Dua Belas Tahun Yang Tunggang-langgang

(Twelve  Years  Overturned In  A Day)

oleh:   Harun Rashid  2001-06-14.


Undang-undang Inggeris adalah hasil  sejarah  tamaddun yang  menjelajahi ribuan tahun yang  panjang. Sepanjang musim itu  keluhuran  undang-undang  dapat  dicerna  untuk berlaku adil kepada  semua   yang  berdepan  dengannya. Kebanyakan peraturan  dan  panduan telah  difikir masak-masak. Kemunculan  sesuatu  peristiwa  baru  adalah amat  sukar  akan berlaku. Seandainya terserlah  ketidakadilan,  undang-undang itu akan menyorot  ke belakang  untuk  memantau  semula  kesilapan lama  yang mungkin  telah  terjadi.

Peristiwa begitu  terjadi  di  Amerika Syarikat, apabila seorang  hakim  memutuskan agar setiap  anggota polis  yang  menangkap seseorang  itu  diperlukan dulu  membacakan  dengan lantangnya  hak  orang yang ditahannya itu  untuk  menghubungi  peguamnya dan dia tidak perlu  menjawab  soalan  polis itu    sebagai balasan ( kerana jawapan itu boleh  digunakan  sebagai  bukti  di mahkamah nanti). Hak  diam membisu  merupakan hak  keramat  yang  dimuliakan.

Peraturan ini  dianggap penting  untuk  membetulkan  kezaliman polis yang berleluasa  satu  ketika dulu  dalam  mencari  bukti  untuk mengenakan orang yang  tertuduh. Polis  didapati  terlalu  ghairah  dalam kaedah  soal-siasat  mereka, menyebabkan banyak  pengakuan yang  ditarik-balik akhirnya. Pihak  pembela  kerap mengaku   di mahkamah  terbuka betapa pengakuannya itu  adalah  palsu  kerana     terdesak, diugut  dan  dizalimi.

Ketika  peraturan  itu mula-mula diperkenalkan,  mahkamah  telah  dihantui  masalah   terpaksa  melepaskan  penjenayah  yang  sudah  dikenakan  hukuman. Ini  melibatkan  ribuan  pihak  pembela. Masyarakat tidak mahu  melihat mereka  yang didapati bersalah dan  dihukum  untuk  satu tempoh  yang lama dibebaskan  berasaskan  kesilapan  teknikal.  Namun, keadilan  mensyaratkan  agar  semua  pihak menerima layanan  yang  adil dan  saksama.

Peraturan  itu  menjadi satu  piawaian  amalan    mempertahankan  setiap kes  jenayah  dalam rangka menentukan   pihak pembela  telah diberitahu   dulu  akan  segala haknya  dengan jelas  oleh pihak  polis. Seandainya  hak  itu  tidak  dibacakan  dengan  jelasnya, pihak pembela  boleh dibebaskan oleh  mahkamah, walaupun wujud  bukti lain  yang  mungkin menunjukkan kesalahannya. Dengan cara ini  polis  digalakkan  untuk  menentukan hak asasi setiap individu yang ditangkapnya.

Peraturan  itu merupakan  satu  bahan sejarah, menunjukkan  pentingnya  hak-hak  orang yang dituduh  itu melangkau  kesangsian  pihak polis. Anggota polis yang melanggar hak-hak si banduan  terpaksa  mempertahankan  tindakannya, dan menjadi tidak  berupaya   apabila hakim mengarahkan dilepaskan yang tertuduh. Peraturan  ini  menjadi satu hambatan ke arah  perilaku   profesionalisme  anggota  polis.

Apabila  seseorang “dianiayai”  oleh polis  bererti  dia dikenakan tuduhan yang palsu  dan  sengaja diada-adakan.  Dalam banyak hal ia merupakan kerja jijik  polis walaupun  ia berpunca daripada niat jahat  seseorang  dalam  badan kehakiman. Kadangkala  pendakwa raya  mengemukakan  satu  kes  secara  tersilap. Apabila kesilapan itu  dikesan, semua  tuduhan digugurkan  dalam  nama keadilan. Memang tidak  banyak  kes  di  mana  pendakwaraya menuduh dengan  niat  jahat, secara  mengada-ngadakan  tuduhan  untuk  menyebabkan hukuman  yang palsu  dikenakan kepada rakyat  yang tidak  berdosa, selalunya  disebabkan  dendam dan muslihat politik. Kita lebih  kerap mendapati kes mahkamah dibatalkan kerana  bukti  yang  tidak  mencukupi.

Selalunya kita kurang   mendengar kes mahkamah  di mana  hakim bertindak memihak-mihak ataupun bayas (bias).  Lagi sukar  kita mendapat kes di  mana hakim  telah  ditekan  (ataupun disogok  dengan  duit-rasuah) untuk   memberikan  keputusan  pengadilan  yang bertentangan dengan fakta yang dibentangkan.  Hanya  dalam masyarakat haprak yang  membolehkan  kebebasan seseorang hakim itu dimusnahkan oleh  campur tangan penguasa  dengan cara  menggunakan ugutan  ataupun ancaman.  Berlakunya  kereputan  badan kehakiman  sebuah  negara dalam Komanwel  disebabkan  tindak-tanduk seorang bajingan  tentunya  merupakan  satu  pengecualian  yang haprak dalam zaman  moden  ini.

