Budaya asing yang sedang membarah di Langkawi

Oleh: asshafi

Prakata: Kita bukan bermaksud menolak kemajuan. Dan kemajuan bukanlah satu tiket untuk kita menolak hukum Allah dan menghalalkan apa sahaja dari budaya thagut ciptaan bukan Islam. Justeru jika kemajuan bermaksud untuk mengenepikan segala hukum Allah dan meminggirkan peringatan dan amarannya, maka ia sewajarnya ditolak. Keghairahan parti yang memerintah Malaysia hari ini mahu melaksanakan apa yang diertikan dengan 'kemajuan' dan pemodenan, melupakan nilai-nilai sosial dan agama yang dipegang. Terima kasih dan jazakallah kepada penulis yang sudi membongkar apakah implikasi yang terbina dari ledakan kebanggaan negara di sebalik pengistiharan Langkawi sebagai 'Bandar Raya Pelancongan'~webmaster

Pengisytiharan Langkawi sebagai Bandaraya Pelancongan sebenarnya tidak membawa banyak erti jika dilihat perkembangannya dari beberapa aspek. Mungkin pengisytiharan ini dapat menarik ramai pelancong luar mahupun dalam untuk mengunjunginya namun kemelut sebenar masyarakat Langkawi tidak dapat dibendung bila mana melihat corak hidup, budaya, perkembangan pendidikan, dan taraf sosio ekonomi. Rata-rata melibatkan masyarakat Melayu. Tidak dinafikan UMNO banyak menyumbang untuk MEMBELA Melayu di sini dengan menyumbang pembangunan mini tar, balai raya, tabika KEMAS, surau dan berbagai peruntukan lagi (sebenarnya wang kerajaan).

Hakikatnya pembangunan minda dan rohani masyarakat Melayu terutamanya generasi baru terumbang-ambing akibat ledakan pengaruh pelbagai budaya yang meresap ke Langkawi bersama pelancong asing.

Ramai tidak tahu kerana dirahsiakan, Langkawi merupakan daerah tertinggi catatan di Kedah pembawa/ penghidap HIV dan Aids. Apa lagi statusnya sebagai kawasan hitam najis dadah.

Bebas cukai bukanlah bererti andai membawa dan mendedahkan masyarakat dengan budaya arak. Minuman keras boleh didapati di mana-mana hatta kedai runcit sekalipun. Penjualan yang berleluasa dan terbuka ini sudah pasti menjerumuskan kalangan remaja dengan budaya mabuk. Malahan tin-tin minuman keras boleh dijumpai di tepi-tepi jalan atau pantai seperti mana tin-tin minuman yang lain.

Amat menyedihkan lagi, di kedai-kedai atau pasaraya kalangan yang menjual (terpaksa) adalah terdiri dari kalangan orang Melayu yang pastinya Islam. Lebih menyayat hati bila mana mengunjungi Pantai Cenang, pondok menjual minuman keras terdapat di tepi pantai yang rata-rata dikunjungi ramai masyarakat Melayu. Pelancong termasuk orang Melayu bebas meneguk minuman haram ini. Penjualnya juga orang Melayu yang tidak seperti Melayu lagi!

Budaya bobrok ini semakin membarah dalam masyarakat Melayu terutamanya generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan masa akan datang. Judi seakan-akan menjadi kebiasaan dan kemegahan. Kedai-kedai judi dipenuhi rata-rata Melayu hinggakan sanggup berbaris panjang bagi membeli nombor. Perbualan terbuka tentang judi dan meraikan kemenangan hasil haram ini menjadi kebanggaan dan kemegahan. Memanglah ini sesuatu yang biasa dalam masyarakat hari ini. Melayu tidak seperti dulu lagi. Namun dilihat dari perkembangan dan kemajuan yang dibawa mampukah kita menyerahkan kepada kekuatan iman semata-mata untuk menjauhi dan mengatasi kemungkaran yang makin berkembang. Sampai suatu masa nanti semua kita akan terlibat sama dalam kemaksiatan ini dan tidak dapat untuk mengelak lagi. Sudah tiba masanya kita bertindak. Andai ranting-ranting pokok sudah rosak dimakan ulat, usahlah kita menghabiskan masa mencantas ranting-ranting itu. Tebang saja pokoknya.

Bukan mencari salah mana-mana pihak. Sekadar renungan.

Jumlah pembaca:orang