Kata seorang diktator tua…

DENGAN wajah yang cukup angkuh, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan perwakilan Umno memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dikaitkan dengan politik wang.

Sebenarnya, Dr. Mahathir memarahi tokoh veteran Umno, Tun Ghafar Baba yang mencadangkan supaya Umno juga perlu bertindak ke atas Ahli-ahli MT yang terlibat dengan politik wang.

Kenyataan Tun Ghafar mungkin ada kaitan dengan “hukuman amaran” kepada Azimi Daim, Ahli MT Umno yang dilantik oleh Dr. Mahathir oleh Lembaga Disiplin Umno. Tun Ghafar juga mungkin menerima aduan dari kawan-kawannya mengenai politik wang dari kalangan Ahli MT khususnya mereka yang mempertahankan jawatan di peringkat bahagian.

Hakikatnya, Dr. Mahathir tidak boleh ditegur. Dirinya sendiri menang kerusi Presiden Umno kerana “arahan MT” yang menghalang pertandingan dua jawatan, Presiden dan Timbalan Presiden.

Ini adalah keputusan diktator yang tidak demokrasi. Ini adalah cara seorang pemerintah kuku besi menjalankan kerja. Untuk menyelamatkan dirinya, diadakan undang-undang, nasihat dan arahan, supaya tiada pencalonan lain untuk kerusi Presiden dan Timbalan Presiden.

Kedudukan Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno sebenarnya bukan pilihan perwakilan tetapi atas kehendak Dr. Mahathir sendiri dan disahkan oleh Ahli-ahli MT yang bersikap seperti burung kakak tua, mengangguk sahaja apa kehendak Presiden mereka.

Bila ditegur, Dr. Mahathir dengan wajah angkuh akan menyalahkan perwakilan Umno yang memilih mereka, Ahli-ahli MT termasuk Presiden dan Timbalan Presiden. Tidak sekali dia mahu mengakui kesilapan, bermuhasabah dan menyedari bahawa kesalahan itu perlu diperbetulkan.

Diktator yang bernama Dr. Mahathir Mohamad ini adalah seorang yang zalim dan angkuh. Kezalimannya tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Rahim Noor yang didapati bersalah kerana mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu digambarkan sebagai hero.

Gelaran Datuk dan Tan Sri yang disandang oleh seorang “kaki pukul” bernama Rahim Noor sepatutnya dilucutkan. Dia tidak layak menyandang gelaran itu kerana dia zalim dan samseng. Dia menyalahgunakan kuasa yang dia sandang.

Dr. Mahathir adalah bapa kepada segala kezaliman dan ketidak adilan yang berlaku di negara ini. Hak mendapatkan rawatan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dinafikan. Baginya, kuasa yang dia ada mesti digunakan semaksima yang boleh.

Kepada rakyat yang bersimpati dengan nasib negara ini. Rakyat yang bersimpati terhadap perjuangan bersih Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rakyat yang simpati terhadap penyalahgunaan ISA di negara ini, marilah kita bersama-sama menanamkan tekad, tumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang untuk memperbetulkan sistem negara yang sudah rosak teruk.

Selepas 1,000 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim terpenjara, janganlah semangat kita kendur dan luntur. Kita bukan dari kalangan mereka yang “singkat ingatan” dan mudah digula-gulakan. Jangan sesekali kita tinggalkan semangat perjuangan yang sudah diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim…hero dan lambang perjuangan kita. Ingat pesannya! Jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan.

Masa Dr. Mahathir sudah tamat. Diktator tua ini akan pergi juga. Biasanya seorang diktator akan jatuh dengan penuh kehinaan.

 

-Ummu Natasya

Jumlah pembaca:orang