MITOS DAN REALITI DALAM PERPADUAN MELAYU

Perpaduan Melayu yang menghubungkaitkan Umno dan Pas sudah hampir sepi dan tidak kedengaran lagi hinggalah ke malam tadi dalam satu rancangan khas Muhamad Taib dan Mohammad Rahmat membincangkannya melalui rangkaian TV Umno sebelum hal ehwal Islam yang kian terhakis keIslamannya. Apa relevannya perpaduan itu diperhangat kembali setelah ia basi berkali-kali, seolah ia adalah suatu yang tidak mungkin berlaku? Apa yang dapat dilihat tentunya tokoh-tokoh veteran Umno itu menyalahkan Pas sehingga pertemuan Perpaduan Melayu itu gagal sehingga kini.

Untuk apa Umno mencanangkan perpaduan kalau mereka sendiri tidak berpadu. Apakah mereka cuba menyambung jangka hayat Umno yang kian nazak itu dengan nafas dan semangat Perpaduan Melayu. Orang Umno  patut sedar bahawa laungan perpaduan yang disuarakan oleh pemimpin mereka hanyalah satu angan-angan yang tidak berpijak di bumi nyata. Pada hakikatnya merekalah penaja perpecahan. Umno memecahbelahkan orang Melayu dengan menganaktirikan ahli-ahli parti pembangkang dalam setiap projek yang mereka bangunkan. Mereka memberi subsidi kepada orang Umno sahaja, tidak kepada orang Pas, Keadilan dan sebagainya. Mereka membuka kelas kemas hanya untuk anak-anak orang Umno sahaja. Mereka memberikan bantuan terhadap orang yang tidak berupaya, tetapi mestilah orang yang menyokong dasar kerajaan. Semua tender dan projek-projek pembangunan di kampung-kampung hanya diperolehi oleh orang-orang Umno juga. Tentu mereka sedar orang yang berada di luar Umno adalah orang Melayu juga. Mereka juga perlu dibantu, perlu diberikan projek. Tetapi sebaliknya mereka seolah-olah memusuhi orang-orang yang bukan UMNO, walaupun mereka adalah orang Melayu. Mereka tidak memberikan wang royalti minyak kepada rakyat Terengganu, sedangkan rakyat Terengganu itu kebanyakannya adalah orang Melayu juga. Jadi apalah maknanya laungan perpaduan oleh para pemimpin Umno terhadap orang Melayu, sedangkan dalam masa yang sama mereka memusuhi orang-orang Melayu yang tidak sealiran pemikiran dengan mereka. Apakah maknanya laungan perpaduan itu, kalau tidak ia hanyalah satu mitos sahaja. Yang sebenarnya mereka hanyalah ingin mengaut keuntungan-keuntungan politik dari seruan itu dan kemudian memperhambakan orang-orang Melayu itu sendiri walau pun mereka setia kepada Umno.

Hari  ini orang Melayu yang setia dengan Umno diperlakukan sebagai hamba dan budak suruhan sahaja oleh para pemimpin Umno. Mereka  digula-gulakan semata-mata untuk mempertahankan kedudukan politik mereka. Apabila sudah tidak diperlukan, orang-orang itu akan dihumban ke penjara seperti apa yang sedang dialami oleh DS Anwar, atau akan dilupakan begitu sahaja seperti yang banyak terjadi ke atas veteran Umno. Cuba kita fikirkan apa yang terjadi kepada Harun Idris, yang pernah berjasa kepada orang Melayu dan negara ini. Apa yang berlaku  kepada Suhaimi Kamarudin, bekas Ketua Pemuda Umno yang tewas di tangan DS Anwar? Apa pula yang berlaku kepada Aziz Ishak dan ramai lagi tokoh Umno ibarat kain buruk yang dibuat pengelap lantai dan kemudian dibuang ke dalam bakul sampah. Inilah budaya orang-orang Umno.

Laungan perpaduan hanyalah mitos buat penyedap telinga, sekadar untuk meraih sokongan, dan apabila menang, mereka akan menghilang sehinggalah pemilihan berikutnya. Itulah Umno dulu, kini dan selamanya yang dipimpin oleh seorang diktator tua yang nyawanya sudah di hujung senja tetapi masih ingin berlagak untuk berkuasa seolah akan hidup seribu tahun lagi. Inilah mamak tongkang yang telah memperkuda orang-orang Melayu untuk kepentingan diri sendiri dan  beranak-anaknya. Orang-orang Melayu sewajibnya menyingkirkan sahaja diktator tua ini yang seolah-olah kini menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara ini.

