Penyelamatan Korporat: Kepentingan Negara ataupun Kepentingan Siapa?
(Corporate Bailouts: National Interest or Vested Interest?)
Bahagian 2


Kriteria Penyelamatan

Ciri-ciri pilihan ataupun kriteria untuk menentukan siapa yang sepatutnya diselamatkan adalah berdasarkan beberapa pertimbangan yang pelbagai:

Renong dan Proton diberikan keutamaan diselamatkan untuk menentukan usaha dan wawasan besar Mahathir dalam mewujudkan beberapa konglomerat Melayu dan pembangunan industri kereta buatan Malaysia, tidak terkandas.

Mungkin wujud pelbagai alasan persendirian dalam penyelamatan yang lain. Parti pembangkang menyatakan kerajaan telah mengambil-alih saham MAS pada kadar yang sengaja degelembungkan untuk menyelamatkan syarikat kepunyaan Tajuddin yang sememangnya sudah terlalu dibebani hutang bertapuk.

Terdapat pelbagai percanggahan pendapat di kalangan pemimpin politik mengenai penyelamatan itu. Tindakan kerajaan mengambil-alih segala aset korporat kepunyaan Mirzan yang dirundung hutang melalui syarikat yang tersenarai kepunyaan Petronas telah dilaporkan secara meluas sebagai punca masalah antara Perdana Menteri dengan timbalannya Anwar Ibrahim

Ketika penyelamatan itu dilaksanakan, tidak ada sesiapa yang bertanya bagaimanakah semua projek itu mula-mula diwujudkan dan apakah semua kontrak yang dianugerahkan itu pernah dibuka secara tender ataupun dengan penuh ketelusan.

Kejituan rencana industri berat negara terutama sekali projek kereta buatan Malaysia telah dipertikaikan secara meluas oleh banyak pihak termasuk oleh kabinet Mahathir sendiri. Penswastaan Ampangan Bakun pernah ditentang secara lantang dan antara bangkangan itu ialah kerana Ekran tidakpun mempunyai sebarang pengalaman dalam industri itu. Begitu juga dengan penswastaan MAS oleh Tajuddin telah dikritik dengan hebatnya kerana dia tidakpun mempunyai pengalaman dalam bidang itu.

Sebelum munculnya krisis kewangan 1997 itu, agihan berpilih beberapa projek penswastaan tanpa tender terbuka telah mencetuskan kritikan hangat menuduh sikap pilih kasih yang tidak ada ketelusan dan sifat akauntabiliti dalam pentadbiran Mahathir.

Memilih Juara

Mahathir, memang terlalu yakin dengan kepintarannya untuk memilih ‘juara’ yang dikatakannya mampu membantu beliau mencapai wawasan mewujudkan satu barisan Melayu yang berjiwa kapitalis sejagat. Kemudian dia pilih pula beberapa kapitalis di kalangan bukan Melayu.*** Francis Yeoh dan T. Ananda Krishnan sebagai contohnya telah mendapat lesen untuk membuat janakuasa bekalan tenaga elektrik dan struktur telekomunikasi walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman yang bersesuaian dengan industri tersebut. Namun mereka berdua itu berjaya menguruskan dan memajukan perusahaan mereka melalui usahasama dengan firma asing dan telah mampu mempelajari selok belok industri yang baru itu.

(Catatan Penterjemah: Sebelum bermula dengan usahawan Melayu, Mahathir sebenarnya memulakan usaha menaikkan beberapa usahawan bukan-Melayu. Contohnya ialah Abdullah Ang yang tidakpun mempunyai sebarang pengalaman selain membodek dan menyediakan ‘anak ayam’ kepada Mahathir yang masih ‘muda’ ketika itu. Terdapat juga beberapa usahawan India yang ditaja oleh Mahathir melalui Megat Joned secara pemberian lesen khas pengimportan buruh asing dan juga melalui Ayoyo Samy. Samy Vellu menjadi kaya raya melalui pengagihan saham oleh Anwar Ibrahim yang diperuntukkan khas kepada Maika Holdings. Malahan MIC mempunyai peluang niaga yang besar melalui sebuah syarikat monopoli yang mengutip tol di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan pengambilan ramai pemuda India untuk membangunkan kuil-kuil di seluruh negara. Pengundi Melayu dan Cina di Teluk Kemang tentu sudah sedar akan kesilapan mereka mengundi calon MIC baru-baru ini. Maklumat ini mungkin belum sampai lagi ke meja penulis rencana ini. Dia mungkin menerima banyak maklumat mengenai usahawan haprak Melayu sahaja. Ehek, ehek...!!!)

Tetapi, Renong tidak menunjukkan sebarang petunjuk akan hala-tuju pembangunannya. Hutang besar Renong telah terkumpul melalui satu corak ketumbuhan yang diransang oleh pengambilan beberapa syarikat dalam hampir semua bidang industri yang utama.

