Kewangan yang Mencengkam

Apabila krisis kewangan semakin mencengkam, beberapa peniaga pilihan termasuk Halim Saad dan Tajuddin Ramli yang merupakan anak-didik Daim dan Mirzan Mahathir anak emas Perdana menteri, telah mula dihantui oleh timbunan saham yang sudah mengecut nilainya begitu rendah sekali sehinggakan memberikan mereka bebanan hutang yang menggunung tinggi.

Pada 1997, saham Renong semakin merudum hingga mencekik KWSP kerana munculnya berita pembelian saham-saham kepunyaan UEM (United Engineering Malaysia), salah satu daripada syarikat kepunyaan Renong yang paling menguntungkan. Pembabitan KWSP dengan saham UEM itu menarik minat kerana institusi ini telah digunakan secara tidak langsung untuk menyangga Renong daripada menyembah bumi.

Ekoran daripada itu, UEM yang dilumuri hutang pula terpaksa mendapatkan pinjaman sebanyak RM800 juta daripada Malayan Banking, Bank Bumiputra, Bank of Commerce dan RHB - semua ini adalah bank kepunyaan kerajaan ataupun mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan - untuk melaksanakan satu rencana membeli ekuiti Renong daripada Halim. Pembelian ini telah memeranjatkan pemegang minoriti saham UEM. Ketika itu muncul dakwaan betapa satu lagi episod penyelamatan sedang dilaksanakan sehinggakan sektor kewangan tempatan sengaja diliwat untuk kepentingan orang tertentu.

Penyelamatan dan Kepentingan Negara

Bertentangan dengan beberapa salah tafsiran, memang tidak banyak projek menyelamatkan syarikat yang tercekik itu. Namun, apabila dilaksanakan, ia membabitkan kos yang terlalu tinggi. Kebanyakan tindakan penyelamatan ini berdalilkan ‘untuk kepentingan negara’.

Proton, pengeluar kereta swasta terpaksa diambil-alih oleh Petronas daripada DRB-Hicom yang terlalu besar hutangnya, kerana pembuat kereta itu telah dijadikan sebagai pemula rencana industri berat Malaysia.

Bank Bumiputra tidak boleh dicekik tengkuknya supaya mati serta merta kerana ia merupakan asas kemajuan permodalan Bumiputra.**

Renong dianggap penting kerana ia merupakan satu kelompok syarikat Bumiputra yang bersaiz besar yang memang mahu dikembangkan oleh kerajaan.

MAS (Malaysian Airline System) sebuah syarikat penerbangan negara yang sudah tercekik kerana disengkang bebanan hutang terpaksa diselamatkan daripada kemuflisan.

Oleh kerana pembikinan Ampangan Bakun telah dimulakan sebelum bermulanya krisis kewangan negara, pemborongnya Ekran terpaksa diberikan pampasan terhadap kerja-kerja yang disiapkannya sebelum projek itu diambil alih oleh kerajaan.


….. bersambung ke Bahagian 2

Artikel ini dibaca oleh:orang