Osu, Yayasan Sabah dan UMNO

Selama DSP Osu Haji Sukam jadi KM Sabah dua tahun, apa yang dia buat untuk orang Sabah yang majmuk itu, untuk bumiputera, untuk kakitangan kerajaan dan untuk umat Islam? Itulah soalan beberapa rakan, mempersoalkan kewibawaan dan kebijaksanaan kepimpinan Osu Sukam sebagai pemimpin tertinggi politik Sabah ketika memegang jawatan KM Sabah.   Seorang rakan mencelah pengarah Yayasan Sabah pun dia tidak boleh putuskan. Tapi KM baru yang menggantikannya Datuk Chong Kah Kiat baru beberapa hari, belum sampai tiga bulan menjadi KM, awal-awal lagi dia bayangkan pengarah YS bukan orang politik. Dua hari lalu sudah diumumkannya pengarah YS Datuk Khalil Jamalul bekas SKN Sabah. Seorang lagi kawan menambah bonus pun dia tidak boleh putuskan. Kenapa KM baru boleh membuat keputusan bahawa Jun ini semua kakitangan kerajaan negeri akan mendapat bonus yang tertangguh begitu lama.

Sebagai ketua perhubungan UMNO Sabah, kenapa beliau tidak bertegas kepada presiden UMNO Dr Mahathir supaya sistem penggiliran KM dimansuhkan saja. Pada hal majoriti ahli-ahli, pimpinan pemuda dan wanita telah menyuarakan ketidaksenangan mereka dengan sistem bergilir itu. Ini bermakna beliau menjadi ketua perhubungan seperti boneka saja, tidak ada kekuatan dan wibawa. Tetapi sikap beliau lebih banyak mengamal budaya ampu sana ampu sini untuk kekalkan jawatan perhubungan. Dengar khabar, daripada 20 ketua bahagian UMNO Sabah sewaktu isu penggiliran itu panas, beliau tidak begitu disenangi, kerana lebih kurang ada 16 ketua bahagian UMNO di Sabah tidak memihak kepadanya.

Itulah serba sedikit luahan beberapa rakan yang pernah penulis temui dan berbual dengan mereka. Setengahnya menimbulkan rasa kecewa, dengan soalan kenapa kalau pimpinan kalangan bumiputera Islam naik, mereka seperti kehilangan wibawa dan kebijaksanaan tiba-tiba?.

Semoga tulisan ini akan membuka mata, akal dan mata hati pimpinan UMNO Sabah.

Sekian.   

Ibn Sabah,   
15.6.2001M

Jumlah pembaca:orang