Serang Hendap Di Netting
(The Ambush At Netting)

http://www.geocities.com/harunrmy


Bukan mudah mempercayai sesuatu yang dilihat daripada jauh. Apabila kita terdengar cerita ngeri yang meruntun hati, kita tidak mudah mempercayai sesuatu kisah yang diceritakan orang. Namun, kenyataan yang terserlah menjelaskan cerita kebenarannya. Inilah yang mencuit hati nurani kita dan tentu ada insan yang bertanggungjawab kerananya. Seeloknya biarlah fakta yang menjelaskan cerita sebenarnya.

Tumpat ialah sebuah pekan yang terletak di Kelantan, yang bersempadan dengan Thailand. Menghala bahagian selatannya ialah Kota Bharu. Jalan masuk ke ibukota Kelantan itu memang tersedia satu sekatan jalan di mana setiap kenderaan sentiasa diperiksa dan diawasi kalau-kalau ada membawa beras seludupan. Selalunya terdapat dua pegawai yang berunifom yang bertugas. Terdapat satu papan tanda yang besar meminta sesiapa juga berhenti dulu, untuk diperiksa. Beberapa kampit beras rampasan disusun rapi di bawah satu payung besar untuk melindungi panahan suria yang sungguh terik pancarannya. Payung besar yang dipancang di tepi jalan memang menjadi tanda kelegaan. Namun, tidak ada yang menarik pada alat pelindung itu, kerana kelihatan ganjil di tengah-tengah kawasan bendang yang penuh pepohon kelapa yang melambai-lambai laksana jejari yang menunjukkan sesuatu kepada pelbagai arah lambaiannya.

Jalan yang melepasi tapak sekatan itu menghala ke satu persimpangan tidak jauh dari situ. Di bahagian itu terdapat beberapa rumah kampung yang memang tenang pemandangannya. Memang semuanya nampak tenang dan aman. Memang tidak ada satu pun yang menjadi tanda betapa berlakunya satu peristiwa ganas pada malam 3 Oktober, 1998. Begitu juga pada keesokan paginya, serpihan kaca dan sampah sarap telah dikumpulkan dan disimbah dengan minyak sebelum dicucuh api untuk menyala sehinggakan hitam lebam tapak tanahnya. Sesiapa yang melihat tapak yang hitam itu tentu bertanya di dalam hati, apakah yang sudah terjadi, membuatkan polis menghitamkan bumi dengan menyucuh api? Penduduk tempatan terus curiga melihatkan puluhan mata-mata yang mengawasi mereka. Mereka terus kehairanan kerana stesen sekatan itu baru sahaja dibina di situ.

Malam itu memang gelap pekat, sesuai untuk dijadikan satu malam merencana sesuatu yang tidak mudah sesiapa melihatnya. Pada malam itulah berlakunya peristiwa itu, sehingga terdapat tiga versi cerita mengenainya. Yang pertama ialah versi polis Tumpat kepada pemberita akhbar pada keesokan paginya setelah bumi bertuah itu dilhitam- lebamkan. Cerita versi kedua ialah kisah yang diceritakan oleh dua orang pegawai polis Tumpat kepada siasatan Koroner yang agak panjang siasatannya. Versi yang ketiga ialah cerita mereka yang menjadi saksi kerana dapat melihat dengan mata sendiri dan mendengarnya melainkan mereka yang tuli, dan menceritakannya semula dengan berani.

Dua kisah yang disampaikan oleh pegawai polis itu memang ada hubungannya antara setiap satu dan boleh dirumuskan semacam itu. Polis Tumpat berkata, setelah menerima telefon daripada orang yang tidak dikenali, mereka bertindak menahan satu van yang membawa penumpang yang bersenjata daripada Thailand. Untuk operasi itu mereka gunakan dua buah van untuk menunggu di stesen minyak Petronas di Netting. Mereka menunggu di situ sehingga van yang disyaki muncul dengan pergerakan yang laju.

Bermulalah operasi kejar mengejar yang diselang-seli dengan tembak-menembak. Akhirnya van yang dipandu oleh sasaran telah berjaya diasak dan tersekat di tepi jalan. Tembakan yang muncul daripada dalam van itu menyebabkan peluru automatik dihalakan ke situ dan membunuh semua penumpang yang berada dalamnya. Rupa-rupanya semua yang mati adalah pekerja kaum India yang mahu pulang ke Ladang Kerala. Polis Tumpat tidakpun merasa berdosa walaupun enam orang lelaki daripada enam keluarga India yang sudah terkorban.