Mungkin juga kerajaan akan mempertahankan betapa Renong dan Halim telah digunakan untuk memberikan perkhidmatan atas nama kepentingan negara. Mengikut Asian Wall Street Journal (17 March 1999) Halim pernah diarahkan oleh kerajaan untuk mengambil-alih (membeli) sebuah syarikat yang sudah tercungap nazaknya, di Filipina yang satu ketika itu dimiliki oleh seorang ahli parlimen merangkap seorang peniaga bernama Joseph Chong. Syarikat itu ialah syarikat pengeluar besi waja yang bernama National Steel Company (NSC) of the Philippines. Pada tahap awalannya, Halim bercadang menyuntik NSC kepada Renong, tetapi tidak mampu berbuat begitu kerana bebanan hutang Renong yang telah dirobek lebih teruk lagi oleh krisis kewangan.

Halim mungkin telah diarahkan mengambil-alih NSC kerana Mahathir mempunyai nafsu besar mahukan Renong berkembang di luar negara untuk menjadi lebih besar lagi. Tetapi, apakah Renong sudah bersedia untuk tugas besar seperti itu? Apakah ‘viabiliti’ usaha itu telah dikaji sedalam-dalamnya memandangkan fiasko yang dihidapi oleh Perwaja Steel di Kemaman mengikut jalan sedih yang serupa?

Apabila disingkap cara pengambilan NSC itu yang dilaksanakan melalui sebuah syarikat yang didaftarkan di Hongkong, (syarikat itu bernama Hottick), dan segala bebanan hutang yang muncul tergolek dalam proses pembelian itu, semakin jelas kini apa yang disebut sebagai ‘kepentingan negara’ itu adalah satu alasan mudah untuk menutup malu apa yang sebenarnya bersifat satu kesilapan yang sungguh besar. Untuk mengambil alih NSC, Hottick terpaksa mencari pinjaman, yang tidak berasaskan sebarang kolateral ataupun cagaran. Pinjaman itu datanganya daripada Malayan Banking, dan Bank Bumiputra yang dikuasai oleh kerajaan, RHB Bank dan Bank of Commerce.

Walaupun Renong mempunyai hutang bertapuk yang menggunung, kerajaan telah melaksanakan pula satu penyatuan Bank of Commerce dan Bank Bumiputra yang memberikan Renong satu agihan saham yang besar dalam bank yang baru dicantumkan itu. Tindakan ini terus mengejutkan rakyat kerana takutkan kemungkinan berlakunya tindakan salahguna dalam institusi perbankan yang lebih besar itu. Pada waktu yang sama hutang tidak berbayar Hottick berjumlah 3 bilion ringgit telah diambil-alih oleh agensi kerajaan yang bernama Danaharta.

Soalan-soalan Cepumas

Banyak lagi persoalan yang boleh dikemukakan dalam kisah penyelamatan atas nama ‘kepentingan negara’ itu.

Apakah pentingnya mewujudkan sebuah syarikat sebesar Renong semata-mata untuk dijadikan lambang keupayaan pembangunan permodalan Melayu, terutama sekali apabila terdedah betapa syarikat swasta ini tidakpun menjadi lambang kepentingan semua Bumiputra? Siapakah yang bertanggungjawab keseluruhannya kepada corak ketumbuhan Renong yang semakin membesar masalah hutangnnya? Apakah patut semua institusi awam dan yang dimiliki oleh negara digunakan untuk menyelamatkan Renong?

Kenapakah Renong tidak digalakkan mengurangkan bebanan hutangnya dengan menjual beberapa anak syarikat yang masih memberikan keuntungan, terutama sekali syarikat yang tidak sealiran dengan urusan utamanya? Bukankah ini memberi peluang kepada Renong untuk lebih mampat dalam tumpuan niaganya?

Banyak konglomerat di Asia seperti Samsung di Korea, C.P Group di Thailand, dan First Pacific di Hong Kong telah dipaksa melucutkan beberapa aset utamanya untuk mengurangkan bebanan hutang dan membolehkan kerja-kerja pemulihan dan melangsingkan operasinya.

Niat Mahathir mungkin merupakan sesuatu yang mulia apabila dia memilih beberapa konsesi kerajaan untuk memajukan permodalan tempatan. Tetapi cara beliau memilih calon juara itu sudah menghimpit negara ke bibir kemuflisan.

Semua ini tentu tidak akan terjadi seandainya proses pemilihan itu dilaksanakan secara telus (dan bersih cekap dan amanah – penterjemah ) dan berasaskan kriteria selain daripada hubungan politik dan keakraban persendirian. Kepentingan politik dan persendirian dalam usahasama korporat itu ternyata sudah menghalang kerajaan dalam usahanya melaksanakan reformasi pengkorporatan yang sememangnya amat diperlukan itu.


Dr. Terence Gomez ialah seorang ‘political economist’ di Universiti Malaya.

Diterjemahkan oleh SPAR-03-019

Artikel ini dibaca oleh:orang