BN Sabah Bincang Pilihan Raya Kecil DUN Likas Khamis

KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) negeri akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan isu berkaitan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Likas.

Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat yang juga pengerusi BN negeri berkata mesyuarat itu akan diadakan pada pukul 4 petang di ibu pejabat BN di Putatan dekat sini.

"Kami akan membincangkan apa yang perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu," katanya dalam sidang berita di sini Selasa.

Minggu lepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan keputusan pilihan raya DUN Likas pada pilihan raya Mac 1999 batal dan tidak sah atas alasan terdapat pengundi bukan warga negara dan pengundi hantu.

Dalam pilihan raya 1999 itu, bekas ketua menteri Datuk Yong Teck Lee mengekalkan kerusi itu bagi BN dengan majoriti 4,962 undi.

Beliau mengalahkan calon Parti Bersatu Sabah Dr Chong Eng Leong, calon Parti Bersekutu Datuk Harris Salleh dan tiga calon lain -- -- Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (Pas) dan Saudin Kadis (bebas).

Berdasarkan daftar pemilih yang terbaru, terdapat sebanyak 26,727 pemilih berdaftar bagi kawasan tersebut.

Ditanya sama ada beliau telah menemui Peguam Besar Negeri bagi mendapatkan pandangan beliau, Chong berkata petisyen pilihan raya itu tidak ada kena mengena dengan pejabat peguam besar negeri.

"Itulah sebabnya saya agak keliru..ini (petisyen pilihan raya) adalah perkara yang membabitkan calon-calon yang bertanding.

Jika adapun melibatkan Peguam Besar, ia membabitkan calon yang berjaya ketika itu (Yong) boleh dimaafkan dari kesalahan yang dilakukan dan dibenarkan untuk bertanding semula," katanya.

"Sebagaimana yang anda ketahui Yong tidak melakukan sebarang rasuah, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan menurut mahkamah," katanya.

Chong berkata kesalahan Yong hanyalah teknikal seperti memasang papan tanda tanpa nama penerbit dan pencetak, walaupun teknikal tetapi masih satu kesalahan.

-- BERNAMA

Jumlah pembaca: orang