Beberapa gambar telah dirakamkan di tempat kejadian. Terdapat empat pistol yang disusun rapi antara mayat itu laksana bebunga yang diletakkan untuk menghiasi pusara. Dua senjata yang digambarkan memang tidak berfungsi, sedangkan lagi dua itu belum pun digunakan lagi. Tidak ada sebarang kesan lubang tembakan di van untuk menunjukkan ada tembakan yang pernah dilepaskan daripadanya. Namun, pihak polis memperakukan betapa ledakan yang muncul daripada van itu begitu kuat bunyinya untuk meyakinkan mereka membalas tembakan dan membunuh semua penumpangnya.

Gambar-gambar beserta laporan pakar pathologi menunjukkan semua mayat itu menerima tembakan bertalu-talu. Ada yang telah ditembak walaupun kedua tangan mereka diangkat ke atas seolah-olah mereka sudah menyerah diri. Kesemuanya menerima tembakan di kepala, ada yang menerimanya lebih daripada sekali. Fakta ini menunjukkan mereka dihukum tembak dan bukannya untuk ditahan. Satu siasatan inkues yang dilaksanakan di balai polis Tumpat memberikan pemandangan suasana yang terjadi, yang jauh berbeza daripada bukti fizikal yang sebenarnya.

Penduduk tempatan di kampung itu telah menceritakan kisah yang amat berbeza sekali. Satu kumpulan polis bermotor telah muncul di Netting selepas senja, mengadakan sekatan pemeriksaan di setiap jalan yang menghala ke stesyen Petronas di Netting. Ada tiga jalan yang menghala ke stesen itu. Tidak ada satu pun kereta yang dibenarkan melepasi sekatannya. Apabila van yang dipastikan itu muncul, ia telah ditahan sebelum dibiarkan meneruskan perjalanannya melepasi stesen Petronas itu. Ketika itu keadaan masih cerah lagi, dan masih terdapat banyak manusia yang boleh menjadi saksi. Itu sebabnya van itu diiringi untuk maju lagi ke hadapan, ke tempat di mana berlakunya pembunuhan.

Penumpang van dikatakan akur dengan arahan polis. Tidak ada tanda mereka melawan. Kemudian, semua lampu dipadamkan, polis dan penumpang van menunggu berasingan dalam gelap gelita. Tidak lama kemudian muncul satu van besar yang berhenti di belakang van yang ditahan itu yang masih berisi penumpangnya kerana mereka tidak dibenarkan keluar lagi. Van besar yang baru berhenti itu dibuka pintunya dan keluarlah beberapa orang di dalamnya. Mereka mengepung van kecil tadi dengan penumpangnya masih lagi di dalamnya.

Penduduk kampung boleh mendengar suara mangsa merayu-rayu agar tidak diapa-apakan kerana mereka mengaku tidak melakukan sebarang kesalahan. Suara mereka tenggelam dek dentuman senjata api. Ledakan senjata api itu mengeluarkan cahaya yang mudah dilihat dari jauh. Mangsa yang didera menjerit melolong meminta ampun, walaupun mereka tersilap dituduh. Selepas mereka semua ditembak melalui tingkap van yang memerangkap mereka, keadaan keheningan muncul semula. Beberapa tubuh yang terkulai itu diheret keluar. Kemudian beberapa tembakan kedengaran lagi, seolah-olah setiap tubuh yang terbujur itu ditembak lagi untuk menentukan semuanya sudah mati.

Manusia bersenjata yang datang dengan van besar itu mula-mula muncul daripada arah Kota Bharu. Akhirnya mereka berpatah untuk pulang ke Kota Bharu juga. Polis yang bermotorsikal terus menunggu di situ kerana tidak mahu penduduk kampung datang meluru. Sepuluh minit kemudiannya muncul pula sebuah kereta putih polis daripada Tumpat. Polis Tumpat mengambil alih keadaan di situ dengan mencetuskan sinaran lampu yang digunakan untuk mengambil gambar tempat kejadian. Mengikut orang kampung pada waktu itulah senjata yang tidak berfungsi itu diletakkan di samping mayat yang sudah pun membujur kaku. Senjata itu tidak diletakkan untuk digenggam oleh simati, cuma diletakkan di sisi. Senjata itu tidak pula berlumuran darah, malahan tidak ada kelongsong peluru yang dijadikan bahan hiasan sejarah. Orang kampung berkata van itu telah diserang-hendap dan senjata api itu sengaja ditunjukkan sebagai bukti mengukuhkan kerja polis melancarkan pembunuhan.

