Artikel Asal : Big fish and small fry

Oleh : Concerned Neighbour


Jerung besar dan anak bilis

Oleh : Jiran Perihatin
(Dari Malaysiakini)

Bayangkan anda mempunyai empat orang anak dan isteri anda sedang mengandung lapan bulan. Anda adalah satu-satunya sumber pencari rezeki untuk keluarga anda.

Kemudian pada satu hari, anda digari di hadapan keluarga anda, di atas kesalahan jenayah yang tidakpun anda lakukan, dan dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan mereka berkenaan satu kes rompakan.

Anda dibebaskan kerana tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa anda dengan kesalahan jenayah yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan diri anda sedari mula lagi.

Malangnya, anda masih tidak boleh pulang ke pangkuan keluarga anda kerana kini anda ditahan pula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di atas aktiviti-aktiviti keagamaan yang pihak polis rasakan mungkin ada kaitannya dengan sebuah "kumpulan pengganas antarabangsa".

Anda akan ditahan untuk selama 60 hari lagi. Kesalahan jenayah anda : menjadi ahli parti pembangkang yang aktif menjalankan tanggung jawab anda di dalam parti dan juga di dalam aktiviti-aktiviti keagamaan.

Anda telah berkhidmat dengan baik kepada parti anda semasa pilihanraya umum 1999 dengan membenarkan rumah anda digunakan sebagai sebahagian dari pusat operasi untuk kempen pilihanraya. Anda dan kawan-kawan anda memanjat pokok-pokok untuk memasang kain-kain sepanduk Barisan Alternatif.

Malangnya sekali lagi, anda bukanlah "tokoh besar di dalam barisan alternatif" seperti Mohd. Ezam Mohd. Nor, Tian Chua, Saari Sungip dan lain-lain lagi yang penahanan mereka di bawah ISA telah menarik perhatian pihak-pihak media, laman-laman reformasi, badan-badan NGO dan penyokong-penyokong Barisan Alternatif.

Berita tentang anda dan keluarga anda yang menderita selepas anda ditahan hanya disebut secara ringkas di dalam satu atau dua laman-laman web. Cuma segelintir orang yang menyedarinya dan memberikan bantuan kepada keluarga anda. Sehingga surat ini ditulis, tiada seorang pun tokoh penting dari barisan alternatif yang telah mengunjungi keluarga anda atau sekurang-kurangnya menalipon untuk memberikan jaminan mereka atau menawarkan sebarang pertolongan.

Mungkin mereka masih tidak pasti tentang kes penahanan ISA anda, mungkin ia bukanlah masalah mereka memandangkan anda mungkin dikaitkan dengan "kumpulan pengganas antarabangsa", dan mungkin tiada apa yang boleh diraih dari segi keuntungan politik dengan menolong seseorang yang tidak dikenali.

Anda adalah Mohamad Sobri Haji Abu Hassan, hanya "insan kerdil" yang sumbangannya terhadap Barisan Alternatif adalah terlalu kecil untuk disedari.


Terjemahan : SPAR 09

Nota webmaster: Jika kita masih bersikap sedemikian, hanya memandang kepada yang memberikan sumbangan besar atau dengan ertikata lain, pemimpin masih disanjung dan pemimpin kecilan atau bawahan atau orang kebanyakan masih dilupakan, ini bererti kita masih belum bebas dari sikap yang dibawa oleh UMNO selama memerintah negara ini lebih 43 tahun yang lalu. Malahan sistem ini terbawa-bawa ke dalam sektor awam, ekonomi dan sosial. Amat menyedihkan seorang pekerja bawahan seperti Pekerja Rendah Awam yang setiap hari bertungkus lumus mencuci tandas ataumencuci pejabat tidak naik ke pentas menerima 'award' pejabat terbersih atau tercantik. Sebaliknya Ketua Jabatannya pula yang menerima award ini. Islam tidak mengajar sedemikian. Semua insan ada peranannya yang penting. Jika empat tayar tiada, masakan sebuah kereta berjenama indah seperti BMW, Mercedes Benz hatta Ferrari sekalipun, akan dapat digerakkan, sedangkan tayar hanyalah untuk mencengkam tanah atau tar jalan dan setiap hari memijak najis manusia atau haiwan!! Berilah keadilan kepada semua!! ~ webmaster

Jumlah pembaca:orang