Mampukah BA Sabah Tawan Likas?

Gabungan BA di Sabah yang terdiri dari PAS, DAP dan Keadilan, adalah gabungan pembangkang yang digeruni di Semenanjung. Di Sarawak pula dengar khabarnya BA di sana menakutkan BN Sarawak yang ditunjangi PBB. Manakala politik BA di Sabah sudah mula diterima masyarakat majmuk Sabah dan menampakkan sinar sejak pilihanraya kebangsaan yang lalu khususnya Parti Keadilan. Di kerusi DUN Likas dalam pilihanraya umum negeri 1999 lalu, BA meletakkan calun dari PAS. Dalam pilihanraya kebangsaan tahun sama di parlimen Gaya BA juga meletakkan calonnya dari PAS. Kedua-dua kerusi DUN Likas dan parlimen Gaya dimenangi calun BN melalui Datuk Yong Teck Lee (SAPP).

Namun berdasarkan keputusan pilihanraya umum negeri 1999 itu, BA Sabah yang diwakili PAS tidak melihatkan tentang sebenar kepada calun BN, undi yang diperolehi tidak mencecah angka ribu. Melihat kepada situasi ini, dari segi perkiraan politik semasa di Sabah, PAS belum mendapat sokongan sebagaimana sokongan rakyat di Semenanjung. Tanggapan masyarakat majmuk di Sabah terhadap PAS masih dibayangi propaganda yang dimainkan oleh UMNO/BN. Lagipun kesedaran umat Islam Sabah terhadap politik Islam yang menjadi teras perjuangan PAS masih ditahap rendah.

Seorang rakan yang juga aktivis PAS di Sabah pernah berkata, untuk masa terdekat ini PAS di Sabah masing jauh, dan belum tiba untuk PAS. Tambahnya, tidak seperti di Semenanjung di sana wadah menyuburkan kesedaran Islam seperti sekolah agama, pondok dan sebagainya cukup banyak. Sementara itu, pernah rakan lain yang juga seorang kakitangan kerajaan mengatakan, kalau PAS memerintah Sabah susah kita. Ini menggambarkan propaganda UMNO/BN yang memandang PAS sebagai parti agama yang ekstrim benar-benar melekat dalam minda rakan saya itu. Sempat penulis mencelah bagi membetulkan tanggapan negatif dan salahnya, kita tidak boleh mengandaikan sesuatu yang belum jelas keburukannya dengan tanggapan salah. Tegas saya kita mesti lihat bagaimana PAS mentadbir Kelantan dan Terengganu secara dekat atau tanya dan lihat kepimpinan mereka. Sebab apabila kita dapatkan maklumat dari musuh politik PAS, terutama UMNO/BN pasti jawabannya ialah semuanya tidak baik, sekalipun PAS itu banyak baiknya, lebih telus, amanah dan berusaha mentadbir dengan lebih baik.

Jadi melihat kepada senario itu, PAS belum sesuai sebagai calun BA di DUN Likas untuk ketika ini. Kecuali mendapat sokongan padu dari parti-parti pembangkang lain di Sabah, khususnya PBS. Atas faktor pengaruh PBS masih kuat. Mungkin Parti Keadilan boleh menggantikan PAS di Likas, dengan syarat calun yang hendak diketengahkan mesti anak tempatan yang berkaliber, disenangi rakyat dan berjiwa rakyat, selain itu sudah dikenali masyarakat atau pengundi Likas yang majmuk itu. Itupun, seandainya PBS memberi ruang atau mendapat sokongan bulat dari PBS sendiri. Apabila ini berlaku, adalah tidak mustahil BA Sabah boleh membuat kejutan dan menawan DUN Likas. Syarat lain mesti satu lawan satu dan BA Sabah dengan PBS mesti berkompromi dan bersatu bagi menghadapi BN di Likas.

Andainya di sebalik itu yang berlaku, masing-masing membawa haluan tersendiri, memang agak sukar bagi BA Sabah atau PBS menawan DUN Likas. Kecuali sekiranya ada keajaiban pada saat-saat akhir kempen dan rakyat berani membuat undi protes terhadap BN. Dalam keadaan sekarang BN masih di depan, sekalipun mereka dalam kebimbangan. Walau bagaimanapun, bagi BA Sabah dan PBS masih ada peluang, sekiranya mereka bijak mengguna strategi kemenangan BA di Lunas, Kedah dalam pilihanraya kecil November 2000 lepas.

Marilah kita sebagai rakyat Sabah yang bijak dan berani. Untuk berusaha memenangkan calun BA Sabah atau PBS dalam pilihanraya kecil kerusi DUN Likas, Sabah. Kemenangan BA adalah untuk rakyat dan bagi mengemakan lagi DUN Sabah.

Sekian.   Ibn Sabah,   15.6.2001M

Artikel ini  dibaca olehorang