Mayat-mayat itu dibawa ke Hospital Kota Bharu di mana mereka diperiksa oleh seorang pakar pathologi. Mereka telah ditembak antara dua mata pada jarak yang dekat sahaja. Mereka telah ditembak ketika dua tangan mereka diangkat ke atas, Semua kesan tembakan memang selari dengan laungan mereka meminta tidak diapa-apakan. Mereka memang tidak pernah diampunkan kerana mereka adalah mangsa pembunuhan. Ini merupakan satu operasi yang baik perancangannya. Ramai anggota yang turut serta menunjukkan perancangan itu datangnya daripada atasan juga. Terdapat unsur ketepatan waktu dalam perancangan itu. Bagaimanakah mereka mampu melaksanakannya kalau tidak ada perancangan yang mantap mengenainya?

Kenderaan mangsa berlepas daripada ladang Kerala pada awal petang untuk memasuki pekan kecil di Thailand untuk membeli petas (mercun dan bunga api) dan minuman keras bagi sambutan Deepavali. Di kampung itu terdapat satu pasangan manusia yang baru tiba, tetapi ganjil juga kelakuan mereka. Mereka tiba daripada Thailand, kata mereka, pada bulan Julai itu. Pendatang lelaki membuka kedai kopi di situ dan menjadi ramah mesra dengan para pekerja Ladang Kerala. Isteri yang menemaninya tinggal di sebuah rumah kecil di perkampungan pekerja ladang itu. Mereka berusaha untuk mendapatkan keyakinan para pekerja di situ.

Tiga keluarga pekerja di situ didatangi oleh saudara mara mereka daripada Pahang. Mereka muncul untuk meraikan lebaran Deepavali bersama sanak-saudara. Lelaki pendatang daripada Thailand itu telah mengajak mereka pergi ke seberang menemaninya membeli petas. Tidak ada sesiapa yang mahu tetapi setelah dipujuk rayu, ada juga yang bersetuju. Itulah kesilapan besar mereka. Keenam-enam mereka telah menaiki van untuk menunggukan orang daripada Thailand itu muncul. Pada saat akhir dia telah memberikan alasan untuk berjumpa mereka kemudiannya di sebuah kedai teh Cina di Tanah Merah.

Mereka pergi ke kedai Cina yang dikatakan sambil menunggukan lelaki daripada Thailand itu. Dia tidak muncul juga sehingga mereka pergi ke Thailand tanpa iringannya. Sekembali mereka itulah mereka telah ditahan polis di sekatan jalan di Netting. Lelaki daripada Thailand itu sudahpun menghilangkan diri dan bayangnyapun tidak kelihatan lagi. Sebaik sahaja kisah pembunuhan itu sampai ke perkampungan Ladang Kerala, isteri si lelaki itupun turut menghilangkan dirinya. Tiba-tiba dia mendapat peluang keluar daripada kampung itu. Dia dan suaminya tidak lagi menjengukkan muka mereka di situ.

Ini membayangkan mereka muncul dengan tujuan tertentu. Sebaik tujuan itu terlaksana, merekapun ghaib entah ke mana. Apabila tugas selesai mereka menghilang tanpa memberi peluang untuk menjawab pelbagai persoalan. Tidak ada sesiapa yang mengenali identiti mereka sebenarnya, dan merekapun tidak pernah menjengukkan muka lagi.

Kenapakah operasi ini direncana dan terlaksana pada penghujung 1998? Tarikhnya memberikan kita satu klunya. Pada awal September Anwar Ibrahim telah disingkirkan daripada jawatannya. Pada minggu ketiga bulan September orang bertopeng menceroboh masuk ke rumah kediamannya. Mereka memecahkan pintu dan merosakkan jendela sedangkan rumah itu mudah dibuka untuk mempersilakan mereka. Mereka menangkapnya dengan senjata yang tersedia walaupun sebelum itu, dia pernah memberikan perakuan bertulis mengenai kesediaan menyerahkan diri apabila diminta.

Satu lagi klu ialah kejadian ganjil di Taman Intan, di mana lima orang India telah ditembak mati oleh pasukan polis khas yang bertopeng mukanya. Ada cerita mengatakan kisah penculikan membabitkan anak lelaki seorang pemimpin politik negara. Kisah menyelubungi penculikan itu menunjukkan adanya unsur-unsur sandiwara politik juga. Pemimpin politik yang dikaitkan dengan penculikan itu ialah seorang insan yang terbabit dengan banyak kes rasuah dan kisah mengangkut wang haram yang besar jumlahnya.

