Pening Kepala  Menghantui Paklah,  Mahathir, Daim
(Headaches  for  Pak  Lah,  Mahathir, Daim)

Artikel    asal  ada  di  Malaysiakini  hari  ini.


Timbalan perdana  menteri  Abdullah  Ahmad  Badawi,   sudah  semacam  cacing kepanasan sekarang  ini. Dia  mudah  tersentuh  terhadap apa  juga  yang mengganggu ketenteramannya -   kakitangan awam, para wartawan,  para politikus  dan  desas-desus yang  dia  dipinggirkan.

Kegelisahannya  itu  memang ada sebabnya. UMNO  sudah  tidak  ada masa  dengan  pemimpin yang  tidak  ada nas dalam  cakapannya. Kalau ada  pun  yang dicakapkannya   sekarang  ini, ia  merupakan  sesuatu  untuk menyedarkan  yang dia  masih   bernafas  lagi. Sedangkan  Perdana  Menteri mengatur langkah  masa depannya  tanpa  mengambil  kira  timbalannya  dalam  perencanaan  itu.

Apabila  Paklah  menafikan  Daim Zainuddin,  bekas  menteri kewangan telah  ditangkap  dan tidak  pula tahu  apakah  beliau  akan  ditangkap keesokan  harinya, ini  menunjukkan  betapa  dia  tidak  memegang teraju  kuasa  menteri  dalam negeri  itu  lagi  dan lebih  mengaibkan ialah  apabila  dia terus  mengatakan  perkara  yang  melencong  dan  meragukan.

Ketika  dia menuduh  pemimpin pembangkang, Fadzil Noor,  mempunyai  ‘mentaliti penjajah’  kerana  membincangkan  perihal penangkapan bawah  ISA dan  kemelut  pembedahan  mantan  timbalan perdana  menteri Anwar Ibrahim dengan  Menteri Luar  Australia  Alexander Downer,  Paklah menyerlahkan keyakinan  dirinya yang  lemah malahan kedudukannya yang  sudah  semakin  gelabah.

Sebagai  presiden  PAS,  Fadzil hanya  membincangkan dua isu, dan Abdullah  sudah  merasa tersentuh  dengan  perkara  itu. Betapa  pun  Abdullah  dan  orang  lain  menafikannya, Malaysia  sudah tidak mampu   memperbaiki  keraguan sejagat  terhadap  dua  isu  itu.  Kerajaan  kerap  tegas  mahukan  rakyat  mempercayainya  kerana  hanya  kerajaan  saja yang betul  dalam  setiap  perkara. Jika  tidak,  rakyat  harus tutup  mulutnya. Inilah   ajaran  alam;  apabila wujud  kelompongan  wujudlah  keresahan   dan  inilah  kenyataan  yang  tidak  mahu  diakui   oleh kerajaan.

Kereputan  Seorang  Bedebah

Kesangsian  Abdullah  adalah  satu  bukti   betapa  Malaysia  sudah  mereput  kini. Kemelut  yang  menggodam Anwar  sudah menjadi raksasa  besar  yang  membayangi  masyarakat  Melayu.  UMNO  memang  bersalah  kerana  apa  yang  terjadi  kepadanya  dan  Mahathir  terpaksa  menerima  kenyataan   untuk  memahaminya.

Kemelut  yang  menghantui  Daim  adalah  kerana orang  Melayu tidak lagi  mahu  melayani  kerenah   UMNO  mencengkam rentak  hidup  mereka. Apatah lagi setelah  menyaksikan apa yang  membaham Anwar.   Selain  menjadi  Bendahari  UMNO   dan  menteri  kewangan,   panglima bedebah nombor  satu  kepada  Mahathir  ini  telah  mengepalai  konspirasi yang  menjatuhkan  Anwar.  Apabila  dia  mahu  dijadikan  kambing  korban  untuk  disembelih  lehernya,  Daim  terpaksa akur  tanpa banyak  tanya.

Setelah  gelabah  kepanasan ekoran perletakan  jawatan  kabinetnya  dan  juga  yang  di  dalam  UMNO,   Daim berlari  ke sana-sini,  cuba  mengelak tali  penjerut  yang  sedang  hampir  mencekik  lehernya. Anwar  pernah  menuduh beliau  kerana  segala masalahnya,  dan UMNO  menjadi marah   apabila  tidak mengetahui  apa-apa  mengenai  simpanan  kewangannya sejak  Daim  menyauk  jawatan  Bendahari parti  dua  dekad  yang sudah pergi.

