1,001  Malam  di Malaysia
(1,001 Malaysian Nights)

Oleh:  Anil Netto


Pada satu malam  September  20,1998, ketika mantan timbalan perdana menteri  Anwar  Ibrahim sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan penyokong di rumah kediamannya sendiri,  anggota polis yang mengenakan  topeng berski   dan bersenjata semi-automatik telah memecah masuk  rumahnya  untuk menariknya  pergi. Bermulalah   perubahan  dalam arus aliran politik Malaysia yang tidak ada  patah-baliknya  lagi.

Kini,  1,000  malam  akan  mengingati peristiwa itu kembali, bertepatan  pada   16 Jun nanti. Akan  terimbau  hari  kenangan di tahun  1998  ketika Anwar  memimpin puluhan  ribu  rakyat marhaen  Malaysia   melangkahkan  tapak di tengah-tengah  ibukota sambil  melaungkan  kata keramat  “Reformasi”  berkali-kali  dan  “Mahathir-Undur” bertubi-tubi.

Secara kasarnya  tidak banyak yang berubah sejak hari yang sungguh bersejarah, walaupun  Anwar  ditangkap juga  akhirnya.  Kini, beliau  menahan kesakitan  tulang belakang yang terselisih dan ‘cervical spondylosis” yang amat pedih. Dengan  penyakit yang menghambat nafasnya itu, dia terpenjara  untuk  15 tahun  lamanya.  Insan yang pernah satu ketika dulu  dianggapnya  sebagai seorang guru tetapi kini  sudah bertukar menjadi seteru, Mahathir Mohamad, yang sudah pun menjangkau 76 tahun usianya, sudah menghampiri ambang ke-20 tahun memegang tampuk kuasa, namun belum menunjukkan keinginan untuk bersara.

Namun,  di sebalik  dasar suasana  akan terserlah satu pergolakan  yang semakin terdedah – dalam politik,  media, masyarakat,  malahan dalam badan kehakimannya. Dalam  setiap detik pergolakan semua  itu  terkait  juga  haruman  nama  insan yang satu  ketika dulu dianggap menjadi pewaris  takhta peninggalan  Mahathir, walaupun 32 bulan sudah pun berlalu  dia dianiayai dan   tersorok  di sebuah kamar berjeriji besi, menghalangnya     bertentangan mata dengan  sesiapa yang  mahu berinteraksi.

Semakin  ketara  kini,  wawasan Mahathir mahukan sebuah negara  yang berstatus maju  pada 2020,  yang pernah  memacu harapan dan keghairahan negara, sudah semakin nampak lompong.  Pada suku  pertama  tahun  ini sahaja, ekonomi negara hanya mampu  membangun setakat  3.2 persen  sahaja,   jauh  sekali  bezanya  dengan  capaian  8.3  persen  yang dijangkaui tahun yang lalu. Selain kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat yang dikatakan penyebab utama kejatuhan itu,  ada  satu kesedaran betapa  keyakinan   politik sudah  lama menghilang. Kini, wawasan 2020 seorang diktator tua sudah tidak lagi diminati orang.

Pada 1 Jun,  kawan Mahathir yang  paling akrab, dan sungguh berkuasa  dan kaya raya, Daim Zainuddin  melepaskan jawatannya  sebagai Menteri Kewangan  negara, sebelum berlangsungnya  persidangan tahunan  UMNO  pada 21 Jun nanti. Ketika berkuasa, Daim bukannya  popular sangat di banyak tempat dan beliau kerap dihantui  kritikan hebat  kerana  urusan niaga yang dahsyat-dahsyat.  Apatah lagi  dengan pelbagai  usaha penyelamatan  terhadap  syarikat  anak-didik dan  para  kroni  yang tidak disenangi.  Ramai pengamat yang berkata pengunduran Daim akan mendinginkan  segala kritikan hangat yang   mungkin  dicetuskan  di  hari perdebatan.

Prospek ketumbuhan semakin  malap, Mahathir  masih  mencuba merangkul  kuasa  dengan menahan 10  aktivis reformasi  pada April lalu  dengan penggunaan   ISA yang paling zalim    itu. Empat  antara mereka sudah  pun dikeluarkan   daripada penjara.

Kemarahan  rakyat  semakin meluap  tetapi  disebarkan  melalui ruangan siber  menyebabkan kerajaan semakin  kecut  sehingga memikirkan  perlu mengekangnya. Sejak  penyingkiran Anwar  itu, Internet telah  memainkan  peranan yang paling  jitu menyemarakkan  gerakan  reformasi  walaupun  halangan dan hambatan semakin  diketatkan  setiap  hari.   Di hari  kebelakangan ini contohnya,  Laman Reformasi  yang satu ketika dulu  merupakan  laman terkemuka pergerakan reformasi telah digodam untuk  kedua kali. Kali ini  ada diselitkan  pesanan  yang  berunsurkan  pro-Mahathir  pula.

Akhbar-siber bebas, Malaysiakini,  masih  lagi dikerumuni setiap hari.  Namun, kebebasan media  percetakan semakin tertambat apabila dua akhbar harian Cina  akan  diambil alih  oleh  MCA, yang merupakan parti politik yang nombor   dua  terbesarnya  dalam  gagasan  parti  yang   memerintah negara. Akan  tetapi, dalam beberapa hari  selepas  itu  tertubuhlah satu Perikatan  Penulis Bebas  yang mengandungi  lebih  dari  90  orang    penyumbang  yang menghentikan  sumbangan mereka kepada  dua  akhbar harian itu. Dalam masa  dua minggu  selepas pengambilalihan  itu, tiga laman  web  yang  bebas dan  menggunakan Bahasa Cina sebagai  pengantarnya  dilahirkan dan  memulakan  peranannya.

