TANGGAPAN YANG SALAH MENGENAI AMALAN-AMALAN BID’AH DI IRAN

SIRI 2

Agak-agaknya di zaman Rasulullah dulu, boleh tak sesiapa yang tidak mahu ikut tunjuk ajar baginda sanggup berkorban apa saja apabila diperintahkan supaya berhijrah dan berjihad? Jangan mimpilah! Pengorbanan yang diperlukan untuk melaksanakan perintah ini bukannya kecil dan ringan. Sudah pasti seseorang yang tidak mempunyai iman dan aqidah yang mantap tidak akan termampu untuk melaksanakan perintah ini. Bukankah orang-orang yang bersikap begini pada zaman itu dipanggil sebagai munafiq atau pun musyrikin oleh Allah kerana sikap mereka yang degil meletakkan nafsu sendiri atau pun pandangan pihak lain lebih tinggi dari perintah Rasulullah SAW?

Orang yang bergelar mukmin sejati pada ketika itu mengikut definasi Al-Quran hanyalah mereka yang taat dan patuh kepada Rasulullah tanpa banyak soal jawab. Siapa yang banyak songeh dan tak mahu ikut cakap dan perintah Rasulullah memang kena cop kafir secara percuma oleh Allah. Sikap kita pada hari ini bagaimana pula agaknya? Baru diberitahu bahawa kita patut meninggalkan beberapa amalan Bid’ah tercela yang sudah sebati dengan hidup kita selama ini kerana ia bukan dari ajaran dan tunjuk-ajar Rasulullah, dah melenting marah separuh gila. Bila diminta dalilnya kenapa mereka nak pertahankan amalan tersebut, terkedu-kedu nak cari. Tapi bila kita beri segala dalil yang jelas menunjukkan bahawa amalan tersebut adalah Bid’ah dan wajib ditinggalkan, mereka masih lagi degil membantah. Kalau ini pun susah nak jaga, macam mana nak membudayakan dan menterjemahkan kandungan Al-Quran dalam hidup seharian mengikut As-Sunnah?

Mengikut definasi Al-Quran dan seperti apa yang diajar oleh Nabi, takrifan ASWJ hanyalah layak diberikan kepada sesiapa yang berusaha dengan tegas untuk kembali kepada sunnah baginda dan para sahabatnya yang terdiri dari umat salaf sahaja kerana umat salaf inilah yang sebenar-benarnya merupakan pengamal sunnah yang sebaik-baiknya seperti yang telah diperakui oleh Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengamalkan Bid’ah dengan secara otomatiknya tidak layak menggelarkan dirinya sebagai ASWJ kerana Bid’ah amat bertentangan dengan sunnah, sepertimana iman dan tauhid tidak boleh duduk bersama dengan syirik.

Memandang remeh kepada Bid’ah akan mengakibatkan banyak masalah dalam urusan ibadat kerana ia akan membuat manusia mula berasa pandai dan fikir bahawa mereka kononnya layak mencampur tangan dalam urusan yang pada hakikatnya ia tidak ada hak untuk masuk campur. Bila ini berlaku, maka seseorang itu telah pun mencacatkan aqidahnya kerana sikapnya yang telah berani merampas hak Allah dan Rasul. Sebab inilah masalah Bid’ah itu merupakan masalah aqidah dan bukannya masalah furu’ yang boleh diperkecil-kecilkan. Jika masalah bid’ah tidak besar dan serius, masakan Rasulullah akan bersabda seperti berikut :

“Ketahuilah bahawa sebaik-sebaik perkataan ialah Kitabullah dan sebaik-sebaik petunjuk ialah Sunnahku, manakala seburuk-buruk perkara pula ialah perkara-perkara baru yang diada-adakan. Semua perkara-perkara baru yang diada-adakan adalah Bid’ah. Semua Bid’ah adalah sesat, dan semua kesesatan berada dalam neraka.” [Hadis Sahih riwayat Muslim, Ahmad, dan An-Nasai].