Persidangan tahunan UMNO  minggu  ini  dikatakan  menjadi  gelanggang  di  mana  satu undi tidak  percaya  akan dikemukakan  terhadap Mahathir ataupun  Majlis  Tertinggi  ataupun  keduanya  sekali. Dengan pintar  sekali Mahathir   melencongkan  perkara  ini  dengan mengalihkannya  terhadap  Daim.

Namun Mahathir  belum  boleh  bernafas  lega  lagi. Dia  terpaksa  meyakinkan  persidangan itu  betapa  perlunya  dia  dibenarkan  terus  menerajui  UMNO  dan  Barisan Nasional (BN) untuk  memenangi    pemilu  2004 nanti. Yang  akan  menjadi  senjata sulitnya  nanti  ialah  memberi penekanan  apa  yang  melecehkannya  kali  ini  -  episod Anwar.

Terlalu   banyak  perkara  yang  bergolak  membabitkan  orang politik.  Dr.  Mahathir  boleh  terus  menghentam  Anwar  dan  Anwar  boleh  terus   membalas  apa  juga  bantahannya, namun  masih  lantang  desas-desus  betapa rancaknya    perundingan  di  balik  tabir  mengenai  masalah  mereka berdua.

Kedua-dua  pihak  tidak bersedia  memperakukan  perkara   ini; namun  keduanya  amat  optimis  betapa  sesuatu  yang  positif  akan  lahir juga  dan dalam  sedikit  masa.  Apabila  duta  Amerika  menemui  Mahathir  baru-baru  ini tanpa  sebarang  agenda,  tentu  sekali  ia  ada   kena  mengena  dengan  perkara ini.  Perbincangan  itu,  mengikut  lapuran  Asiaweek, berlaku  di Tripoli,  Libya.

Bencana

Malahan,  ketika  Mahathir   bertemu  Fadzil dan  dua   ahli  pembangkang  baru-baru ini, dia  menunjukkan  kesediaan  membenarkan Anwar  menerima rawatan  di  luar  negara,  seandainya  demo  jalanan dibatalkan  kerana  dia sedar perkara  itu  adalah  amat  berbahaya  kepada  kerajaannya. Tetapi,  itu  baru  cuma  satu  perundingan sahaja.

Sudah  ada  berita  angin  betapa  Anwar  akan  diiring  untuk  menerima  rawatan  di luar  negara  dan  dibenarkan pulang  untuk  menerima  hukuman   tahanan  di   kediamannya. Kini  Mahathir  menerima  hakikatnya  betapa  masalah  UMNO  berkaitan  Anwar  jika  tidak  diselesaikan  akan  membahayakan  dirinya  dan  juga  UMNO.

Tetapi, cubalah  tanyakan perkara ini  kepada  orang  UMNO, PAS  ataupun  Keadilan,  dan  anda  akan  ditertawakan. Malahan,  orang-orang  yang  rapat  dengan  kedua  pihak   menafikan  perkara  ini. Sebenarnya  Mahathir  semakin  rungsing kini.   Dia pernah  bercakap  dalam  satu   mesyuarat  peribadinya  baru-baru  ini  betapa  negara  tenang  semula  dua  bulan  selepas  tercetusnya  rusuhan  Mi  13, 1969  dulu.  Tetapi, sejak Anwar  diketepikannya,  tiga tahun  sudah  pun berlalu, ketenangan  tidak  muncul juga  sehingga  hampir  memecahkan  kepalanya.

Dengan  ini boleh  diandaikan  sekiranya  Anwar  kembali  kepada UMNO  dia akan menjadi calon  tunggal  untuk jawatan  presiden  pada  2004.  Kalau  ini  berlaku,  Abdullah  sudah  boleh dikira  menjadi  tidak  laku.  Kerana  itu,  apabila  dia   menuduh  Fadzil  mempunyai  mentaliti  penjajah,  sebenarnya  dia mengharapkan   UMNO  akan  menyokong  dirinya.

Tetapi, bagaimanakah  gerangannya masyarakat  Melayu yang   sudah keluar menjauhi  UMNO boleh  diandaikan  masih perihatin terhadap  UMNO?   Harapan ini hanya  akan  menyerlah  seandainya  Anwar  kembali  menerajui  UMNO. Apakah  Anwar  mampu  menyambung  hubungannya  dengan  UMNO  tanpa  membakar  jambatan politiknya.  Dia  pernah  melaksanakannya  pada  1981 dulu,  dan  mungkinkah dia melaksanakannya     sekali  lagi  dua  dekad  selepas itu?

