Martin Jalleh
Surat Terbuka Kepada Rais Yatim


Saudara,

(Maafkan saya kerana menggugurkan gelaran ‘Dr.’ -- saya merasakan selesa bertindak begitu sejak anda bertindak mengenepikan hasil kerja tulisan anda yang termasyhur “Freedom under Executive Power in Malaysia: a Study of Executive Supremacy.”)

Alangkah peliknya Rais, -- kata-kata yang pernah anda gunakan satu ketika dulu untuk menggambarkan satu “masyarakat yang tidak kritis” di Malaysia, begitu amat bertepatan sekali mengenai anda hari ini.

Sememangnya -- “suasana ketenangan dan sikap menaungi itu begitu membingungkan” seperti yang anda pamerkan masa kini, “ dalam menyetujui gelagat berlebihan si Penguasa.”

“Seolah-olah” anda telah “hilang pegangan ... hak-hak asasi dalam sebuah negara yang membanggakan dirinya sebagai mengamalkan demokrasi dan menonjol dalam menyuarakan suara kebebasan antara negara Dunia Ketiga.”

“Sudah tidak ada lagi tentangan daripada (anda)” -- berbanding dengan “rakyat Malaysia” yang pernah anda tarik perhatian mereka kepada --mereka yang anda katakan, mempunyai “kelemahan untuk memahami dan menghargai hukum undang-undang,” masih ingatkah anda lagi?

Percayalah Rais, ramai antara kami memang mengerti apakah yang sedang anda lalui. Malahan, buku anda itu telah membantu ramai yang menyelami betapa Ketuanan Penguasa itu telah “membebaskan’ anda daripada segala belenggu yang merantai kepercayaan politik dan akademik anda.

Sayang, apabila ketuanan penguasa itu telah mencengkam anda, ia sudah tidak menjadi satu kehairanan lagi untuk mendengarkan suara anda yang mengatakan betapa pendapat bertulis yang pernah anda pertahankan itu hanya merupakan satu “latihan akademik” dan “seseorang itu tidak semestinya dirantai oleh prestasi akademiknya sehingga akhir hayatnya. “

Mungkin itu merupakan satu “latihan akademik” kepada anda, buku itu memberikan kami peluang menyelami beberapa dalil untuk memahami tanggapan berbeza anda yang terkini.

“Hanya ada satu penjelasan kepada perkara ini: budaya takut yang sudah mencengkam.”

Tentu sekali ia menakutkan, Rais -- kerana seandainya anda berpegang teguh kepada pendirian anda, anda menanggung risiko apa yang pernah anda sebut sebagai “hidup yang menyeronokkan”, “peluang perniagaan” dan “malahan peluang bertugas” dan sudah tentu sekali peluang untuk menjadi Menteri undang-undang (de facto) di jabatan Perdana menteri .. atau mungkin juga Ketua Hakim Negara satu hari nanti?? (anda terpaksa menyaingi Tan Sri Mohtar Abdullah terlebih dulu)

Mungkin wujud juga “perasaan takut akan munculnya tindakan penguasa” yang telah anda tulis begitu ketara sekali, sehingga kami selalu menyedarinya -- yang terbaru ialah mangsa “ISA” di Kamunting.

Bagaimana agaknya keseronokan menjadi sebahagian warga Malaysia yang pernah anda kesalkan begitu ghairah dulu kala ---mereka yang “enggan akur dalam banyak perkara....”?

Anda memang benar ketika menulisnya: “Seandainya seseorang mahu memimpin, dia mestilah menganggotai kumpulan elit yang memerintah” dan oleh kerana anda sudah pun menjadi sebahagian kumpulan Ketuanan Penguasa itu - yang “kezalimannya’’ merangsang anda mendapatkan doktorat, (masih ingatkah anda?) -- tentu sekali anda boleh, dalam perkataan anda sendiri, hanya “melihat, mendengar dan akur.”

Anda sudah terlampau berlagak laksana seorang PM kebelakangan ini—orang yang pernah anda kecam dan cemuh, dalam setiap helaian buku setebal 426 muka surat yang anda sifatkan satu “latihan akademik” itu.

Anda seolah-olah menyetujui gelagat Penguasa dalam “mempunyai kuasa berlebihan ke atas kebebasan individu dan sengaja memperlekehkan Suhakam dan badan kehakiman , begitu sahaja.

Memang bertepatan sekali pengisytiharan anda betapa.. “tidak ada satu pun dalam sistem pendidikan negara ini yang menggalakkan penghayatan hukum undang-undang ataupun kepentingan hak asasi manusia untuk mempertikaikan kuasa pihak yang berkuasa akan hal-hal yang menyangkuti kehidupan mereka.”

“Setidak-tidaknya di tahap universiti ada juga keperluan pihak pelajar mempelajari tentang hukum undang-undang secara konsep dan amalannya.”

Apabila mereka menjadi sebahagian penguasa itu satu hari nanti, mereka bolehlah, dengan meneliti contoh kerja anda, mengenepikan apa yang pernah mereka hayati itu dan turut juga mengisytiharkannya sebagai satu “latihan akademik” juga.

Mereka yang pernah anda tujukan dedikasi penulisan buku itu --“mereka yang pernah merana azab sengsara kesan kezaliman dan salah guna Penguasa”-- masih menunggu-nunggu autobiografi anda yang sepatutnya diberikan jodol: “Yang Membelenggu Kuasa Penguasa: Satu Kajian Akademik dan Kepalsuan Berpolitik.”

Sebagai penutupnya biarlah saya rakamkan, betapa pintarnya anda dalam memberikan sumbangan kepada “cara mengimbau dengan selamba masa dulu-dulu” sambil memberikan penekanan kepada hukum undang-undang itu.

Martin Jalleh (10 Jun, 2001)

Diterjemahkan oleh:
Qalam Kencana

Artikel ini dibaca oleh:orang