Sebenarnya apa sahaja seruan yang mengajak kepada perpaduan seperti yang dilaungkan oleh Umno itu tidaklah akan sampai ke mana-mana. Kerana seruan itu adalah seruan palsu belaka. Apa sahaja seruan yang bukan berasaskan akidah umat ini adalah palsu belaka. Walau pun ia adalah atas nama Melayu, atas nama kebangsaan, ekonomi, sosialis dan apa sahaja bentuknya adalah batil belaka. Lihat sahaja apa yang berlaku dalam Umno itu sendiri. Mereka mengajak kita kepada perpaduan tetapi mereka sendiri bercakaran. Paling terbaru Mahathir bercakaran dengan Daim. Fauzi Abd Rahman bercakaran dengan Khalil. Pendek kata mereka semua hanyalah bersatu pada zahirnya sahaja, tetapi kita akan melihat  sebenarnya hati mereka berpecah belah penuh kedengkian antara satu sama lain. Inikah orang yang kita harapkan untuk memimpin negara ini?.  Orang-orang Umno patut sedar akan perpaduan yang batil ini. Semuanya ini sudah dijelaskan oleh Allah dalam kitab sucinya AlQuran. Hanya yang perlu ditanya, kita beriman atau tidak!

Sedangkan di tengah hiruk pikuk itu agama kita mengajak kita bersatu bukan sahaja secara lahir, secara berpertubuhan,  berorganisasi dan sebagainya, tetapi kita juga diajak bersatu dan berpadu sehingga ke hati sanubari, bersatu dalam pemikiran, bersatu dalam tujuan dan matlamat, bahkan bersatu dalam segala-galanya. Inilah konsep perpaduan yang paling bernilai yang tidak ada pada mana-mana ajaran. Inilah yang telah menyatukan umat Arab suatu ketika dahulu yang memang terkenal hidup berpuak-puak dan berkabilah-kabilah. Kenapakah konsep perpaduan yang murni dan universal ini tidak di ketengahkan oleh para pemimpin Umno ketika mengajak orang-orang Melayu bersatu? “Dan ingatlah nikmatku ke atas kamu ketika kamu saling bermusuh-musuhan, maka kami jinakkan hati-hati kamu dan kami jadikan kamu bersaudara..(Ali Imran).” Demikianlah AlQuran menyeru kita kepada satu konsep perpaduan yang bukan sahaja secara lahir, bahkan juga hati-hati kita pun bersatu. Itulah keunggulan Islam, yang sayangnya tidak dipedulikan oleh orang-orang Umno. Inilah waqi’ atau realiti yang kita hadapi pada hari ini. Sepatutnya orang Melayu sudah lama meninggalkan Umno yang telah menjadikan mereka hamba dan hidup dalam ketakutan dan kembalilah kepada Islam sebagai cara hidup yang paling sempurna yang pernah dikenal oleh sejarah di dunia ini. Wallahu ‘aklam.

 

AlKundangi,
7.6.2001

Nota webmaster: Benarlah kata penulis. Inilah hakikat yang kita mahu semua rakyat tahu. Menyeru ke arah perpaduan adalah canangan UMNO sendiri. Hakikatnya apa yang mereka kata itu tidak benar kerana apa sahaja perbuatan mereka adalah berlawanan sama sekali. Umpama kata orang sekarang, cakap tak serupa bikin. Falsafah ini sinonim dengan perjuangan UMNO. Tidak boleh dinafikan hakikatnya ia berlaku samada di peringkat pimpinan tertinggi mereka, sehinggalah ke cawangan UMNO akat akar umbi. Walau berkali-kali kita cuba memahami apakah maksud mereka tentang 'laungan perpaduan' itu. Hakikatnya UMNO tidak berpegang kepada kata-kata mereka. Ringkasnya untuk menyahut seruan UMNO ini hanya membuang masa kita sahaja. Eloklah kita mufarakah dengan  insan munafik dan berpura-pura. Kini kepuraan mereka membelit diri mereka sendiri ~ webmaster       

Artikel ini dibaca oleh:orang