Berdasarkan kepada pemahaman ini, bolehkan berjuta-juta umat Islam yang begitu megah sekali mendabik dada masing-masing dengan pengakuan bahawa kononnya mereka adalah termasuk di dalam golongan ASWJ berasa selamat jika pada masa yang sama mereka berani meletakkan nafsu atau pun pandangan orang lain melebihi dari tunjuk-ajar dan sunnah Rasulullah? Apakah mereka juga layak digelar ASWJ jika mereka mengambil sikap yang degil untuk berpaling dari kebenaran apabila kebenaran itu dihadapkan kepada mereka?  

Kalau setakat nak baca Quran saja dalam bahasa Arabnya kemudian tak mahu usaha untuk fahami, hayati dan amalkan kandungan Quran itu mengikut apa yang Nabi ajar, sikap ini tak ubah macam orang kafir musyrik dan ahli kitab di zaman Nabi dulu. Mereka lebih pandai cakap Arab dan baca Quran dari kita. Tapi mereka jadi sesat sebab tak mahu ikut cakap Nabi, itu saja. Mereka bukannnya tak faham Quran yang dibaca oleh Rasulullah. Mereka faham, malah mereka dengar Quran dari bibir Rasulullah sendiri. Mereka bukan tak faham Sunnah. Bahkan mereka faham Sunnah lebih dari kita kerana berpeluang hidup di zaman Nabi dan lihat dengan mata kepala sendiri apa yang baginda buat dan apa  yang baginda tak buat. Tapi disebabkan oleh nafsu, mereka sengaja buat tak faham dan berani buat tafsiran sendiri serta memperolok-olokkan Sunnah Rasulullah. Bila Nabi perintahkan sesuatu, mereka sengaja cari macam-macam helah dan alasan untuk elakkan diri dari menurut perintah Nabi kerana mereka fikir mereka lebih hebat dan pandai dari Nabi walaupun mereka tahu apa yang Nabi cakap itu betul.

Pada hari ini pula, hakikat yang menyedihkan ialah hampir semua umat Islam yang membuat pengakuan bahawa mereka kononnya ber“mazhab” ASWJ begitu rancak sekali terlibat dengan berbagai-bagai amalan syirik, khurafat dan bid’ah yang telah mencemarkan aqidah mereka. Malah ramai juga di antara mereka bukan saja setakat  mengamalkan saja amalan-amalan sesat ini, bahkan ramai juga yang menjadi pendokong kuat kepadanya sehingga memainkan peranan untuk menggalakkan orang ramai supaya turut bergelumang dengan Bid’ah.

Mereka jadi begini tidak lain kerana sengaja tidak mahu kembali kepada sunnah Rasulullah. Walaupun mulut mungkin berkata “Ya, aku ikut Al-Quran dan Sunnah”, tapi perbuatan dan amalan pula terang-terang bercanggah dengan apa yang diucapkan. Oleh itu, adakah layak bagi orang-orang yang sudah terkeluar dari takrifan ASWJ dengan mudah sekali menghukum Syiah itu sesat dalam keadaan mereka sendiri pun sama-sama sesat kerana degil membelakangkan Sunnah Rasulullah?

Tanpa menilik dalam diri sendiri terlebih dahulu, sebahagian besar dari orang-orang yang mengaku ASWJ lebih cenderung untuk menuduh secara pukul borong bahawa semua orang Syiah itu sesat. Mereka menganggap bahawa semua orang yang digelar Syiah itu sesat kerana fanatik kepada Sayidina Ali hingga sanggup mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi yang lain dan gemar melakukan berbagai-bagai amalan Bid’ah. Tetapi adakah betul bahawa semua orang yang dicop sebagai Syiah, tak kira samada mereka itu Syiah di zaman dahulu atau pun Syiah yang ada pada hari ini, berpendirian dan berkelakuan seperti yang dituduh ini?

