Mahathir  - Politik Kesyaitanan Yang  Menjijikkan
(Mahathir -  Satanic Politics At Its Worst)

Semakin  terserlah kini  bagaimana Mahathir  yang  merupakan seorang   pemimpin  zalim yang  dibenci oleh  rakyat  marhaen masih  cuba meronta-ronta memperkasakan   cengkamannya    terhadap  kuasa  yang masih lagi  ada di tangannya.   Belum pernah  lagi  dalam  sejarah politik  Malaysia  moden, seorang pemimpin   menunjukkan sikapnya  yang  rakus  untuk  terus berkuasa  dengan masa pinjamannya. Rakyat marhaen Malaysia  memerhatikan dengan penuh kejelekan  bagaimana diktator ini terus  memutarbelitkan  segala isu  songsang  dan pelbagai peristiwa  yang    sengaja diada-adakan  sedangkan  semua itu  adalah  satu penipuan dan  pembohongan  untuk menyorokkan segala dosanya. Kehangatan politik terus mencanak selari dengan segala  kehampaan  seorang  penzalim yang  terus terdesak.  Kini dia terus  dihantui  ketakutan  memikirkan  segala   deraan yang perlu  dialaminya  kerana  kerja-kerja  menimbun korupsi yang  semakin  membebani  pemikirannya. Kemusnahan Mahathir  yang  sungguh bersejarah itu  sudah  semakin  menghampiri ambang  kenyataannya   walaupun  dia  terus  tergagap-gagap  mencuba   bertipu helah dan merencana pergerakannya sambil  terus  mendedahkan  segala kejijikan  yang mempercepatkan kejatuhannya.

Kedegilan Mahathir Menghancurkan UMNO – BN

Kerana terlalu  degil melepaskan kuasa yang  dirangkulnya melalui segala tipu helah  ketika    pilihanraya umum, si  penyangak ini  sudah pun  diserang  satu penyakit yang pelik yang disebabkan oleh  tabiatnya  sendiri yang  semacam sudah  meracuni  pemikirannya,  menyebabkan  beliau  bertindak  dengan  berbuat  silap  secara  berurutan, menanggung dosa  secara berjuraian, berbohong    tanpa  henti  dan  terus  berusaha  untuk  menipu  dan  mengugut  rakyat  marhaen lagi  dengan   menyalahgunakan  kuasa polis,  media dan  badan kehakiman  yang tidak pun  memberikan hasil yang diharapkan.   Kelentongan  politik  beliau  sudah  semakin kehilangan  bisanya,  haprak dan tidak berguna.  Rakyat  marhaen sudah  semakin lali  kepada  “sandiwara” beliau  sehinggakan  beliau  sudah  menampakkan  unsur-unsur akan  dikejangi serangan  angin  ahmar.  Gelagat penyangak  Mahathir sudah  membuatkan  rakan  komponen  gagasan BN semakin meloya   dan mual.   MCA kini  sudah  pun  terbelah hingga  ke tulang  sumsumnya.  Ahli-ahli MIC sudah  semakin bingung  dan keliru  kerana tidak lagi  mampu  memahami  kewajaran  gelagat Mahathir yang  semakin kalut  itu.  Penyelidikan  rambang mendedahkan semakin  ramai warga  India  yang  semakin  faham  bahawa Mahathir  adalah  punca segala  masalah  yang melanda negara. Mereka juga  faham  bahawa Malaysia akan  menjadi  negara “pariah”   seandainya  sampah  yang  sudah  pupus  tarikh  tempoh gunanya  tidak  dihumban ke  dalam  penunuan  pembakaran sampah (incinerator).  UMNO/BN sudah  semakin bankrap  dan ketandusan  idea dan maruah diri.  Mereka sudah menjadi terlalu taksub   sehingga  sanggup  membuang masa  cuba  meyakinkan  rakyat Malaysia agar mempercayai  bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang penjenayah,  sedangkan rakyat  marhaen sedar  dan faham  bahawa  semua  itu  adalah  pembohongan yang  dirancang oleh  Mahathir.   UMNO/BN sudah tidak ada pilihan  melainkan mengnyahkan  Mahathir  seandainya parti  itu   mahu  terus bernafas lega.

Kenyataan  “politik” Polis Diangggap  sebagai  sebahagian  “Pembohongan  Mahathir”.

