Sempena 1000 hari DSAI dipenjara

1000 hari yang lepas, seorang pemimpin berjiwa rakyat- telah ditangkap, dilokap, dibelasah sehingga pengsan dan hanya sedar keesokan harinya, 18 hari sebelum itu, beliau telah dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bukan hanya dipecat bahkan beliau dan keluarga difitnah dan diaibkan dengan apa yang disifatkannya sebagai "tidak pernah di dalam sejarah melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka seorang pemimpin difitnah seteruk ini". Sejak 1000 hari yang lepas, beliau mengharungi liku liku hidup seorang pejuang dari balik tabir besi, beliau sesungguhnya seorang yang dilahirkan untuk memimpin- tembok besar tidak mampu mematahkan semangat, azam dan tekad beliau. Dari balik tembok itulah- beliau bertempur dengan pemerintah zalim Mahathir dan kabinetnya.

1000 hari yang lepas- rakyat dari berbagai lapis masyarakat telah bangun bersama beliau melaungkan reformasi dan perubahan untuk Malaysia yang lebih adil. Kebangkitan rakyat yang terbesar dalam sejarah moden Malaysia, petang sebelum beliau ditahan- lebih 100 ribu rakyat bersama beliau di Masjid Negara dan Dataran Merdeka, sejak malam itulah- sejak rumahnya diceroboh oleh penguasa dayus yang diarah untuk menangkap beliau, beliau terus menerus disiksa dengan berbagai seksaan. Walau sejuta simpati kita- namun hanya beliau yang menanggung 'pedih'nya. Keluarganya terpaksa berjuang demi kebebasan beliau- isterinya terpaksa ke sini dan ke sana membela suami tercinta, anak anak beliau berterusan membantu ibu membela ayah tercinta yang ditakdirkan seorang pejuang yang dipenjara kerana teguh iktiqad perjuangan beliau.

Digari tangan, ditutup mata dan kemudiannya dibelasah oleh bekas KPN- ditinggalkan berhari hari di dalam lokap tanpa dirawat, darah suci seorang pejuang membasahi lokap tahanan di Bukit Aman. Dibogelkan di hadapan seorang Dr wanita, disyaki keracunan arsenik, dan sekarang menderita sakit belakang lantaran perbuatan bacul seorang Ketua Polis negara. Beliau terus tabah dan tabahnya beliau sehingga kita tidak pun menyedari bahawa 16 Jun 2001 ini genaplah 1000 hari beliau dikurung sendirian.

Bukan kepalang orang yang punya semangat seperti beliau, dan sudah tentulah manusia begini menjadi obor kepada manusia yang lain di dalam perjuangan dan pertarungan antara yang haq dan yang batil. Beliau sanggup dipecat lantaran  mahu menyelamatkan wang rakyat, beliau sanggup dipenjara kerana idealismanya, beliau derita dan sengsara sebenarnya- namun beliau hadapi dengan tenang dan sabar- tiada sebarang keluhan, ketika ditemu bual secara bertulis oleh semua majalah asing- beliau mengatakan yang beliau tidak mahu mengeluh kerana beliau masih mampu bertahan dengan segala bentuk seksaan yang beliau hadapi. Seorang pegawai penjara memberitahu Ezam Mohd Nor- bagaimana DSAI yang dikurung sendirian di bangunan yang boleh menempatkan 250 banduan terpaksa memasang perangkap tikus setiap malam sebelum tidur- kerana gangguan tikus lantaran bangunan yang besar namun penghuninya hanyalah seorang.

Tiba tiba saya teringat kata kata Ezam yang sekarang 'bercuti' di Kamunting, "tempoh Anwar dipenjara bukan tempoh mereka (Mahathir), tempoh Anwar adalah tempoh kita, 2 tahun, 5 tahun, 10 tahun Anwar dipenjara bukan tempoh mereka tetapi kitalah! kitalah yang akan membuka pintu (penjara) untuk beliau keluar, bukan mereka" kerana itulah barangkali, kita harus tingkatkan kesedaran rakyat, kita harus berjuang secara berterusan, kita harus rapatkan barisan, andai kita mahu cepat Datuk Seri Anwar dibebaskan, selagi Mahathir berkuasa percayalah DSAI akan terus dizalimi dari hari ke hari. Dan lebih malang dari itu, rakyat dirompak dan dirompak, wang rakyat yang disimpan di dana dana awam, di KWSP, EPF, Tabung Haji dan banyak lagi dipunggah untuk menyelamatkan dua tiga kerat peniaga elit yang rapat dengan pemerintah. Rakyat yang bangun menyoal didiamkan dengan segala bentuk undang undang yang ada termasuk ISA. Dengan gaya biasa seorang diktator- penentangnya akan dituduh cuba mengganggu keamanan dan kedamaian negara, cuba mencetuskan huru hara walhal kerana politik sempit dan ketidakmampuan sang diktator membalas serangan terhadap gaya boros dan penindasan beliau terhadap rakyat marhaen.

Sempena 1000 hari DSAI dipenjara- marilah kita hayati semula roh perjuangan suci beliau, kita teliti dan pelajari azam dan tekad beliau, kita susuri langkah langkah beliau, kita berjuang bukan sahaja untuk kebebasan beliau tetapi juga untuk kebebasan Malaysia ini dan sekelian rakyat dari terus 'terkurung' 1000 hari lagi di dalam kuasa pemerintahan seorang diktator tua yang kejam lagi zalim. Hanya kita yang mampu merubah Malaysia ini dan memang menjadi tanggungjawab kita pun sebagai rakyat Malaysia membebaskan Malaysia dari kediktatoran Mahathir. Semoga kita tidak menunggu 1000 hari lagi untuk membebaskannya kerana 1000 hari lagi terlalu lama untuk ditunggu dan terlalu banyak 'kesakitan' yang kita akan tempuh. Marilah bersama tamatkan segera tirai ini. 1000 hari lagi hanya akan menyebabkan lebih banyak wang rakyat dirompak, 1000 hari lagi hanya menambah sengsara jutaan rakyat yang inginkan sebuah kehidupan yang aman di bawah pemerintahan yang adil dan saksama.

-irzaimi- 
15.06.01

Jumlah pembaca:orang