Saya sering membayangkan apakah pendirian saya agaknya jika saya berada dalam zaman pertelingkahan di antara Ali dan Muawiyah dulu. Besar kemungkinan saya akan berpihak kepada Ali dan menentang Muawiyah kerana saya lebih tertarik kepada peribadi diri Ali yang jauh lebih hebat dari Muawiyah. Kita semua sedia maklum tentang betapa mulia dan hebatnya kedudukan Ali di sisi Rasulullah. Terlalu banyak tauladan yang boleh dipelajari oleh seseorang yang telah belajar tentang kisah hidup Ali. Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa saya akan jadi terlalu fanatik kepada Ali hingga sanggup menggadaikan aqidah saya semata-mata kerana saya mahu dia kekal sebagai Khalifah.

Perlu diketahui bahawa pengikut-pengikut Ali yang “original” di zamannya dahulu juga termasuk dalam kalangan ASWJ yang tulin. Pertelingkahan yang berlaku di antara Ali dan Muawiyah dahulu adalah akibat dari fitnah yang sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda kotor tersendiri. Ia tidak ada kena mengena dengan masalah aqidah atau sunnah. Ia hanya berlaku dari sudut politik di mana satu golongan merasakan bahawa ketua mereka masing-masing (samada Ali atau Muawiyah) lebih layak untuk jadi pemimpin. Itu saja. Mungkin dari segi tindakan politik mereka digelarkan Syiah, tapi dari segi aqidah, mereka tetap dari kalangan ASWJ.

Tapi yang membuat sesat selepas itu ialah bila masing-masing pengikut telah menjadi terlalu taksub dengan ketua masing-masing, tak kira pengikut Ali atau Muawiyah. Sikap taksub ini telah membuat mereka sanggup tunduk kepada hawa nafsu hingga berani membelakangkan syariat dan mencipta beberapa kepercayaan dan amalan-amalan baru yang dicampur-adukkan kepada aqidah Islam kerana dirasakan akan memberi kelebihan kepada pemimpin yang mereka masing-masing mahu menangkan. Bila ini berlaku, maka aqidah jadi rosak dan syariat ibadat pun jadi tunggang langgang akibat wujudnya berbagai-bagai amalan bid’ah yang sengaja direka-reka demi mempertahankan keghairahan emosi dan kepentingan masing-masing. Mengikut sejarah, Ali sendiri telah bertindak untuk berlepas tangan dari pengikut-pengikutnya yang fanatik bila menyedari bahawa mereka sudah tidak boleh dikawal lagi dan telah menyimpang dari aqidah Islam yang sebenar walaupun setelah puas dinasihati.

Begitu juga dengan sikap penyokong-penyokong Muawiyah yang juga telah bertindak melampaui batas ekoran dari keghairahan mereka untuk melindungi kepentingan masing-masing. Dalam membuktikan kesetiaan kepada Muawiyah dengan tujuan untuk mendapatkan balasan dunia yang mereka lebih utamakan dari akhirat, mereka telah mencipta banyak fitnah yang memburukkan Ali hingga ada yang tergamak mencela beliau dan ahlul bait yang lain dalam khutbah-khutbah solat Jumaat.

Tidak puas dengan ini, ada juga di kalangan mereka yang telah berani mencipta Bid’ah dengan menokok tambah syariat ibadat solat Jumaat dengan menyelitkan bacaan doa untuk memohon kesejahteraan hidup bagi Khalifah Muawiyah dan para penggantinya. Padahal di zaman para Khulafa ur-Rasyidin yang berempat sebelum itu dan juga ketika Rasulullah masih hidup, amalan seumpama ini tidak pernah wujud. Tetapi bermula dari zaman pemerintahan Bani Ummaiyah, bacaan doa untuk memohon kesejahteraan bagi pemimpin tiba-tiba telah muncul dalam khutbah solat Jumaat dan amalan ini telah diteruskan hinggalah sampai ke hari ini.

