Kepincangan SPR Nampak Sudah...

Pada pilihanraya umum negeri 1999 yang lalu seorang rakan membisikkan kepada saya beberapa cerita tentang kisah semasa berjalannya hari mengundi. Katanya beberapa buah bas telah mengangkut warga asing dan PTI atau pengundi hantu untuk dikirim ke beberapa kawasan mengundi untuk memberi undi kepada calun-calun BN. Seorang lagi rakan menceritakan bagaimana seorang berbangsa Pakistan turut mengundi di tempat dia mengundi. Dan seorang rakan wartawan sambilan Berita Sabah dirampas kamera dan segulung filemnya, mungkin tali barut BN setelah mengambil gambar para pengundi yang disyaki pengundi hantu di DUN Kawang kawasan yang diwakili oleh bekas Ketua Menteri Sabah DSP Osu Haji Sukam.

Apabila pada hari Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah membatalkan kerusi DUN N13 Likas yang dimenangi calun BN dari parti SAPP, atas sebab wujudnya pengundi tidak berdaftar dalam daftar pemilih bagi kawasan Likas, warga asing/PTI menjadi pengundi atau "pengundi hantu" ikut serta mengundi. Situasi itu, telah dengan sendirinya menelanjangkan dan menampakkan lagi kepincangan SPR sebagai sebuah badan bebas yang sepatutnya tidak bersekongkol dengan apa-apa jua agenda parti-parti politik. Apa lagi untuk bertindak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya hatta parti pemerintah sekalipun.

Adalah tidak salah bagi rakyat untuk meragui wibawa SPR, lantaran sikap talam dua muka mereka atau bertindak seperti lidah bercabang dalam mengendalikan perjalanan pilihanraya terutama pilihanraya umum negeri Sabah tahun 1999 lalu. Bukti nyata ialah kes DUN Likas yang dibatalkan oleh mahkamah. SPR seperti tidak mengindahkan bantahan-bantahan tentang wujudnya pengundi warga asing dan pengundi hantu. SPR langsung tidak tergerak hati untuk menyiasat dan mengeluarkan nama-nama pengundi hantu yang tersenarai dalam daftar pemilih kawasan tersebut, walaupun bantahan telah dibuat sebelum pilihanraya itu berlangsung.

Sikap ini, menampakkan SPR sudah tidak bebas lagi. Apa yang jelas suara-suara rakyat ada yang mengatakan SPR diperkudakan oleh parti pemerintah khususnya UMNO/BN di Sabah. Kebijaksanaan sudah tidak diambil kira. Undang-undang seperti tidak dihormati lagi dan merajalelanya pencabulan undang-undang atas nama konspirasi halus dan terancang bersama UMNO/BN di Sabah, selain syubhat JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) oleh segelintir pegawai berkepentingan.

Bermakna kewujudan pengundi hantu atau warga asing/PTI sebagai pengundi berdaftar adalah kerja-kerja parti politik khususnya UMNO/BN di Sabah yang didalangi oleh beberapa kerat orang yang tidak bertanggungjawab, tidak patriotik dan mereka yang sudah hilang rasa jati diri bangsa. Jaringan kerjasama yang halus dan cukup terancang ini yang melibatkan banyak pihak dan tangan-tangan dibalik tabir itu, akhir kepada gerak kerja ini adalah SPR.

Sebagai rakyat Malaysia di Sabah yang bermaruah, ada jati diri bangsa, berdaulat dan merdeka. Tindakan dan kerja memasukkan atau membolehkan warga asing/PTI menjadi pengundi berdaftar secara tidak sah dan diluar peraturan dan undang-undang, adalah satu kerja jenayah, satu pencabulan undang-undang negara ini dan satu pencabulan atau perkosaan ke atas kedaulatan rakyat, negeri dan negara.

Maka dengan ini, kita meminta kepada SPR, JPN dan lain-lain yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja SPR supaya lebih telus, jujur, bertanggungjawab serta beramanah. Cintailah negara Malaysia sebuah negara berdaulat dan merdeka. SPR hendaklah bertaubat dan tidak lagi akan bersekongkol dengan kerja-kerja jenayah yang boleh mengancam kedaulatan dan keselamatan rakyat, negeri dan negara Malaysia yang majmuk dan yang kita cinta ini. Bersikap profesionallah demi untuk memelihara keluhuran undang-undang serta amalan sistem demokrasi di Malaysia. Dan kita juga meminta agar SPR mempastikan tidak akan wujud lagi pengundi hantu atau warga asing/PTI yang dibenarkan mengundi. Pastikan hanya rakyat warga negara ini sahaja yang layak mengundi dan memilih pemimpin dan wakil rakyat, BUKANnya warga asing/PTI yang diberikan IC projek atau palsu.

Marilah kita selamatkan Malaysia, selamatkan rakyat dan masyarakat majmuk Malaysia dengan mendaulatkan undang-undang dan perlembagaan negara.

Sekian, akan datang penulis akan cuba mengulas kenapa boleh terjadi, sepatutnya tidak terjadi, bahawa warga asing/PTI boleh menjadi pengundi dalam pilihanraya di Malaysia dan memilih wakil rakyat, siapa yang melakukan angkara jahat lagi berbahaya ini.

Ibn Sabah,   
12.6.2001M

Jumlah pembaca:orang