SALAM PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

oleh aDLan_WaN_zuHairi
Reformis Ardhul Kinanah


Perhimpunan agung UMNO ke-55 yang bakal berlangsung awal-awal lagi telah menampakkan ketakutan dalam menghadapi kebenaran yang sudah jauh terpesong. Bayangkan betapa wartawan-wartawan yang ingin membuat liputan terhadap persidangan ini terpaksa mendapatkan permit dan pas masuk terlebih dahulu untuk berkunjung. Media pembangkang seperti harakah dan media bebas seperti malaysiakini.com awal-awal lagi telah disenaraihitamkan dan dipasung. Kalaulah debat olok-olok di antara PAS dan UMNO yang diadakan secara tertutup di Putrajaya dapat dirakamkan, inikan pula sebuah perhimpunan agung.

Semasa muktamar PAS, kita melihat bagaimana wartawan media kerajaan yang telah disambut dengan ahlan wa sahlan, saban hari memberikan laporan dan ulasan yang negatif terhadap perjalanan muktamar tersebut. Perenggan-perenggan yang kecil daripada ucapan yang panjang lebar dimanipulasikan dan diperbesarkan sebagai tajuk-tajuk utama di dada akhbar pak turut. Namun begitu mereka bukan sahaja tetap dimuliakan sebagai tetamu muktamar, bahkan pelawaan untuk menemuramah presiden parti turut bersambut.

Situasi UMNO menjelang perhimpunan agungnya ini juga ribut dengan cabaran dalaman dan luaran yang genting. Betapa kita menyaksikan wanita dan puteri saling bersaing. Ketua-ketua bahagian yang terlibat dengan politik wang terpelanting. Perpecahan MCA antara puak Ling Liong Sik dan Chua Jui Meng dalam mengambil alih Nanyang Press Holdings. Juga spekulasi pergeseran Mahathir dan Daim yang meruncing.

Hishamuddin dan pemuda UMNO bapuk yang telah kehilangan arah. Berbeza dengan Ezam dan Mahfudz jua barisan Pemuda BA yang gagah. Dolah Badawi menjadi boneka yang terpaksa pasrah. Sehinggakan ustaz Fadzil ke Australia dituduh bermentaliti penjajah. Belum lagi percakaran Azalina dan Rafidah.

Disamping UMNO juga turut memperhebat serangannya terhadap pembangkang dengan meng'ISA'kan pimpinan-pimpinan pembangkang tanpa belas. Tanpa bukti dan tuduhan yang berasas. Mungkin pada fikiran Mahathir, sekurang-kurangnya semangat rakyat dapat diredakan seketika dalam usaha mencari tokoh baru reformasi yang lantang dan tegas. Apatah lagi untuk memenangi pilihan raya di Likas. Agar tidak berulang peristiwa di Lunas.

Berlainan dengan PAS yang  awal-awal lagi menunjukkan kematangannya dengan mengadakan pilihan raya pertama untuk muslimat. Jawatan naib presiden parti ditambah satu lagi kerusi keramat. Sifat qana'ah ahli, memaksa presiden mengeluarkan kenyataan agar mereka yang dicalonkan supaya tidak menarik diri demi persaingan yang sihat. Penyertaan golongan profesional dan yang paling membanggakan budaya pengintelektualan ulamak saling kuat-menguat.

Belanja perhimpunan agung usah digundah. Biar berpuluh ribu, asalkan PWTC dihias indah. Beg,tanda nama, cenderamata, makanan dan minuman semuanya mewah. Hotel-hotel lima bintang semua habis ditempah. Selesai saja perhimpunan, aktiviti melancung dan shopping semakin meriah. Amanah rakyat hanya di bakul sampah.

Buat semua perwakilan UMNO yang setia. Menagih jawatan dan projek yang sekangkang kera. Sampai bila sanggup memejamkan mata. Demi periuk nasi dan tembolok yang menganga. Rakyat menantikan perubahan yang tak kunjung tiba. Kebenaran takkan dapat disembunyikan buat selamanya.

Amanat presiden hanyalah omong-kosong. Mengajar orang berjalan lurus, tetapi diri sendiri berjalan serong. Ikan-ikan bilis dikorbankan bukannya sang jerung. Kerana dia sendiri adalah bapak jerung yang agung.

Begitulah politik presiden yang bernama Mahathir. Puas sudah air matanya mengalir. Namun rakyat bukannya terlalu bodoh untuk berfikir. Sandiwara perhimpunan agung parti yang kucar-kacir. Menagih belas agar tidak disingkir. Di sebalik kezaliman yang entahkan bila berakhir.

Antara Mahathir, Ust Fadzil dan Datin Seri Wan Azizah. Antara Hishamudin, Mahfudz jua Ezzam manakah yang gagah? Tak ketinggalan  Pn.Fauziah, Ustazah Fatimah dan rafidah.J uga Erra Fazira, Muna Izzah dan Nurul Izzah. Kita nantikan perhimpunan agung yang bakal menempa sejarah. Andai ada keberanian merubah!Kezaliman 5 dasawarsa sudah..

Jumlah pembaca: orang