Asal BerIC Biru Mereka Adalah Warganegara?

Penulis memetik satu kenyataan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abdul Ghani Rashid ekoran isu penempatan penduduk Pulau Gaya yang masih diragui apakah mereka benar-benar warganegara ke Kg Boronuon, Telipok. Banyak pihak mempertikaikan penempatan itu, dari kalangan orang-orang politik, pegawai kerajaan, cendekiawan, sampailah kepada rakyat biasa dan terutamanya penduduk di Telipok, Sabah. Berkatalah Datuk Bandar, kalau mereka ada kad pengenalan biru, mereka warganegaralah.

Kenyataan serupa ini, ibarat lepas cakap untuk menutup kritikan pelbagai pihak dan rakyat Sabah. Pada semua orang tahu, termasuk Datuk Bandar, bahawa di Sabah pemegang kad pengenalan biru dan bunga raya banyak kejadian dan dijumpai terutama dikalangan warga asing dan PTI di Sabah adalah KAD PENGENALAN PALSU atau KAD PENGENALAN YANG DICURI dan sebagainya.

Isu kad pengenalan palsu inilah yang menjadi isu besar di mana warga asing/PTI dengan mudah menjadi pengundi dan mendapat pelbagai peluang seperti rakyat warganegara. Kerana itu, para pemimpin politik, pegawai tinggi/kanan kerajaan, pejabat kerajaan, majikan, pengusaha, para peniaga, sekolah, hospital, bank-bank dan sebagainya, supaya lebih berhati-hati terhadap pembawa kad pengenalan biru tetapi mereka itu adalah warga asing/PTI yang bekerja di Sabah berdasarkan tutur kata atau pelat bahasa mereka atau warna kulit dan sebagainya.

Akhirnya, kita meminta, bahkan mengharap supaya kerajaan melalui JPN lebih serius menangani maslah pemalsuan kad pengenalan di kalangan warga asing/PTI tidak berulang. Sebelum ia menjadi kronik atau barah dalam sistem pentadbiran kita, isu kad pengenalan palsu semestinya diselesaikan secara undang-undang. Belas ihsan dan perikemanusiaan itupun ada had dan batasnya. Apakah mereka yang menipu dan melakukan pemalsuan dokumen warganegara Malaysia yang boleh mengancam kedaulatan dan keselamatan rakyat, negeri dan negara ini boleh diihsani tanpa satu penilaian dan pemerhatian teliti terhadap sikap, tingkah laku dan penghormatan kepada undang-undang negara. Apakah kita boleh hormat kepada sesiapa yang tidak pernah hormat kepada undang-undang dan peraturan serta budaya Malaysia.

Dan mari kita pastikan bahawa kata-kata pemimpin besar sekalipun, apabila kenyataan mereka itu bercanggah dengan undang-undang atau peraturan. Maka undang-undang lebih patut dibenarkan, bukan kata-kata pemimpin yang salah itu benar.

Sekian, katakanlah bahawa undang-undang tidak boleh di atasi oleh sesiapa, maknanya tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang hatta Raja dan PM sekalipun.

Ibn Sabah,   
12.6.2001M

Jumlah pembaca:orang