Surat Tian Chua Dari Kamunting

(Dari Malaysiakini)

15/6/2001
Oleh : Tian Chua
Terjemahan : SPAR 09

Saya dengan ikhlas hati mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas segala usaha dan kerja keras saudara sekelian semenjak penahanan kami - satu langkah yang mengejutkan saya kerana saya tidak dapat memahami mengapa ISA perlu digunakan bagi menghalang perhimpunan aman pada 14 April yang lalu.

Cerita berkenaan bom, pelancar roket (rocket launchers) tidak salah lagi adalah satu pembohongan, yang saya fikir Ketua Polis Negara sendiri tidak mempercayainya. Penahanan ini mencerminkan betapa tergugatnya kedudukan regim berkenaan. Sambutan dari dalam dan luar negara menunjukkan bahawa ISA tidak lagi berupaya menimbulkan budaya takut di kalangan masyarakat.

Kami berempat telah dihantar ke Kamunting secara tergesa-gesa pada 2hb.Jun dan perintah penahanan telah dibacakan kepada kami pada kira-kira pukul 6.00 petang. Pada lebih kurang jam 8.30 malam, kami diangkut ke kem (tiba di sana pada pukul 11.55 malam). Sehingga kini, kami masih tertanya-tanya mengapa perlu dibuat secara tergesa-gesa, adakah disebabkan kes "habeas corpus" Sdr. Gobi dan Sdr.Ghani?

Sungguhpun demikian, kami sedang menyesuaikan diri secara perlahan-lahan di kem ini. Buat masa ini, Sdr. Ezam dan Sdr. Saari berkongsi satu kamar (dorm), Sdr. Hisham dan saya di kamar lain - kedua-dua blok adalah bersebelahan di antara satu sama lain. Ia adalah tempat yang sama di mana Kit Siang, Mat Sabu dan beberapa lagi yang lain ditempatkan semasa "Ops Lalang". Suasana di sini secara umumnya agak menenangkan berbanding dengan semasa 50 hari kami disoal siasat.

Kami sedang cuba mendapatkan kerehatan yang secukupnya dan sedang beransur-ansur pulih dari apa yang dilalui semasa bersama Cawangan Khas (SB) tempoh hari. Oleh kerana kami berempat tidak berkesempatan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain semasa tempah 50 hari itu, banyak perkara yang perlu kami bincangkan bersama. Kami berpeluang menerima buku-buku tertentu, membaca dan bersenam dan di samping itu, dengan berbual dapat mengisi kebanyakan dari masa kami.

Komunikasi dengan dunia luar masih lagi terbatas. Agak sukar untuk kami mengikuti perkembangan  berita-berita. Selama dua bulan saya telah ditahan tanpa sebarang surat khabar, TV atau radio. Kini secara perlahan-lahan saya sedang membiasakan diri dengan keadaan "terpinggir" dari dunia luar ini.

Walau bagaimanapun, pada malam-malam yang sunyi dan sepi, saya telah memikirkan banyak perkara untuk diperkatakan kepada saudara sekalian. Saya benar-benar merindui anda sekalian. Oleh kerana peraturan ISA hanya membenarkan saya menerima sepucuk surat dan menghantar sepucuk surat keluar pada  setiap minggu dan segala surat-menyurat perlu melalui badan penapis, saya memohon maaf kerana tidak dapat menulis kepada setiap individu atau organisasi.

Janganlah saudara merasa bimbang, saya di dalam keadaan yang baik dan ceria seperti biasa. Sungguhpun begitu, saya benar-benar merindui semua orang dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan sayang dan penghargaan saya kepada saudara sekalian. Kempen berterusan dari saudara semua telah menyemarakkan semangat kami dan kami yakin bahawa ketidakadilan ini akan berakhir tidak lama lagi. Kami hanya perlu bersabar menunggu saat kebebasan kami - bukan kami sahaja tetapi seluruh Malaysia.

Dengan hanya sedikit lagi kerja keras, kami mungkin akan menjadi kumpulan terakhir tahanan ISA. Walau bagaimanapun, kita jangan sekali-kali lupa untuk meneruskan kempen terhadap ISA.

Jangan biarkan tenaga dan semangat kita terhenti seandainya kami dibebaskan. Perjuangan mesti dipertahankan untuk perubahan yang lebih besar. Meskipun terasing, saya dapat merasakan pergerakan saudara yang semakin kuat dan berdinamik itu. Saya sendiri merasa bersalah kerana tidak berdaya untuk menyumbang dengan lebih banyak.

Syabas dan jaga diri baik-baik. Salam sayang dan perpaduan dari saya.

Jumlah pembaca:orang