Hari ini, amalan mendoakan Sultan atau pemimpin seolah-olahnya sudah menjadi satu syariat yang tidak boleh dipisahkan dalam setiap ibadat solat Jumaat hampir diseluruh dunia termasuk di dalam negara kita sendiri. Mendoakan kesejahteraan untuk seseorang itu memanglah baik, tetapi salah satu syarat bagi doa ialah ia mesti dilakukan dengan hati yang ikhlas. Justeru, apabila ia seperti di“paksakan” ke atas makmum, fungsi doa itu telah pun lari dari hakikat tujuannya yang sebenar. Apatah lagi apabila amalan ini telah dijadikan seperti satu kemestian dalam setiap ibadat solat Jumaat kerana setiap khatib terpaksa melakukannya. Jika tidak, khatib itu akan dituduh tidak menghormati Sultan dan kemungkinan besar akan dipecat. Sesungguhnya, amalan ini adalah merupakan satu amalan Bid’ah yang amat nyata. 

Disebabkan inilah maka saya dengan secara peribadi tidak suka membesar-besarkan konflik yang terjadi di antara Sunni dan Syiah. Saya rasa tidak ada bezanya bagi saya di antara seorang Sunni yang berfahaman sekularisma dan bergelumang dengan berbagai-bagai amalan Bid’ah jika dibandingkan dengan seorang pengikut Sayidina Ali yang sungguh fanatik hingga ke tahap sanggup mendewakan beliau dan seterusnya mengkafirkan A’isha (isteri Nabi) dan para sahabat Nabi yang lain seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman. Kedua-duanya bagi saya memang sah sesat, tak kira apa label yang mereka pakai – samada Sunni atau pun Syiah..

Sebab itulah kita semua kena sedar bahawa yang sepatutnya wujud dalam Islam hanya satu jalan saja, iaitu jalan ASWJ yang tulin dalam ertikatanya yang sebenar seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Selain dari ini semuanya tidak betul. Justeru, persoalan samada seseorang itu dari kalangan ASWJ atau tidak, hanya boleh dinilai dari sudut iktiqadnya, ucapannya dan amal perbuatannya. Bukan setakat main tampal label sahaja

Memahami asas-asas ini, saya kira apa-apa kemusykilan yang mungkin ada tentang Syiah sebelum ini kini mampu dijawab dengan sendiri. Ringkasnya, kita tidak boleh menuduh bahawa semua orang yang dikatakan berfahaman Syiah itu adalah sesat, sebagaimana kita tidak boleh terlalu yakin bahawa semua orang yang mengaku ASWJ itu adalah betul. Layanan yang adil patut diberikan kepada semua pihak dalam apa jua perkara dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai neraca pengukurnya. Dengan lain perkataan, tidak ada bezanya di antara sesiapa yang bergelar Syiah atau ASWJ jika aqidah kedua-dua rosak akibat terlibat dengan perkara-perkara syirik atau khurafat, dan hidup seharian mereka bergelumang dengan berbagai-bagai amalan Bid’ah yang tercela.

Justeru, adalah wajib bagi kita untuk bersikap lapang dada dan menerima apa-apa pandangan yang diberikan oleh walau sesiapa sahaja asalkan apa yang dikemukakan itu bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang sahih. Tetapi jika pandangan-pandangan yang diberikan adalah bertentangan dengan kedua-dua sumber hukum tersebut, maka kita wajib tolak jauh-jauh walaupun yang bercakap itu mempunyai serban besar yang terlilit di kepala hingga jadi senget kepalanya kerana tak larat menahan berat serban itu dan janggut yang panjang hingga boleh menggantikan penyapu untuk menyapu lantai.

Oleh itu, jika terdapat mana-mana pihak yang dilabel sebagai Syiah tetapi pada hakikatnya mereka hanya menghormati Ali dengan cara yang layak diberikan kepadanya tanpa melakukan apa-apa perbuatan atau ucapan lisan yang boleh merosakkan aqidah, maka mereka juga adalah dari kalangan yang Nabi sebut sebagai ASWJ walaupun orang lain mungkin label mereka sebagai Syiah. Tetapi bagi sesiapa saja yang sudah sampai kepada tahap terlalu fanatik kepada Ali dan para ahlul bait hingga percaya kepada benda yang bukan-bukan dan buat amalan-amalan Bid’ah yang Nabi tak pernah ajar, maka sahlah mereka ini sesat tak kira apa label yang diberikan kepadanya.

