SAA Gesa Bagi Siasatan Penuh
 

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Persatuan Peguam Bela Sarawak (SAA) menggesa bagi siasatan penuh terhadap kenyataan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Kamil Awang bahawa beliau telah menerima arahan untuk menolak petisyen pilihan raya Likas tanpa dibicarakan.

Presiden SAA Frank Tang hari ini berkata bahawa persatuan itu memandang berat akan kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Kamil dalam penghakimannya semasa membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Likas Jumaat lepas.

Perbicaraan petisyen bagi mengetepikan pemilihan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee itu bermula pada 27 Sept, 1999.

"Persatuan menggesa pihak berkuasa relevan supaya mengkaji perkara itu dan tindakan yang sesuai perlu diambil jika keputusan siasatan itu mengkehendakinya sedemikian," katanya dalam satu kenyataan di sini.

-- BERNAMA

Jumlah pembaca:orang