SPR Umum Tarikh Pilihan Raya Kecil Likas Hari Ini
 


Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman (tiga dari kanan) menjawab soalan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Putrajaya, dekat Kuala Lumpur, Rabu. Turut hadir timbalannya Datuk Abdullah Zawawi Mohamad (dua dari kanan), setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar (dua dari kiri) serta dua anggota SPR, Datuk Abang Roseli Abang Paleng (kanan) dan Yeow Hock Siew (kiri).

 
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengumumkan esok (hari ini) tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas di Sabah, kata Pengerusi SPR Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman Rabu.


"Kami akan mengumumkan tarikhnya esok," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di sini.

 

Beliau berkata pengumuman itu tidak dapat dibuat hari ini kerana masih ada hal-hal teknikal yang belum diselesaikan.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat lepas mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Likas sebagai batal dan tidak sah atas alasan terdapat pengundi bukan warga negara dan pengundi yang tidak wujud.

Dalam pilihan raya negeri Mac 1999, bekas ketua menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee mengekalkan kerusi itu bagi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,962 undi.

Beliau mengalahkan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong, calon Parti Bersekutu Datuk Harris Salleh dan tiga calon lain -- Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (PAS) dan Saudin Kadis (bebas).

Berdasarkan daftar pemilih terbaru, terdapat 26,727 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Likas.

Ketua Menteri Sabah Datuk Chong Kah Kiat berkata BN Sabah akan bermesyuarat di Kota Kinabalu esok bagi membincangkan isu berkaitan pilihan raya kecil itu.

-- BERNAMA