Siapa Calun BA di Likas, Sabah?"

Untuk meramalkan calun BN pada pilihanraya kecil Likas, mungkin tidak begitu sukar. Pada firasat penulis Datuk Yong Teck Lee adalah senarai teratas dalam sifir politik BN. Kerana beliau adalah penyandang sebelum kemenangannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Datuk Yong juga disenangi oleh pengundi di kawasan Likas, lagipun beliau merupakan Presiden SAPP, tidak mungkin dia akan diganti oleh calun lain. Kalau calun lain, mungkin BN boleh berputih mata.

Sementara itu, kita belum nampak gambaran siapa calun BA bakal diletakkan bagi menentang Datuk Yong (BN). Ada kemungkinan calun PBS yang menentang Datuk Yong dulu dicalonkan semula iaitu Dr Chong Eng Leong. Kerana pada pilihanraya lalu saingan sengit hanya datang dari calun PBS dan Bersekutu yang mencalunkan Datuk Harris Salleh (Bekas KM Sabah di zaman Berjaya/BN dulu). Calun-calun lain ketika itu tidak begitu bertenaga.

Kemenangan BN dulu bukanlah kerana faktor kekuatan dan kewibawaan mereka. Tetapi lebih kepada liciknya mereka mengeksploit sebarang isu, penggunaan jentera kerajaan yang melampau, politik wang/sogokan, pengundi hantu dari warga asing dan peribadi calun yang sudah berpengaruh. Kali ini, sekiranya SPR dapat membersihkan daftar pemilih dari unsur-unsur tidak baik kepada undang-undang negeri/negara seperti pengundi warga asing, pengundi hantu dan lain-lain dibuang. Kita yakin pengundian kali ini akan lebih bersih. Sekiranya ini dapat dilakukan oleh SPR sebagai badan bebas, kita dan seluruh rakyat Malaysia akan lebih menghormati wibawa SPR itu.

Kita masih sukar untuk meramalkan apakah BA Sabah dan PBS boleh berkompromi bagi menghadapi BN, supaya pertandingan hanya berlaku secara satu lawan satu. Kepada BA penyertaan mereka dalam pilihanraya ini cukup penting, kerana melalui kempen pilihanraya BA boleh menyedarkan rakyat terbanyak, sekalipun dalam keadaan terbatas. Namun, sekurang-kurangnya mesej politik BA sudah sampai dan difahami rakyat. Walaupun, kawasan DUN Likas terletak di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, tetapi pemikiran pengundi dan rakyat di sini tidaklah seperti pengundi di bandaraya Kuala Lumpur atau bandar-bandar utama di Semenanjung yang jauh lebih terbuka dan ke hadapan. Mereka berani membuat perubahan tanpa takut kepada apa jua ugutan oleh parti yang memerintah.

Situasi ini sebenarnya menuntut kepada BA Sabah agar mengambil peluang ini dengan menyertai pilihanraya kecil ini, sama ada meletakkan calun sendiri atau membantu calun PBS. Pakatan seperti ini teramat pentingnya kepada parti-parti pembangkang di Sabah. Pengalaman BA di Semenanjung teramat baik untuk diaplikasikan di Sabah sebagai satu strategi politik baru Sabah bagi menghadapi pilihanraya umum negeri yang dijangkakan pada tahun 2003 atau selewat-lewatnya 2004 nanti.

Penyertaan BA Sabah dalam pilihanraya kecil Likas bukan semata-mata hendak merebut kerusi, tetapi paling penting suara rakyat dapat digemakan di DUN Sabah, parti pembangkang teramat penting dalam mana-mana negeri/negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat Sabah sudah banyak kali tertipu oleh ahli-ahli politik berbudaya "katak" di Sabah. Andai benar mereka pembela rakyat, kenapa tiba-tiba prinsip itu hilang ketika menghadapi tekanan politik pemerintah dan desakan kepentingan kebendaan semata-mata. Lalu keluarlah kata-kata bahawa tindakan itu atas nama kepentingan rakyat.

Akhirnya, rakyat mengharapkan bakal calun BA Sabah dan PBS dalam pilihanraya kecil ini, biarlah mereka yang berwibawa, berkemampuan, berjiwa rakyat, adil, telus, jujur dan amanah. Kekayaan kebendaan semata-mata belum tentu penentu seorang itu jujur, baik dan amanah, apatah lagi sekiranya mereka itu kaki rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

Sekian, insya-Allah selepas ini penulis akan cuba mencari maklumat baru sebagai renungan kita bersama dan sekaligus memilih wakil rakyat baru dari parti BA atau PBS.

Ibn Sabah,
10.6.2001M

Artikel ini dibaca oleh:orang