Memang mudah bagi orang yang mengaku ASWJ menuduh pihak yang dinamakan Syiah itu sesat terutamanya apabila mendapat tahu atau pun melihat dengan sendiri ramai orang-orang memukul-mukul badan sendiri dan meraung-raung menangis ditepi kubur Imam Hassan dan Hussein setiap kali mereka menziarahi kubur-kubur tersebut. Tetapi yang lebih malang ialah mereka yang hanya nampak kesalahan ini dan berkata bahawa Syiah itu sesat tidak sedar pula bahawa diri mereka sendiri pun sama-sama sesat juga.

Kesimpulannya di sini ialah saya memang akui bahawa terdapat berbagai-bagai amalan Bid’ah di Iran yang menyesatkan. Bukan hanya setakat memukul-mukul badan dan meraung-raung ditepi kubur para imam atau wali yang mereka puja sahaja. Bahkan ada banyak lagi perbuatan-perbuatan bid’ah di samping ini yang berlaku di Iran yang tak pernah diajar atau disuruh oleh Nabi SAW. Namum demikian saya lebih risau memikirkan sikap orang Melayu di depan mata saya yang hanya pandai mengaku ASWJ tetapi leka dan lalai bergelumang dengan berbagai-bagai amalan Bid’ah. Bagi saya ini lebih parah kerana mereka telah tertipu dengan sangkaan bahawa mereka kononnya sudah gerenti selamat padahal mereka sudah tersesat.

Akhir kata, kita kena betul-betul faham bahawa untuk jadi ASWJ bukan sekadar melalui ucapan lisan saja. Kita mesti buktikan dengan iman dan perbuatan. Apa yang Nabi tak ajar atau suruh, kita jangan pandai-pandai tunjuk bijak nak cuba buat. Kalau tak tahu, belajar dan cari ilmu yang betul mengenainya. Jangan main ikut buta tuli saja tanpa mengetahui apakah dalil dibelakang amalan tersebut. Esok bila mati, kita tak ada alasan kepada Allah nak kata yang kita tak ada masa nak belajar ini semua. Allah bagi kita umur dan kesihatan untuk belajar dan mencari kebenaran mengikut apa yang Nabi dah ajar. Bukannya dengan mengikut akal bodoh kita yang sering diletakkan pada keadaan yang tak kena pada tempatnya.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang ikut beramal dengan Al-Quran dan As-sunnah, tak kira dia di Iran ke, atau di Kutub Utara ke, dia tetap termasuk dalam ASWJ. Tapi sesiapa yang tak buat begini walaupun dia mendabik dada dengan megah mengaku bahawa dia kononnya ASWJ dan pada masa yang sama buat atau mengeluarkan kata-kata yang boleh merosakkan aqidahnya, maka label ASWJ yang diberi pada dirinya sendiri itu tidak memberi apa-apa makna dan tidak boleh menyelamatkannya di akhirat nanti.

Jika umat Islam faham asas ini, barulah Islam akan jadi murni, perpaduan dikalangan umat Islam akan terhasil dan kecemerlangan akan terserlah. Sebab itulah kalau kita faham ilmu aqidah menurut cara yang Rasulullah ajar dan seterusnya cara yang difahami serta diamalkan oleh para sahabat dari umat salaf dan dari golongan tabi’in, kita tidak akan kecuh bila berhadapan dengan masalah-masalah furu’. Batas-batas iman dan kufur akan jadi jelas dan kita boleh membezakan masalah-masalah yang menyentuh persoalan pokok ataupun cabang. Seterusnya, sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain akan berlaku dan umat Islam dapat akan hidup dalam suasana yang penuh mesra walaupun berbeza pendapat.

 

Allahu ‘alam.

-Tok Misai-

tokmisai_2000@yahoo.com

Jumlah pembaca:orang