Pengambilan akhbar  Cina oleh  MCA itu  telah  menggegarkannya  kerana ada pihak penentang yang  mahukan  mesyuarat tergempar parti diadakan untuk menyekat  pembeliannya.  Pada masa yang lalu, MCA  telah  memainkan  peranan  utama  dalam  menarik majoriti undi Cina memangkah  calon  BN. Seandainya  masyarakat Cina yang merupakan  25  persen undi  yang  ada  seluruh  negara  berpecah belah,  ia akan memberi musibah kepada Mahathir, lebih-lebih  lagi  apabila  sokongan Melayu  terhadap  UMNO  sudah  jauh  tersasar  sejak  Anwar    diusir keluar.

Sememangnya, pada pemilu  1999,  parti pembangkang  terutama PAS dan Keadilan  yang dipimpin oleh  isteri  Anwar, Wan Azizah  telah  mendapat  laluan yang baik  menembus  pengkalan  tradisi sokongan Melayu. Satu  barisan pembangkang yang baru  sangat  menjalin  ikatannya kini  mampu  mengaum lantang   menyanggah  barisan yang memerintah pada pemilu  yang dijangkakan pada  2004 nanti.

Pencetus  kecemasan orang Melayu  ialah  mata lebam  yang  dialami oleh Anwar  ketika dalam tahanan untuk  siasatan,  sehingga membuatkan  rakyat  marah  terhadap undang-undang yang  zalim.  Ketua  Polis Negara yang membaham mata Anwar, Rahim Nor  terpaksa melepaskan jawatannya  dan baru sahaja dibebaskan daripada  penjara  atas hukuman  selama dua  bulan.  Dia diberikan  potongan  satu pertiga  kerana berkelakuan baik dalam tahanan dan dibebaskan  pada  Sabtu  lalu.

Pergerakan anti-ISA  dan anti-ambil alih-media sebagai  contohnya,  melambangkan  satu bentuk kebangkitan rakyat marhaen  dalam era  reformasi.  Walaupun  sebahagian  besar  masyarakat masih  apatetik,  keresahan di kalangan masyarakat Melayu  dan Cina  akan  menghantui  pentadbiran  Mahathir sehingga tercungap dibuatnya.

Igauan  ini  menjadi hebat lagi  apabila  badan  kehakiman  tiba-tiba  bertindak  keluar  daripada  kepompong  yang  menjerut martabatnya  selepas  tersingkirnya  ketua  hakim  negara  yang  sungguh berwibawa  ketika itu, pada  1988  dulu. Penyingkiran Tun Salleh Abas  secara  aibnya  dan  diikuti oleh  pengguguran lima  Hakim Mahkamah Tinggi yang  bersatu cuba  membantunya menyebabkan badan kehakiman itu menjadi  satu badan yang  kehilangan martabatnya.  Akibatnya    ia  terjerumus ke kancah  kehinaan  yang  penuh kebajingan  yang tidak mudah  dimuliakan semula dengan mudahnya.

Akan tetapi  dalam jangka masa  beberapa  minggu  yang  terbaru, para  hakim telah  menaikkan kening  manusia  dengan tindakan  berani mereka. Yang paling  terbaru   terserlah  Jumaat  yang  lalu  apabila seorang hakim di Sabah  membatalkan  keputusan  kerusi DUN  Likas  yang dimenangi oleh BN  berasaskan  daftar pengundi yang tidak  sah.  Daftar  itu  dikatakan  telah  dipenuhi  oleh  nama    bukan warga  Malaysia  dan juga  pengundi hantu.   Tindakan  hakim itu  mengegarkan keseluruhan  proses pengundian  di  Malaysia.  Akan  tetapi  gegaran  yang  lebih  hebat  meledak apabila  hakim  Muhammad  Kamil Awang,  menyatakan bahawa dia telah menerima panggilan telefon  menggesa  beliau  membatalkan kes itu  tanpa  perlu  didengar dulu – satu  pendedahan  yang  menggoncangkan  masyarakat guaman hingga  mencetuskan  taufan kontroversi. Kemudian,  dia  menyebut  pula  bahawa  manusia  yang  menelefon pada  pertengahan 1999 dulu  mengarahkannya  membatalkan  petisyen  itu merupakan ketuanya  dalam  badan kehakiman.

Apabila  setiap  hakim mencetuskan  perilaku  membetulkan sesuatu, bersemaraklah  harapan besar  di  merata negara,  walaupun  hanya  segelintir  yang  menaruh  harapan  akan berlakunya  perubahan.  Sesungguhnya,  Mahathir  terus  mencengkam kuasa  di  Putrajaya,  yang merupakan  pusat  pentadbiran  negara,  sedangkan negara  yang  dizaliminya  sudah  pun  berubah  tanpa  berpatah balik  lagi.

Adalah  semakin  sukar untuk  menudung  keresahan rakyat. Mungkin  itulah  bahananya  yang dicetuskan  walaupun secara kecilan  oleh tindakan  memenjarakan seorang  insan di Sungai  Buluh. Walaupun dia terpenjara di kamar  kecil,   pengaruhnya  yang besar  tidak pernah  terpencil  untuk  melakar suasana  politik  tanahair seperti  yang telah mengalir  1,000 hari  lamanya.


Anil Netto
Rabu  13 Jun, 2001.

Diterjemahkan oleh: SPAR 03.

Jumlah pembaca:orang