Yong Bertanding Semula Di Likas?
 

 

KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hampir yakin dipilih bertanding semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas atas tiket Barisan Nasional (BN).


"Saya akan mencadangkan nama Yong (bekas anggota DUN Likas) jika beliau layak," kata Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah biasiswa kerajaan negeri kepada 16 pelajar terbaik tempatan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, di sini Selasa.

Chong, yang juga pengerusi BN negeri berkata kelayakan Yong untuk bertanding tidak jelas sebelum pengesahan daripada Suruhanjaya Pilihanraya.

"BN masih menunggu Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan notis tetapi sehingga hari ini, kami belum menerima apa-apa pun," katanya.

Isu kelayakan bertanding itu timbul berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 8 Jun lalu mengisytiharkan keputusan pilihan raya 1999 bagi kerusi DUN likas batal dan tidak sah, berdasarkan antara lain memasang papan tanda tanpa nama penerbit dan pencetak.

"Kami juga sedang menunggu laporan setiausaha BN sama ada komponen lain BN ada mengemukakan calon, sebelum kami memutuskan calon yang akan bertanding," katanya.

Semalam, Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu belum memutuskan sama ada untuk bertanding, manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) masih dalam proses memilih calon.

Dalam pilihan raya negeri 1999, Yong mengekalkan kerusi Likas bagi BN dengan undi majoriti 4,962.

Beliau mengalahkan Chong Eng Leong calon PBS, Datuk Harris Salleh (Parti Bersekutu) dan tiga calon lain - Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (Pas) dan Saudin Kadis (Bebas).

Berdasarkan daftar pemilih yang terbaru, terdapat 26,727 pengundi berdaftar di kawasan itu.

Sementara itu, Chong berkata kerajaan negeri akan meneruskan rancangan menempatkan semula setinggan di Pulau Gaya ke Telipok, kira-kira 16 km dari sini.

Terdahulu, dalam ucapannya Chong berkata kerajaan negeri malalui Yayasan Sabah akan terus memberikan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan sebagai usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini.

Di samping itu yayasan itu juga akan membina lebih banyak hostel untuk pelajar, terutamanya yang dari keluarga miskin.

-- BERNAMA