Dengan menyingkap  hakikat  politik,  gelagat  Abdullah   menuduh  PAS   bersikap mentaliti  penjajah, dia  sebenarnya  menjadikan  dirinya  bahan ketawa.  Lagipun,  di Australia  seperti juga  di  New Zealand,  wakil rakyat  boleh  bertemu  muka sesiapa sahaja  yang mereka  suka.

Di  New  Zealand, seorang  asing  yang  bertemu  dengan perdana menteri  mesti  berusaha  berjumpa dengan  pemimpin  pembangkang.  Fadzil  ialah  pemimpin  pihak pembangkang, Downer  tidak  boleh  menolak  pertemuan  mereka berdua. Tindakannya  menolak  pertemuan  sudah  tentu  akan  mengundang  kemarahan  parlimennya.

Abdullah mungkin  lupa  betapa  pemimpin UMNO selalu  berjumpa dengan  pemimpin kerajaan asing  dan  juga  pemimpin  pembangkang  mereka. Kalau hujah  beliau  diambilkira, gelagat  itu  adalah  bersalahan  juga. Hanya  pemimpin  BN  yang boleh  berbuat  begitu.  Tetapi, berapa  ramaikah  perwakilan  BN yang  pernah  keluar negara  menceritakan  dasar  negara?

Yang menakutkan  Abdullah  ialah  keupayaan  pemimpin  parti politik  Islam  seperti  Fadzil  Noor menonjolkan  diri  dan  tidak lagi  dianggap orang kecilan  di  luar  negara.  Beliau  diberikan  perhatian  dengan  penuh kehormatan  dan  pendapatnya  memang  diambilkira  oleh  kedutaan  asing.

Sokongan  Yang  Berganjak

Jadi, kenapakah  Abdullah  membuatkan  dirinya  menjadi bahan  ketawa? Dalam  dunia politik UMNO  yang  sungguh  bercelaru  dia sudah  pun  dipinggirkan.  Dr. Mahathir tidak  mahu mendengar suara  kewajaran  lagi,  sambil tegas  bahawa dia yang  memegang tampuk  kuasa,  sambil  beranggapan bahawa  masalah  pewaris  jawatan  adalah  sesuatu yang  tidak  ada  kepastiannya.  Abdullah  berjuang mempertahankan   kedudukannya, dan  dia  sedang  merasakan bahangnya.


Akan  tetapi  Abdullah  dan  perdana menteri  sebenarnya   berada  dalam satu  dilema yang  setongkang.  Masyarakat Melayu sudah  menjadi  begitu  bercelaru  untuk menganggap  bahawa  UMNO  mampu  mempertahankan   budayanya lagi. Kerana  itu  mereka mencari  parti alternatif yang lain.  PAS  ada  di  satu  sudut  dengan  perjuangan  yang  berteraskan  ajaran Islam  sedangkan  Keadilan  berada  di  satu  penjuru  lagi  dengan fahaman perkaumannya. Kedua  parti ini pun  belum menampakkan  keupayaan  melegakan  kerunsingan  orang  Melayu.

UMNO  sedang mencuba  merapatkan  jurang  hubungan dengan  salah  sebuah parti antara  yang  dua  itu. Inilah  langkah  perubahan sejak Anwar dianggap sebagai  ikon  pihak  pembangkang. Abdullah  tidak juga  diambil  kira  dalam perencanaan  ini.

Kerana itu  pihak  pembangkang  selalu sangat  diperlekehkan  dalam  apa   juga  gelagat  mereka. Pihak pembangkang pula memang  kerap  melatah  sama.  Namun,  gelagat  pembangkang  itu   tidak pula  dapat  memberikan ketenangan  kepada  UMNO  dan   para  pemimpinnya.

UMNO sudah  kehilangan  sokongan  akar umbinya,  dan tanpa  sokongan  itu, tidak  ada  banyak bezanya antara  parti  itu  dengan  parti  pembangkang  yang  lain.  Apa  yang  berlaku kepada  Anwar telah  mematahkan  tulang belakang  perpaduan  Melayu. Untuk  memulihkan  keadaan  yang  teruk itu, Anwar mesti  dikembalikan  ke pentas  utama  parti.

Walaupun  berat hatinya,  Mahathir  terpaksa  juga  menerima  kenyataan  ini.  Masa  depan  UMNO  bergantung  kepada  situasi  ini.  Itulah  sebabnya  segala  perbincangan  rahsia  mengenainya  adalah  lebih  penting  daripada  serangan  yang  terang-terangan  itu.


MGG  Pillai
Diterjemahkan:   SPAR