BA Sabah dan PBS Mesti Bersatu Tenaga

DUN Likas yang terletak dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu merupakan kawasan strategik pembangunan, padat penduduk yang majmuk dan boleh dikatakan kawasan intelek. Dan menjadi kawasan subur setinggan warga asing/PTI. Malah susah bagi kita hendak membeza antara penduduk tempatan atau warga asing. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru berkunjung ke Kota Kinabalu. Melainkan dari tutur kata mereka yang pelat bukan bahasa orang Sabah. Pelat bahasa warga asing dari Filipina berbeza dengan pelat bahasa warga asing Indonesia. Kalau warga asing dari Pakistan mudah untuk dikenali dari segi rupa mereka pun sudah kita tahu.

Secara tidak langsung Likas berdekatan pusat bandar raya Kota Kinabalu itu, adalah umpama pusat segala bangsa. Kepada BA Sabah dan PBS untuk menghadapi pilihanraya kecil Likas, setakat ini belum ada sebarang kenyataan baik gambaran ataupun spekulasi bakal calun parti pembangkang di Sabah. Ada kemungkinan calun PBS dikekal dan juga calun PAS yang bertanding dalam pilihanraya umum negeri 1999 dulu turut dinamakan. Sekiranya dua calun tersebut diletakkan semula. Ini sudah satu kemenangan moral kepada calun BN, kerana mereka akan mengeksploit isu ketidakbersatunya parti-parti pembangkang di Sabah.

Oleh itu, BA Sabah dan PBS hendaklah mencari jalan bagaimana cara untuk memadukan sokongan rakyat supaya tidak terbahagi kepada sampai dua tiga calun parti pembangkang. Dan sokongan rakyat bersatu untuk memenangkan calun pembangkang sama ada dari gabungan parti BA Sabah atau parti PBS sahaja. Di sini kepimpinan BA Sabah dan PBS diminta dapat merealisasikan pengalaman BA pusat melawan BN di tiga pilihanraya kecil di Semenanjung terutama pengalaman BA menang melalui calun parti Keadilan di Lunas dulu, cukup menarik untuk diguna pakai dalam pilihanraya kecil Likas.

Untuk itu, BA Sabah dan PBS tidak boleh bertanding secara masing-masing, sekiranya parti-parti pembangkang di Sabah benar-benar inginkan perubahan politik di masa akan datang pada tahun 2004 nanti. Pengalaman pilihanraya umum lalu, banyak merugikan parti-parti pembangkang di Sabah, perpecahan undi di beberapa kawasan sangat ketara. Pada hal, sekiranya kita congak dari keputusan pilihanraya umum lalu parti-parti pembangkang seperti PBS dan Bersekutu apabila dikumpulkan undi kedua-dua parti itu dalam beberapa kerusi yang mereka sertai adalah melebihi atau majoriti dari calun-calun BN yang memenangi kerusi, terutama di kawasan pantai Timur Sabah.

Jadi pengalaman yang merugikan ini tidak boleh diulangi dalam mana-mana pilihanraya. Kepimpinan BA Sabah dan PBS perlu anjakan satu pemikiran baru dan budaya politik baru. Isu-isu sempit dan kepentingan kepartian sempit hendaklah diketepikan dengan mengutamakan perkara lebih besar dan utama seperti kepentingan rakyat, demokrasi, keadilan, kesaksamaan dan kerajaan yang baik. Inilah nilai-nilai besar yang kita boleh bersatu tenaga ke arah menjadi parti alternatif kepada BN hari ini yang sudah hari ke hari kehilangan wibawa, pengaruh dan kekuatan.

Kepada BN mereka mungkin tidak begitu gusar untuk mempertahankan kerusi DUN Likas. Ketua Pemuda UMNO sudahpun membuat kenyataannya di Pulau Pinang, pemuda BN di Sabah perlu menghantar mesej kepada rakyat bahawa kedudukan BN masih kukuh dan utuh di Likas. TPM Pak Lah Badwi berkata, "kadang kala ada juga perubahan tetapi bagi pilihanraya kecil (DUN) Likas, saya rasa tidak ada perubahan kerana kita tidak mahu ada tukar ganti". (Sabah Times, 11.6.2001, m.s. 3). PM pula berkata, urusan daftar pemilih perlu dikaji semula bagi menentukan pilihanraya dapat dijalankan secara adil.

Ini bererti BN sudah membayangkan SAPP adalah parti yang akan mewakili BN dalam pilihanraya kecil kali ini. Walaupun, kenyataan ketiga-tiga pimpinan BN pusat itu berlainan maksudnya. Mereka masih tetap dengan nada angkuh, besar dan tiada tandingan. Rakyat Sabah, terutama pengundi di Likas bijak-bijaklah anda memilih pemimpin, pemimpin berwatak kaya raya belum tentu membahagiakan rakyatnya. Pemimpin berkuasa belum pasti boleh membahagiakan rakyat dipimpinnya, sekiranya hati, jiwa dan akal mereka mati, tiada perasaan tawadhuk, taqwa dan rendah diri. Tetapi pemimpin berhati mulia, berjiwa pejuang, tahan diuji, amanah, telus dan jujur itulah ciri pemimpin yang akan membawa rakyatnya kuat, maju, berjaya dan bahagia.

Sekian, marilah kita sama-sama berusaha menyedarkan rakyat Sabah dan khususnya pengundi Likas warga negara Malaysia yang sebenarnya mengundi calun BA atau PBS nanti, sebagai satu protes bijak rakyat terhadap kerajaan BN yang korup, nepotisme dan banyak salah guna kuasa.

Ibn Sabah,
11.6.2001

Jumlah pembaca: orang