Tetapi, inilah  yang  terjadi di Malaysia. Kecurangan  segelintir  hakim  di negara  ini  dalam  menjalankan tugas  untuk  menegakkan  keluhuran  undang-undang  telah  dirakamkan selepas  perdana menteri yang masih  berkuasa  menyingkirkan   ketua  hakim negara Tun Salleh  Abas   pada 1989.  Namun, tidak ada seorang  pun  hakim  yang  berani melaporkan secara terbuka  sebarang campur tangan tertentu dalam keputusan  setiap kes yang  dikendalikannya.

Pendakwa raya   masih diberikan peluang   menjadikan  mahkamah sebagai pentas  lakonannya laksana  drama  bersiri, sambil hakim  duduk memberikan  pendapat  yang memudahkan lakonan  itu untuk  menyekat  sebarang  bantahan  yang berlandaskan  pengalaman  undang-undang  keramat  mahkamah Inggeris itu oleh  pihak peguambela.

Kini akhirnya,  seorang  hakim  telah mendedahkan  dalam satu  penghakimannya betapa ada  tekanan daripada atasan untuk  mengabui  tindakannya. Dia telah mengumumkan keputusannya  yang bebas itu sambil menyatakan juga betapa dia  mendapat   kekuatan berbuat  demikian daripada  ketaqwaannya. Rupanya   campur tangan  melalui  telefon itu bukan sahaja tertuju  kepadanya. Rupanya panggilan  untuk  tujuan  begitu  merupakan satu amalan biasa.    Kini tercatat sudah dalam rakaman perundangan betapa  seorang hakim  pernah  cuba dipengaruhi ketika membuat  penghakimannya. Ini sudah  tentu  mempertikaikan  keadilan  di keseluruhan badan kehakiman itu  di  Malaysia.

Keadilan meronta-ronta agar  dikembalikan  semula, membabitkan  semua  kes  jenayah  dan  sivil  yang pernah ditentukan oleh  mahkamah  sejak  1989.  Belum  pernah  terjadi  dalam  negara ini  tercetusnya  peristiwa  seperti  ini. Semua  pegawai  kerajaan  yang telah  disuluh oleh nur kebenaran  ini  sedang mencuba   mendinginkan suasana. Namun,  bencana sepenuhnya  keaiban penghakiman  ini  akan  diiktiraf juga,  bukan  sahaja di  Malaysia malahan di antero  dunia.

Selama  sedekad  yang  lalu,  badan kehakiman  negara  telah menjadi bahan pengamatan yang serius  ekoran  beberapa  kes  yang  menonjol  terhadap   para  wartawan   yang telah  mengecam dengan pedasnya  beberapa    peraturan  negara  yang  pelik-pelik. Beberapa  penghakiman  yang memberikan  kemenangan besar kepada  perdana menteri  dan parti  politiknya telah menarik  minat  seluruh  dunia.

Terdapat  satu  kes  di  mana  hakim telah mengumumkan  satu  penghakiman yang berasaskan  dalil  yang  disediakan  oleh  peguam cara  plaintif. Peguam cara  yang serupa   telah dirakamkan  bergambar ketika bersantai dengan  seorang ketua  hakim negara yang telah  melenting  dengan berkata pertemuan  mereka  itu  adalah  secara terserempak  sahaja. Akan  tetapi, seorang penyiasat  bebas  telah  mendedahkan tiket kapal terbang dua keluarga yang bersantai  itu  menunjukkan  banyak kesamaannya, menyebabkan kenyataan (mantan) ketua  hakim negara itu  satu  kenyataan yang  haprak belaka.

Seorang hakim mahkamah  jenayah  mempunyai seorang anak  lelaki  yang sedang  menghadapi hukuman mati mandatori   kerana  urusan dadah. Hakim itu  dinaikkan pangkat  menjadi  hakim mahkamah tinggi  sedangkan  kelakonannya  yang  sudah-sudah tidak meyakinkan  dia mempunyai kebolehan  yang  menyerlah. Nasib anaknya itu sengaja dibiarkan tertunggu   menantikan  keputusan banyak  peristiwa  berlaku dulu.   Seorang hakim lagi masih  belum  selesai menyudahkan  kertas  penghakimannya  satu tahun setelah penghakiman itu  diumumkannya.   Tempoh kerja  semacam itu hanya  dibenarkan  untuk  tiga bulan  sahaja. Pihak  pembela masih  tertunggu-tunggu  sambil terpenjara  bersendirian menantikan dengan penuh  kesabaran  penghakiman itu  sebelum mampu  mengemukakan rayuannya.

Polis Malaysia telah  pun  membuat pengumuman akan menyiasat  kes panggilan telefon yang mengganggu hakim  itu  dulu.  Semua pihak  menunggu  keputusan  siasatan itu. Inilah  kesan tompok keaiban yang  terpalit  kepada  badan kehakiman  Malaysia   yang  tidak  mudah dikikiskan. Semua  banduan yang  sedang  terpenjara  sekarang  ini, atas apa jenis tuduhan pun  mesti  dihadapkan semula  di mahkamah untuk  mengulang kaji  kes  mereka.   Proses  ini akan membuatkan mahkamah di Malaysia  menjadi sibuk  keseluruhan dekad  ini  dan  seterusnya.

Kalau Malaysia  mahu  menonjolkan  nama yang  unggul  di  mata dunia,  satu tribunal khas  mesti  ditubuhkan  untuk  menyiasat   keseluruhan  aspek  pengadilan  negara.  Kurang daripada  itu  tidak  akan  memadai  untuk  membolehkan  Malaysia  diberi  kehormatan setara dengan negara  Komanwel yang  lain.  Inilah  zaman keaiban Malaysia  dan  perdana  menteri adalah orang yang  patut  disalahkan  kerana keaiban itu.



Harun Rashid
http://home.yqi.com/harunrashid1/

SPAR-05-011