Rencana pembohongan   polis  bermula dengan  pembabitan beberapa  orang  penagih  dadah  yang dipaksa  dan diupah  untuk  mengaku  kepada  satu kenyataan  palsu dalam satu  kes  rogol yang  membabitkan  Rahim  Tamby  Chik.   Sejak itu  sebarang kenyataan  polis  yang  ada  kaitannya  dengan  dunia  politik  UMNO/BN  memang boleh  dipertikaikan.  Kenyataan  polis  seperti   tuduhan  jenayah Anwar Ibrahim,  akuan paksaan   oleh  Munawar Anees,  cabutan  kenyataan  palsu  Sukma, pembohongan Azizan di mahkamah,  isu  menuduh  Anwar  mempunyai  tiga bilion  dollar,  Sandiwara  Al  Ma'unah,  bom dan pelancar roket  Ezam dan hubungannya  dengan kumpulan   gerila pemisah,  dan yang terkini  ialah  pembabitan  kumpulan  fanatik yang  membunuh  Joe  Fernandez adalah  merupakan  satu  siri   pembohongan  yang sengaja  direka cipta menjadi  konspirasi, plot  dan skim  pembohongan   oleh  Mahathir.  Dia  melakukan segala kerja  penipuan  yang  sungguh  menjijikkan  kerana  penyangak ini  mahu  menunggukan masa  sambil mengharapkan  satu  ruang  yang bersesuaian    untuk membolehkannya  memperbaiki  martabat dan air-mukanya. Kerana kebenaran  sudah tidak  lagi menjadi  pedomannya,  segala usaha yang  dilaksanakan oleh  satu kumpulan mafia   pilihan  Mahathir itu  yang dianggotai  oleh  beberapa  ahli  politikus  yang korup,  kroni yang dibantu oleh  anggota  polis  yang  diupah, dan dibantu oleh  segelintir  hakim yang  rakus  dan  rasuah, hanya  akan  mendedahkan  segala kerja-kerja bajingan Mahathir  yang  sudah  pun  ditakdirkan     berada  di ambang  kehancurannya.

Mengaitkan  pembunuhan  Joe  Fernandez dengan  kumpulan  ekstrimis  Islam  yang  sengaja  diada-adakan bertujuan   mencetus   perpecahan  antara  ahli beragama Islam dengan  yang bukan Islam dalam Barisan  Alternatif

Seseorang  pengamat yang waras akan berupaya  memahami  kerja-kerja penyangak  yang  merencana  Episod Al- Ma'unah  di Gerik menjadi  satu  sandiwara  dan  mengaitkannya  pula  kepada  kematian Joe  Fernandez.  Yang terbunuh  dengan kejam  di dalam sandiwara  Gerik (Bukit  Jenalik) itu   ialah  seorang  yang  beragama Kristian,  dan seorang yang beragama  Hindu.  Dua kematian itu  dituduh  dilakukan  oleh  kumpulan ekstrimis  Al  Ma'unah. Demikianlah  gambarannya.  Tetapi, kenapakah   orang  Islam  membunuh  seorang Kristian  dan  seorang  Hindu,  merupakan  satu misteri  yang  amat jelas  motifnya.  Ia adalah  bertujuan  mencetuskan permusuhan antara  PAS  dan  masyarakat bukan Islam.  Kini, satu kumpulan  perompak  dan  pembunuh  yang semuanya  dikatakan   daripada  kumpulan ekstrimis Islam  didapati bertanggungjawab  dengan pembunuhan  Joe Fernandez, kerana Joe Fernandez dikatakan  giat berdakwah   mengembangkan ajaran Kristian di  kalangan orang  Islam.  Jelas, inilah  satu lagi sandiwara  untuk  mencetuskan  perasaan  benci antara PAS  dan orang  bukan Islam,  sebagai satu motif politik  untuk memecah-belahkan  semangat setiakawan di kalangan  pelbagai  kaum  dan  agama  yang  berpayung  di  bawah   panji-panji  Barisan Alternatif.

