Demokrasi Yang Cacat

Kesukaran memperolehi permit ceramah atau pelbagai sekatan, karenah dan gangguan terhadap aktiviti parti-parti BA dewasa ini oleh pasukan keselamatan, benar-benar melahirkan kondisi yang tidak kondusif dan serba meresahkan .

Terkadang kita bertanya, di negara mana kita berada kini?Atau, adakah kita berada pada tahun 1948? Apakah itu memang polisi dalam modus operandi mereka atau campurtangan pihak ekskutif atau institusi lain?

Bayangkan, ceramah Dr. Hassan Ali, Ustaz Akil Hai dan Ustaz Azman Safawi di Paya Besar terpaksa beranjak tempat di atas sebab-sebab di atas. Ceramah Parti Keadilan di Jaya Gading dan Bukit Kuantan diganti dengan perbarisan trak polis. Di Cini dahulu , pentas ceramah Tuan Guru Hj.Abdul Hadi diloncati pegawai polis. Ceramah Dr.Badrul Amin dan Dr.Wan Azizah ditakut-takutkan dengan anggota pasukan beruniform itu . Manakala ceramah Wak Sir dan PakYa, meskipun dibatalkan , tapak ceramah dikepung FRU. Begitu juga ceramah Mahfuz di Keratong.

Bayangkan, sambutan jubli emas kawasan Paya Besar terpaksa didakan di dua tempat berbeza dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Sambutan jubli emas peringkat kawasan Kuantan dan peringkat negeri ditangguhkan . Sambutan jubli emas peringkat kawasan Pekan, sepanjang dua hari penulis berada di sana , menjadi hambar apabila semua permohonan permit ceramah tidak diluluskan. Hatta lebih melucukan, majlis makan malamnya diganggu dengan road block dijalan masuk. Sementara tazkirah tertutup Ustaz Zulkifli Yaakob dihadang oleh PGA di setiap lorong masuk ke Darul Husna. 

Apa alasan pun, situasi ini tidak pernah menguntungkan sesiapa sebenarnya. Tindakan ini malah membenihkan wabak sungutan tidak puas hati pihak yang terbabit seraya menyuburkan budaya protes dikalangan rakyat.

Kadang kala ada pihak yang terlupa bahawa sebarang kegiatan parti, berhimpun dan berceramah dalam suasana aman adalah halal dan diizinkan disisi undang-undang. Sayugia diingat, disepanjang ceramah PAS, tidak pernah terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Ceramah atau sebarang majlis penerangan adalah salah satu media untuk parti-parti komponen BA untuk menyalurkan maklumat, memperjelas isu berbangkit dan menangkis tohmahan parti lawan. Hanya inilah saluran yang ada setelah media elektronik dan media massa arus perdana berkompromi dengan umno menyerang parti dan tokoh-tokoh BA. Tidak cukup dengan itu, majlis agensi-agensi awam acapkali diambil kesempatan untuk menitip dan menggarap propaganda umno sambil menghentam dan membelasah parti-parti BA yang dilintas langsungkan hingga ke setiap rumah.

Fenomena ini diibaratkan parti-parti komponen BA dihumban ke rumah pasung, digari dan tangan disengkeling ke belakang, diikat mata sedang dalam masa yang sama dibelasah, dibalun, dihentam dan diperlakukan semahu-mahunya.

Negara yang cacat demokrasinya hanya akan meledakkan komplikasi dan haru biru politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat dan sudah barang tentu tidak akan melahirkan rakyat yang berkualiti, prihatin dan patriotik.

 

Petikan dari Visi Pemuda DPP Paya Besar.