Pengajaran Besar Dari Likas, Sabah...

Pembatalan kemenangan BN di Likas oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu, atas kebijaksanaan seorang Yang Arif Hakim yang meletakkan pertimbangan keadilan dan kebenaran. Tanpa memihak kepada sesiapa jua. Merupakan satu sejarah besar dalam dunia politik Malaysia dan sekaligus menjadikan sistem kehakiman Malaysia seolah-olah bernafas kembali, setelah setengah mati ditimbus lumpur-lumpur kezaliman yang dikuasai oleh kuasa misteri.

Likas menjadi bualan para politikus, pengamal undang-undang, profesional, pegawai kerajaan, swasta, peniaga sehinggalah rakyat marhaen pun turut bercakap mengenai Likas. Tetapi orang politik hanya melihat khususnya pemimpin parti kerajaan, siapa akan menjadi calun untuk mempertahankan kerusi DUN Likas itu, apa strategi kempen, berapa RM hendak ditabur, apa pula sogokan kali ini untuk menarik undi rakyat. Begitu juga parti pembangkang di Sabah, sudah tentu akan berusaha keras bagi menawan kerusi DUN Likas. Seterusnya rakyat atau pengundi Likas yang selama ini sudah terbiasa disogok kebendaan setiap kali pilihanraya oleh BN. Mereka pasti akan menagih semua itu. Kalau tidak, tidak mustahil mereka akan memboikot calun BN, kerana minda, akal dan hidup mereka selamanya sudah dibentuk sebegitu rupa oleh parti pemerintah UMNO/SAPP/UPKO/LDP/BN.

Semua kita, termasuk orang politik dan rakyat biasa TIDAK nampak pengajaran besar, mesej besar dan iktibar besar dari kes Likas itu. Pada hal sebenarnya Likas menghantar mesej, pengajaran dan pengiktibaran besar lagi sangat berguna kepada pemimpin politik, khususnya parti yang menguasai kerajaan, pembangkang, SPR, JPN, Imegresyen, pegawai kerajaan dan kepada seluruh rakyat dan warga negara Malaysia. BAHAWA SEBENARNYA SISTEM PEMERINTAHAN KERAJAAN MALAYSIA YANG DIKUASAI OLEH UMNO SEBAGAI PARTI TUNJANG KEPADA BN ADALAH SEBUAH KERAJAAN PINCANG, TIDAK BERWIBAWA, KERAJAAN YANG BANYAK MENCABULI UNDANG-UNDANG, LEBIH BANYAK MENJAGA KEPENTINGAN KRONI, SUKU SAKAT, TAUKE DAN BANYAK PENYELEWENGAN KETARA, RASUAH, SALAH GUNA KUASA, ZALIM DAN TAKUT DIKRITIK OLEH RAKYATNYA YANG SEDAR TENTANG KEPINCANGAN ITU.

MESEJ dan PENGAJARAN BESAR dari kes pembatalan kemenangan calun SAPP/BN di Likas, ialah:   Pertama: Pemimpin UMNO/BN dan sekutunya dari bawah hingga ke puncak sedarlah, bahawa undang-undang tidak boleh dipijak-pijak oleh orang besar yang berkuasa demi untuk mendapatkan kuasa politik.   Kedua: Jangan hanya kerana untuk merebut kuasa politik atau mengekalkan kuasa yang ada. Parti pemerintah yang berkuasa khususnya UMNO/BN di Sabah sanggup melakukan apa saja termasuk berkonspirasi memalsukan kad pengenalan untuk diberikan kepada warga asing/PTI asal boleh mengundi bagi memenangkan calun mereka. Sekalipun kerja mereka itu mengancam keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara ini.

Ketiga: Kepada SPR, JPN, Imegresyen dan juga Polis terutama para pegawai/staffnya, SEDARLAH jangan sekali-kali kita bersekongkol atau bersubahat, apa lagi untuk diperkudakan oleh parti politik yang jelas sudah hilang semangat patriotik dan jati diri bangsa Malaysia.

Keempat: Sedarlah kita bahawa dalam sistem demokrasi setiap parti berhak untuk menang, memerintah secara sah apabila mereka dipilih oleh majoriti rakyat warga negara Malaysia. Kita tidak perlu kepada pengundi import atau pengundi warga asing/PTI atau pengundi hantu bagi maksud menang dalam satu-satu kerusi. Kita mesti berpegang kepada undang-undang negara ini.

Kelima: Sedari akan bahaya memberikan hak warga asing/PTI mengundi untuk memilih pemimpin/wakil rakyat sangat besar risikonya pada masa akan datang. Pasti akan bertimbun-timbun lagi keluarga warga asing/PTI yang telah diberi oleh kerajaan UMNO/BN kad pengenalan secara pintu belakang atau tidak mengikut undang-undang itu.

Keenam: Kes atau kejadian pengundi hantu, warga asing/PTI dan seumpamanya yang berlaku di DUN Likas itu, sepatutnya tidak akan merebak ke kawasan lain. Walaupun, pada hakikatnya banyak lagi kawasan DUN di Sabah yang juga menggunakan dan menghadapi masalah pengundi hantu/warga asing/PTI semasa pilihanraya umum lalu.

Akhirnya, kepada rakyat Malaysia di Sabah marilah kita pegangan prinsip memelihara keluhuran undang-undang, jangan benarkan warga asing/PTI/pengundi hantu mengundi di mana-mana pilihanraya. Pastikan kita bersatu membuat bantahan kepada SPR sekiranya terdapat dalam senarai pemilih SPR yang meragukan. Marilah kita bebaskan sistem demokrasi Malaysia dari elemen-elemen yang tidak sihat itu. Sedarkan keluarga, rakan, sahabat, jiran dan rakyat Malaysia yang majmuk ini ke arah menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya.

Sekian.

Ibn Sabah,
13.6.2001M

Jumlah pembaca: