KEBANGKITAN MASYARAKAT CINA : Petanda awal 2004

Pilihanraya yang lalu menyaksikan betapa antara faktor kekalahan BA di tangan BN adalah disebabkan oleh kurangnya undi masyarakat cina. Bukan untuk menyalahkan kaum cina, tetapi gambaran negatif yang ditanam oleh BN kepada kaum cina ini terutamanya melalui PAS disamping politik kotor BN menyebabkan kaum cina tidak dapat membuat keputusan bijak. Mahathir melalui media perdananya sering melaga-lagakan kepimpinan PAS dan DAP dengan kenyataan-kenyataan yang sepatutnya sudah cukup untuk meng'ISA'kan Mahathir atas tuduhan menimbulkan isu-isu sensitif. Disamping itu komitmen yang belum menyeluruh oleh PAS pada waktu tersebut untuk tampil sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira batasan agama juga turut menimbulkan ketidakpercayaan kaum cina kepada BA. Bayangkan selama 47 tahun kewujudan PAS, berapa banyak risalah berbahasa mandarin mahupun dalam bahasa-bahasa yang lain yang diterbitkan?

Namun benarlah kata-kata Chuang-tzu di dalam buku 'Aphorisms of Tao' ketika menghuraikan falsafah yin dan yang bahawa kebaikan dan kejahatan tidak akan dapat bersatu. Kebenaran akan tetap mengatasi lawannya walaupun cuba disembunyikan. Bermula dengan isu tuntutan suqiu yang dipolitikkan sepenuhnya oleh BN untuk meraih simpati dan menarik balik sokongan kaum melayu kepada BN, aktivis cina mula bangkit. Isu dasar pendidikan negara yang juga dimainkan oleh BN demi untuk melagakan perpaduan kaum, menambahkan kesedaran kaum cina. Jelas melalui isu suqiu dan dasar pendidikan negara yang ingin menghapuskan sistem pendidikan cina melalui SRJK(c) dengan penubuhan sekolah wawasan, sensitiviti aktivis cina dan keprihatinan mereka terhadap politik negara kian terserlah.

Usaha Mahathir untuk melagakan masyarakat melayu dan cina terutamanya melalui PAS natijah daripada perbezaan agama ini semakin gagal. Ternyata gambaran buruk yang diberikan oleh BN terhadap hukum hudud yang dibawa oleh PAS semakin membuatkan masyarakat cina tertanya-tanya untuk mengetahui apakah yang ada di sebalik perlaksanaan hukum itu, sehingga membuatkan BN begitu takut seandainya ia terlaksana. Begitu juga dengan konsep negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Kita dapat melihat bagaimana peningkatan pelancong-pelancong ke Kelantan dan Terengganu yang terdiri daripada masyarakat non-muslim, untuk menyaksikan sendiri suasana negeri di bawah pemerintahan ulama ini. Terkini, isu pemusnahan patung yang cuba dipolitikkan akibat daripada penyalah-tafsiran kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Idris Omar, ADUN PAS Semantan. Namun apa yang pasti selepas ini masyarakat cina akan tidak mudah melatah dalam menangani fitnah yang cuba melagakan mereka dengan PAS.

Isu kuota pelajar bukan bumiputera ke IPTA tempatan juga menyaksikan keprihatinan masyarakat cina untuk mendapatkan hak pendidikan mereka akibat kekeliruan mengenai lebihan 7,168 tempat kosong di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Walaupun ia merupakan natijah salah tafsiran kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Hassan Said, namun ini membuktikan bahawa sensitiviti masyarakat cina pantang diketuk.

Kebangkitan mereka memerangi kekejaman BN bertambah marak akibat penahanan 10 aktivis reformasi di bawah ISA dan seterusnya hukuman lanjutan penahanan 4 mangsa dan kini ditambah lagi dua, selama 2 tahun di kem Kamunting. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seorang tokoh BA berbangsa Cina, saudara Tian Chua. Seandainya dahulu siri-siri demonstrasi banyak didominasi oleh orang berkulit sawo matang, kini penglibatan kaum cina juga tidak dapat dinafikan. Wanita DAP juga mula menampakkan taring bersama srikandi keadilan dan muslimat PAS yang lain tanpa mengira yang bertudung dan tidak bertudung, berarak bersama-sama dari KLCC ke Jalan Bukit Bintang dalam usaha menentang ISA baru-baru ini.

Lebih memeranjatkan pada 7 JUN yang lalu seramai 30 orang penduduk berketurunan Cina di Gua Musang mengadakan perhimpunan secara aman sebagai membantah hukuman dua tahun terhadap empat aktivis reformasi di Kem Kamunting, yang disifatkan sebagai kezaliman yang semakin berleluasa. Menurut jurucakap kumpulan itu, Lim Ah Tian, penduduk Cina di kampung itu tidak mewakili mana-mana parti politik, sebaliknya berhimpun untuk menyatakan kebencian kepada undang-undang lama (ISA) yang tidak sepatutnya diguna lagi.

Terbaru, usaha yang cuba dibuat oleh BN untuk menguasai akhbar perdana berbahasa cina melalui MCA mendapat kecaman hebat masyarakat Cina. Langkah yang dibuat oleh kira-kira 90 penulis untuk akhbar Cina yang mula menghentikan sumbangan tulisan mereka kepada empat akhbar harian Cina termasuklah Nanyang Siang Pau dan China Press meneruskan rentetan kebangkitan kaum cina memerangi ketidakadilan BN. Mereka juga mengambil tindakan menghentikan sumbangan mereka kepada Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming sehinggalah isu Nanyang ini selesai. Tindakan ini dibuat sebagai tanda protes tindakan MCA mengambilalih Nanyang Press yang menerbitkan Nanyang Siang Pau dan China Press melalui organ pelaburan mereka, Huaren.

Justeru kita memandang kebangkitan ini sebagai suatu yang positif khususnya menjelang pilihanraya 2004 kelak. Pendekatan bersepadu BA terutamanya PAS perlu untuk memberikan penerangan dan penjelasan yang sebenar kepada masyarakat non-muslim. Dan kita turut mengharapkan komitmen yang berterusan jua menyeluruh daripada masyarakat cina dan juga India, berjuang demi Malaysia yang dihuni bersama. Bukan sekadar partisipasi daripada aktivis politik sahaja, malah kita juga merindukan suara-suara lantang mahasiswa bukan melayu yang sepi dan sunyi. Kalau ahli politik, ahli perniagaan, wanita DAP, penulis-penulis dan masyarakat cina sudah mula bersatu menentang kezaliman BN, maka kita yakin pemuda dan mahasiswa bukan melayu juga perlu untuk bersatu dan bergerak bersama pertubuhan belia dan persatuan mahasiswa yang lain agar kebangkitan ini merentas sifatnya. Sekarang adalah masanya untuk menemukan titik persamaan dan mengenepikan jauh titik khilaf akibat perbezaan bangsa, agama dan ideologi politik. Kesatuan yang ampuh dan bersifat merentas inilah, disamping perpecahan dalaman BN yang semakin membarah, akan membuahkan hasil yang dinantikan.


adLan_WaN_zuHairi
REFORMIS ARDHUL KINANAH

Jumlah pembaca:orang