Putar belit  politik  Mahathir  sudah  kehilangan bisanya.  Dia cuba memainkan  semula   segala putar belit lama  yang semua rakyat Malaysia  sudah lama faham. Kematian  Joe Fernandez tidak ada kena  mengena dengan  kumpulan ekstrimis Islam.  Pihak polis dikerah  untuk  membuat kenyataan itu  untuk  menyenangkan UMNO  yang amat  berharap  orang  bukan Islam akan keluar  dan   mencemuh  PAS.  Mengikut cerita sebenarnya,  ramai pemimpin tertinggi MIC yang sudah  sedar kemungkinan berlakunya  pembunuhan di kalangan pucuk  pimpinan MIC. Kerana itu kematian Joe  Fernandez adalah  satu  berita yang tidak mengejutkan mereka.  Lagipun  Joe  sudah dilihat sebagai satu ancaman politik kepada Samy  Vellu.   Joe memang aktif sebagai   jerung–ceti  haram. Dia  memberikan pinjaman  kepada  pihak  yang mahukannya di kalangan  masyarakat miskin  di  Lunas.  Para  pengutip  hutangnya  bersikap  ganas laksana  samseng  sambil menghisap  darah  melalui   wang pinjaman yang  disediakan  oleh  Joe. Di samping itu  Joe kerap   memuaskan nafsu  syahwatnya  terhadap  gadis-gadis sunti   di kalangan masyarakat India.  Pihak polis boleh  mencuba kelentong  lagi  kepada orang  yang  tidak  tahu-menahu,  tetapi  perkara ini  akhirnya  akan  terbentang juga  dengan  segala   kebenarannya.

Keadilan   Melonjak  Apabila  Rakyat  Semakin Dahagakan  Politik Yang Bersih.

Di mana sahaja kita  berpergian, semakin ramai  orang yang menunjukkan minat kepada lambang  Keadilan (cedilla). Masyarakat  India dan  Cina sudah melihatkan  adanya  cahaya harapan dalam Keadilan dan masa depan Malaysia.  Semakin ramai rakyat marhaen yang sedar bahawa Mahathir  adalah akar umbi segala masalah   yang melanda negara. Mereka  sudah akur  bahawa  Mahathir  bersama para kroni, pakpacak, suku-sakat  yang sentiasa lapar  dan rakus  serta korup  itu  adalah penyebab krisis  politik,  kepincangan  ekonomi  dan  kegoyahan  suasana harmoni negara. Rakyat Malaysia  mahu  melihat  kepupusan BN dan kemunculan satu budaya  politik yang baru, yang  tidak lagi  dinodai   oleh  amalan  korupsi persis amalan UMNO/BN.     Hari demi  hari,  semakin ramai  orang yang  menganggotai Keadilan  dan  semakin banyak cawangan  parti itu  yang  diwujudkan  sehingga  meluaskan  lagi  jaringan  sokongan akar  umbinya. ISA  telah membuatkan KEADILAN  menjadi  lebih  terkenal dan  diminati, para pemimpinnya  semakin  mendapat    penghormatan tinggi  menjadikan parti  itu sebuah   wacana  untuk satu  perjuangan  tulen yang   menegakkan  kebenaran  dan keadilan.

Rakyat  Malaysia Yang Sudah  Jemu  Dengan  Mahathir

Daripada setiap  ceruk  rantau  Malaysia  ini  sudah semakin lantang suara  menyumpah  Mahathir  sebagai   seorang ahli  politik  yang  kecundang,  yang terlalu  zalim  dan terlalu  taksub untuk  mencengkam kuasa  dan  mengumpul  harta.   Malahan di  Gua Musang,  masyarakat Cina pernah  berdemo  terhadap   Mahathir  kerana  marahkan ISA. Setiap  pertanda menunjukkan  betapa kuasa  politik   Mahathir  sudah lingkup  dan dia hanya  menunggu  masa  untuk  ditangkap  kerana korupsi dan segala jenayah  yang  dilakukannya. Mahathir  sudah  menjadi satu lambang   kezaliman,  penghayatan kerja-kerja rasuah,  dan penonjolan watak  kebencian dan kekejaman. Dia semakin terjerumus ke dalam  jurang  pengaiban  yang berkekalan,  dan akan dikenang sebagai  seorang manusia  berhati  syaitan yang  pernah  memerintah dengan segala kezaliman yang tidak ada tolok bandingnya  lagi.

Masanya  sudah  pun  tiba.  Kalau mahu mencanai  besi waja  memanglah  sesuai  ketika  ia  merah  menyala.  Mahathir sudah  semakin lemah  dan  semua pertanda  menunjukkan  kuasanya  yang  semakin   terhakis.  Sahabat  yang  dipercayainya  dulu  sudah  semakin  ramai yang menyisihkannya.  Dia sudah  semakin terpencil sehinggakan  tidak ada peluang  untuk  kembali  terampil  Dia mesti dinyahkan untuk  menyelamatkan Malaysia  daripada  segala tempias   kebajingannya.

Spirit-Of-Truth

Diterjemahkan oleh  SPAR  06

   Artikel ini dibaca oleh:orang