Satu laporan yang muncul beberapa hari lalu menyebutkan kisah empat orang yang bertopeng memanjat pagar dan menculik seorang anak daripada penjagaan bapanya, yang terlibat dengan kes penjagaan anaknya itu dengan bekas isterinya. Si ibu itu kini merupakan isteri (kedua) kepada pemimpin politik berkenaan. Oleh kerana tidak adapun laporan polis yang dibuat oleh si ibu, bolehlah dibuat andaian bahawa empat orang bertopeng itu adalah mewakili dirinya (dan juga suaminya) dan anaknya itu sudahpun dibiarkan bawah penjagaannya. Identiti empat orang bertopeng dan kaedah yang mereka gunakan, menjadi bahan persoalan yang menarik sekali.

Lima mangsa di Taman Intan Sungai Besi itu dulu, termasuklah seorang wanita yang mengandung sarat lapan bulan ketika itu. Kenapa perlunya wanita itu ditembak di kepalanya, masih lagi menjadi satu tanda tanya, seolah-olah kematiannya adalah satu kemestian juga. Sikap begini merupakan sesuatu yang zalim sekali. Orang mati memanglah tidak boleh bercerita lagi, hanya cerita pihak polis yang masih ada lagi. Mereka boleh melaporkan apa yang mereka suka dan pada dasarnya laporan itulah yang menjadi bahan sejarah yang rasmi. Walaupun tidak semestinya begitu.

Pembunuhan lima mangsa India (bukan beragama Islam ataupun daripada masyarakat Cina) di Sungai Besi terjadi pada 2 Oktober, 1998, hanya dua minggu selepas Anwar Ibrahim ditangkap. Pembunuhan di Netting (tidak melibatkan mereka yang beragama Islam ataupun daripada masyarakat Cina) terjadi pada keesokan malamnya. Anwar Ibrahim sengaja telah dilindungi oleh polis untuk menyorokkan kisah mata lebamnya di tangan ketua polis negara. Ketua Polis Negara itu telah merupakan pengarah operasi untuk dua peristiwa pembunuhan di Netting dan Sungai Besi. Pada waktu itu dia juga bertanggungjawab kepada perdana menteri yang bertindak sebagai Menteri Dalam Negeri yang menyelia semua anggota polis terutama pasukan Cawangan Khas (SB).

Apabila diimbau semua itu, pembunuhan yang ngeri menyerlahkan adanya usaha untuk melencongkan perhatian masyarakat daripada kisah penangkapan Anwar Ibrahim. Jika diterima demikian andaiannya, terserlahlah sifat ganas dan zalim Perdana Menteri dengan ketaranya bersama sokongan kesyaitanan para pengampu, sehinggakan tidak ada sesiapa yang sanggup mengaku secara terbuka akan segala sifat kesyaitanan itu. Namun, ramai yang mengaku dalam diam-diam betapa wujudnya segala muslihat jijik itu yang terpaksa mereka sama-sama tanggung dosanya. Para pemimpin Malaysia sudah jauh menyimpang daripada landasan hidup yang benar dan adil seperti yang sepatutnya.


Harun Rashid
16 Jun, 2001.
Diterjemahkan oleh SPAR-05-012

Nota webmaster: Sebenarnya ada banyak lagi nyawa yang terkorban akibat perbuatan halal oleh PM Mahathir Mohamad. Samada rakyat mahu mempercayainya atau sudah melupakan 'sejarah' yang berlaku itu. Pembunuhan Jalil Ibrahim (?) yang menyiasat skandal BMF di Hong Kong. Peristiwa Memali di mana AsSyahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya dibunuh dengan kejam. Dan yang terbaru didedahkan ialah pembunuhan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah seperti yang dilaporkan dalam Harakah terbaru. Ramai juga yang mahu mengaitkan pembunuhan Datuk Mazlan oleh sepasang suami isteri Mona-Fandey yang tidak digantung-gantung atau menjalani hukumannya meskipun sudah bertahun-tahun didapati bersalah. Akan lebih ramai yang terkorban disebabkan kezaliman Mahathir. Terpulanglah kepada anda untuk mempercayainya. Kita hanya ingin meyakinkan bahawa tidak esok, lusa mungkin anda atau saudara mara anda yang menerima padahnya. Apakah ketika itu baru anda ingin mempercayainya? ~ webmaster

Jumlah pembaca:orang