Puak Keadilan melobi menentang penggabungan dengan PRM

Oleh  : Susan Loone
(Dari Malaysiakini)

Pemimpin-pemimpin Keadilan tidak yakin bahawa para perwakilan akan meluluskan cadangan penggabungan Keadilan-PRM pada Perhimpunan Agong Tahunan parti itu pada hari Ahad, sumber dari parti itu berkata hari ini.

Mereka menyebut kemungkinan para perwakilan akan meminta penangguhan terhadap penggabungan itu memandangkan "pemimpin-pemimpin cawangan" tidak mendapat masa yang secukupnya untuk menerangkan rancangan penggabungan itu kepada ahli-ahli di akar umbi.

"Tetapi ini bukanlah alasan yang sebenarnya kerana kami telahpun memberikan masa selama setahun untuk menerangkan perkara ini. Alasan sebenarnya adalah terdapat beberapa pemimpin yang takut kehilangan kedudukan mereka jika penggabungan ini menjadi kenyataan," berkata satu sumber parti itu.

"Terdapat tindakan melobi yang kuat menentang penggabungan ini pada peringkat cawangan di seluruh negara oleh puak tertentu di dalam Keadilan. Kami bimbang apabila tiba masa untuk mengundi, kita akan gagal mendapat majoriti dua pertiga (bagi meluluskan penggabungan)," tambah sumber itu.

Para perwakilan Keadilan akan bertemu pada Perhimpunan Agong Ahad ini dan Majlis Tertingginya akan mengusulkan satu resolusi kepada para perwakilan untuk menyokong penggabungan Keadilan-PRM.

Sekiranya gagal untuk mendapatkan keputusan sebulat suara, perlembagaan Keadilan menyatakan bahawa majoriti dua per tiga diperlukan bagi membolehkan sesuatu resolusi itu diterimapakai.

KEDUDUKAN MASAKINI (STATUS QUO) TERANCAM :

Awal tahun ini, para pemimpin parti mendakwa bahawa usaha penggabungan itu berkemungkinan akan gagal berikutan "sentimen dari kedua-dua belah pihak dan masalah struktur parti".

Tidak seperti Keadilan, PRM tidak mempunyai sayap Wanita dan sayap Pemudanya terdiri dari kedua-dua lelaki dan wanita.

Sumber tersebut berkata pemimpin puak-puak tertentu mahu mendesak supaya lebih banyak masa lagi diperuntukkan bagi membolehkan mereka melobi ahli-ahli pada peringkat cawangan untuk menentang penggabungan tersebut.

Ditanya mengapa terdapat tentangan terhadap penggabungan itu, sumber itu berkata, "Orang-orang ini tidak ubah seperti sedang memasuki perangkap propaganda Barisan Nasional (BN) itu sendiri. Mereka mengatakan bahawa PRM adalah parti sosialis dan tidak Islamik."

Satu lagi sumber parti itu memberitahu Malaysiakini bahawa puak yang menentang di dalam Keadilan terdiri dari ahli-ahli ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

Sumber itu memberitahu ABIM telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan Keadilan dan penyelarasan yang baru akan mengancam kedudukan masa kini (Status quo) mereka.

"Mereka mendakwa bahawa perjuangan mereka adalah berdasarkan satu peraturan baru politik. Walau bagaimanapun, apabia terdapat ura-ura tentang penggabungan dan tentang para pemimpin PRM akan menyertai Keadilan, kumpulan ini merasakan kepimpinan mereka teruji," kata sumber itu.

KERAJAAN BIMBANG :

Satu lagi sumber berkata beberapa aktivis reformasi yang ditahan di Kamunting di bawah ISA menyokong penggabungan itu dan penahanan mereka telah sedikit sebanyak mengganggu usaha parti ke arah itu.

"Kebanyakan dari tahanan tersebut apabila disoalsiasat oleh pegawai polis cawangan khas (SB) telah diberitahu bahawa kerajaan merasa bimbang tentang penggabungan yang bakal terjadi di antara dua parti yang berteraskan Melayu itu," sumber itu mendakwa.

Enam aktivis reformasi - Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd.Nor, Saari Sungip dan Lokman Noor Adam, ahli Majlis Tetinggi Dr. Badrul Amin Baharom dan penulis kolum malaysiakini juga pengarah filem Hisahamuddin Rais - telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Perak awal bulan ini untuk selama dua tahun di bawah ISA atas arahan Menteri Dalam Negeri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Presiden Dr. Chandra Muzaffar apabila dihubungi hari ini berkata bahawa pemimpin-pemimpin  majlis tertinggi parti bersetuju dengan penggabungan itu pada prinsipnya.

"Walau bagaimanapun, kami perlu mendapatkan kelulusan dari para perwakilan sebelum meneruskan proses penggabungan yang sebenarnya," beliau berkata.

"Kami sedang di dalam proses untuk menerangkan tentang penggabungan itu kepada ahli-ahli akar umbi,"
beliau menambah.

Beliau berkata selepas Perhimpunan Agong Parti pada tahun lepas, Ahli  Majlis Tertinggi telah diberi mandat untuk mendalami lagi cadangan penggabungan dengan PRM.

Apabila ditanya sama ada keputusan kepimpinan untuk menyokong penggabungan boleh ditolak oleh perwakilan pada Perhimpunan Agong tahun ini, Chandra berkata, "Ya. Ia adalah satu proses demokrasi."


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang